Empat model Acer Predator Helios diumumkan pagi tadi namun harga jualannya di luar kemampuan gamer marhaen. Oleh itu Acer Nitro 17 turut diumumkan pada harga yang lebih mampu milik serta spesifikasi yang lebih konservatif.

Acer Nitro 17 dilengkapi skrin 17.3″ IPS LCD QHD dengan kadar segar semula 165Hz. Ia dipadankan kepada cip sehingga Intel Core i7 14700HX, grafik NVIDIA GeForce RTX 4060, memori sehingga 32GB RAM dan storan sehingga 2TB. Papan kekunci mempunyai empat zon lampu yang boleh diubah serta butang NitroSense Key dan CoPilot terbina.

Sistem audio DTS:X Ultra menawarkan pengalaman permainan video yang menyeluruh. Pilihan I/O pula adalah Thunderbolt 4 USB-C, port USB-A, HDMI 2.1 dan pembaca kad mikro SD. Sambungan internet boleh dilakukan menerusi Killer DoubleShot Pro Ethernet E3100G dan juga Wi-Fi 6E. The Acer Nitro 17 (AN17-72) dijual pada harga bermula $1250 (~RM5809).