Cari @ Amanz

ASUS ROG Zephyrus G14 dan G16 dilancarkan tahun lalu dengan panel AniMe Matrix di panel belakang. Tahun ini ROG Zephyrus G14 dan G16 telah dikemaskini dengan rekaan lebih bergaya, minimalis dan moden membuatkan ia tidak kelihatan seperti sebuah komputer riba gaming.

Kedua-dua model hadir dengan skrin OLED 3K 120Hz dan 2.5K 240Hz dengan nisbah 16:10, melepasi piawaian VESA DisplayHDR True Black 500 dan sokongan NVIDIA G-Sync. Pada G14 cip AMD Ryzen 8000 digunakan dengan NVIDIA GeForce RTX 4070. manakala pada G16 pula cip Intel Core i9 digunakan dengan NVIDIA GeForce RTX 4090. Kedua-dua model dilengkapi memori sehingga 32GB RAM dan storan sehingga 2TB SSD.

Tubuh diperbuat daripada bahan aluminium yang menjalani proses CNC. Pada panel penutup kini terdapat lampu Slash Lightning dalam bentuk garisan dan bukan lagi sistem AnimeMe Matrix. Tubuh kedua-dua model juga lebih nipis menjadikannya lebih ringan tetapi masih mampu menawarkan papan kekunci serta sistem speaker yang lebih besar.

Dengan rekaan yang lebih matang ini, G14 dan G16 masih serasi digunakan bagi tujuan profesional tanpa kelihatan seperti sebuah komputer gaming yang secara lazimnya mempunyai rekaan yang agak agresif. ASUS ROG Zephyrus G14 dan G16 akan mula dijual bulan depan tetapi harga belum diumumkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd