Cari @ Amanz

Tahun lalu Sony Honda Mobility memperlihatkan prototaip kereta elektrik Afeela mereka di pentas CES. Tidak banyak maklumat diketahui mengenainya cuma ia adalah lanjutan daripada kenderaan konsep Sony Vision-S yang diperlihatkan pada tahun 2020. Sekali di CES Sony Honda Mobility memperlihatkan prototaip Afeela yang kini dipercayai lebih hampir kepada kenderaan yang akan dipasarkan pada tahun 2026.

Prototaip Afeela 2024

Perubahan dilakukan pada bahagian luar dengan kini terdapat dua cermin sisi fizikal menggantikan dua tangkai kecil dengan kamera yang digunakan sebelum ini. Lampu serta kekisi hadapan juga lebih besar mungkin bagi memenuhi keperluan lampu yang lebih terang digunakan pada kenderaan produksi sebenar.

Di ruang dalaman pula tidak banyak perubahan dilakukan cuma terdapat dua pengecas nirwayar dan pengumuman sistem visualisasi objek sekeliling pada papan pemuka menggunakan teknologi Unreal Engine 5.3. Selain itu terdapat kamera di bahagian dalam kokpit yang tidak kelihatan sebelum ini.

Sony turut mendedahkan Afeela bakal dilengkapi dua motor – satu di depan dan satu di belakang – dengan setiap satu menghasilkan 241 kuasa kuda. Bateri pula dari jenis Li-ion dengan kapasiti 91 kWh yang menyokong pengecasan DC 150kW dan AC 11 kW. Jarak perjalanan masih belum didedahkan dan hanya akan diketahui apabila Afeela akan mula dijual dalam masa dua tahun lagi.

Prototaip Afeela 2023
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd