Cari @ Amanz

AI ada masa hadapan yang cerah, tidak seperti NFT. Penggunaan AI generatif benar-benar dilihat boleh membantu manusia. Hari demi hari semakin banyak peranti AI atau telefon dengan integrasi AI dilancarkan. Selepas Humane AI Pin dilancarkan, kini Rabbit R1 pula diperkenalkan kepada umum.

Rabbit R1 adalah peranti kecil dengan skrin sesentuh 2.88-inci, kamera boleh berputar, roda kawalan analog, mempunyai mikrofon dan speaker terbina. Ia menjalankan sistem operasi tersendiri iaitu Rabbit OS yang dibina berasaskan model bahasa raya Large Action Model atau LAM. Sistem operasi ini dikatakan cukup bijak mengenalpasti interaksi manusia dengan sesebuah peranti dan boleh memudahkan lagi manusia dalam tugasan harian yang ringkas.

Misalnya, R1 tidak memerlukan pengguna memasang aplikasi. Hanya terus berikan arahan dan untuk menempah tiket wayang, tiket penerbangan, dan memainkan video atau muzik juga senang. Yang membezakan Rabbot OS daripada Siri dan Google Assistant ia boleh membelikan barang untuk pengguna dan mengeluarkan rumusan secara terus untuk arahan yang diberikan.

Rabbit R1 adalah pengganti telefon generasi baharu dengan ia direka sangat kecil oleh Teenage Engineering seakan konsol Playdate. R1 boleh menghantar mesej, melakukan panggilan telefon, panggilan video, dan menggunakan aplikasi untuk pengguna. Akan datang R1 akan dikemaskini untuk pengguna melatih peranti ini menggunakan aplikasi lain.

Rabbit R1 adalah peranti yang dijana cip MediaTek Helio P53, dipadankan dengan memori 4GB RAM, storan 128 GB, menyokong kad SIM, WiFI, Bluetooth, serta bateri yang bertahan sepanjang hari. R1 hanya ditawarkan dengan warna Luminous Orange dan dijual pada harga $199 tanpa sebarang langganan. Ketika artikel ini ditulis, 100,000 unit telah pun terjual.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd