Carian
Honor Magic6 dan Magic6 Pro Dilancarkan Dengan Snapdragon 8 Gen 3 Serta Komunikasi Satelit
January 11, 2024 Effi Saharudin

Honor memulakan 2024 dengan melancarkan Honor Magic6 dan Honor Magic6 Pro yang merupakan peranti mercu premium mereka tahun ini. Rekaannya bukan lagi misteri keran didedahkan sendiri sejak minggu lalu. Dengan ia dilancarkan hari ini persoalan mengenai spesifikasi penuh akhirnya terungkai.

Honor Magic6 Pro sebagai model paling mercu dilengkapi skrin 6.81″ OLED LTPO FHD+ 120Hz yang menyokong paparan kandungan HDR10+. Skrin ini dipadankan kepada cip Snapdragon 8 Gen 3, memori sehingga 16GB RAM, storan sehingga 1TB dan bateri sebesar 5600 mAh yang menyokong pengecasan berwayar 88W serta nirwayar 66W.

Kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP dengan OIS, ultra sudut lebar 50MP dan telefoto 180MP dengan OIS yang boleh melakukan zum optikal sehingga 10X. Di bahagian hadapan kamera swafoto 50MP digunakan dengan ia diletakkan dalam sebuah lubang kamera berbentuk bujur. Ini adalah kerana Magic6 Pro menyokong sistem imbasan wajah 3D memerlukan lubang kamera yang lebih besar.

Bercakap mengenai kamera, bonggol kamera di belakang Magic6 Pro adalah besar dengan sensor 180MP mendominasi ruang atas lensa yang disusun dalam bentuk tiga segi. Peranti ini turut hadir dengan pengimbas cap jari bawah skrin, speaker stereo dan kalis air IP68.

Honor Magic6 pula dilengkapi skrin 6.78″ OLED LTPO FHD+ 120Hz yang menyokong paparan kandungan HDR10+. Skrin ini dipadankan kepada cip Snapdragon 8 Gen 3, memori sehingga 16GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 5450 mAh yang menyokong pengecasan berwayar 66W serta nirwayar 50W.

Kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP OIS, ultra sudut lebar 50MP dan telefoto 32MP OIS yang boleh melakukan zum digital sehingga 30X. Di bahagian hadapan kamera swafoto 50MP digunakan dengan ia diletakkan dalam sebuah lubang kecil kerana sistem imbasan wajah maka 3D. Magic6 turut hadir dengan speaker stereo dan pengimbas cap jari bawah skrin.

Kedua-duanya juga menggunakan sistem operasi MagicOS 8 berasaskan Android 14 yang hadir dengan pelbagai ciri kecerdasan buatan (AI) MagicLM terbina dalam peranti. Ini membolehkan tugasan AI dilakukan tanpa sambungan internet. Antaramuka juga diberikan nafas baharu dengan kustomasi pada skrin kunci lebih pelbagai, dan mod paparan maklumat ketika dicas.

Harga jualan Honor Magic6 Pro dan Magic6 adalah seperti di bawah.

  • Honor Magic6 Pro (12/256GB) – RMB 5699 (~RM3725)
  • Honor Magic6 Pro (16/512GB) – RMB 6199 (~RM4052)
  • Honor Magic6 Pro (16/1000GB) – RMB 6699 (~RM4379)
  • Honor Magic6 (12/256GB) – RMB 4399 (~RM2876)
  • Honor Magic6 (16/512GB) – RMB 4999 (~RM3268)
Komen