Carian
10 Perkara Menarik Dan Mengecewakan Siri Samsung Galaxy S24
January 18, 2024 Effi Saharudin

Samsung Galaxy S24, Samsung Galaxy S24+ dan Samsung Galaxy S24 Utra dilancarkan pagi ini di San Jose, California. Menjadi kelaziman apabila peranti Galaxy S diumumkan, ramai ingin mengetahui apakah ciri baharu yang boleh digunakan serta berbaloikah untuk membelinya.

Bagi memudahkan pembaca melakukan pilihan yang tepat, kami di Amanz menghasilkan senarai 10 perkara menarik dan mengecewakan pada peranti siri Samsung Galaxy S24. Di akhir artikel ini kami berharap anda dapat melakukan penilaian sendiri.

1.Menarik – Semua Skrin Kini LTPO 120Hz

Samsung Galaxy S24, Galaxy S24+ dan Galaxy S24 Ultra dilengkapi skrin panel Dynamic AMOLED 2X yang sama. Saiz dan resolusi berbeza tetapi ketiga-tiganya dari keluarga LTPO membolehkan sokongan kadar segar semula sehingga 120Hz. Tahap keterangan skrin meningkat ke 2600 nits berbanding 1750 nits tahun lalu. Dengan keterangan puncak lebih tinggi, mod Vision Booster membolehkan kandungan pada skrin dilihat walaupun dalam keadaan matahari yang terang.

2. Menarik – Tubuh Titanium Pada Galaxy S24 Ultra

Bahan titanium ialah logam eksotik pilihan Samsung tahun ini hanya pada S24 Ultra. Logam ini lebih tahan lasak hentakan tetapi pada waktu yang sama juga lebih ringan. Ketika Perang Dingin dahulu, titanium digunakan pada pesawat pengintip Lockheed SR-71 Blackbird dan kapal selam nuklear kelas Alpha. Ketahanan titanium dahulunya digunakan pada senjata tetapi kini digunakan pada telefon pintar kegunaan harian. Melengkapi tahan ketahanan tubuh titanium ialah kaca Corning Gorilla Armor yang adalah empat kali ganda lebih tahan lasak berbanding generasi sebelum ini.

3. Menarik – Call Assist Alih Bahasa Ketika Panggilan Telefon

Anda boleh melakukan panggilan telefon dengan insan yang tidak bertutur menggunakan bahasa yang sama pada siri Galaxy S24. Ciri Call Assist boleh mengalih bahasa secara masa nyata ketika panggilan telefon dilakukan antara dua individu. Dalam demo yang diperlihatkan, seorang yang bercakap dalam bahasa Inggeris boleh berbicara dengan seorang insan yang hanya tahu berbahasa Korea.

Yang menjadikan ciri ini lebih menakjubkan ialah ia dilakukan secara terbina pada telefon tanpa sambungan internet. Setiap S24 boleh menjadi seakan peranti fiksyen Universal Translator daripada dunia Star Trek. Ketika dilancarkan ia menyokong 13 bahasa utama dunia dengan perancangan menawarkan lebih banyak bahasa secara berperingkat.

4. Menarik- Suntingan Gambar Serta Video Dengan AI

Meneruskan tema Galaxy AI, siri Galaxy S24 boleh melakukan suntingan gambar serta video dengan bantuan kecerdasan buatan. AI boleh menganalisa gambar di dalam aplikasi Gallery sebelum memberikan saranan suntingan yang boleh dilakukan seperti membuang objek atau meningkatkan resolusi menerusi ciri Remaster. Objek dalam gambar boleh diubah kedudukannya, dipadam sepenuhnya dan kemudian ditambah di luar bingkai asal kesemuanya menggunakan AI.

Video biasa pula boleh diubah menjadi video gerak perlahan dengan bingkai tambahan dijana oleh AI. Membuang bayang-bayang dan pantulan pada cermin juga boleh dilakukan dengan sekelip mata. Ciri yang ditawarkan oleh Samsung ini adalah amat mirip ciri yang sebelum ini eksklusif pada peranti Pixel.

5. Menarik – Chat Assist Membantu Penulisan

Kurang berbakat untuk menulis? Tidak tahu bahasa asing untuk menghantar mesej kepada peniaga di luar negara? Mahukan tona bahasa yang lebih profesional dalam penulisan kepada pelanggan? Kesemua ini dipermudahkan menerusi ciri Chat Assist. Ia adalah seakan ChatGPT yang dengan pintar memberikan saranan cara mesej boleh dihantar kepada pelanggan yang inginkan bahasa formal, lebih santai untuk ahli keluarga dan dipenuhi emoji jika ingin berbicara dengan generasi muda.

Chat Assist seperti Call Assist tidak memerlukan internet untuk berfungsi kerana terbina terus pada setiap peranti siri S24. Tidak berakhir di sini, Chat Assist boleh mengalih bahasa secara automatik dalam aplikasi pemesejan seperti Google Messages, Facebook Messenger, WhatsApp dan Line. Lebih 100 bahasa disokong oleh Chat Assist pada waktu ini.

6. Menarik – Circle To Search Memudahkan Pencarian Maklumat

Di zaman awal internet, carian dilakukan dengan memasukkan frasa di Google, Altavista, dan Yahoo. Kini carian internet semakin maju dengan arahan suara Assist dan memuat naik gambar ke Lens turut boleh dilakukan. Kini ciri carian terkini Circle to Search pula diumumkan Google pada peranti siri Galaxy S24 terlebih dahulu. Dengan Circle to Search carian boleh dilakukan di mana-mana sahaja pada telefon S24.

Ingin mengetahui apakah baju dipakai oleh artis dalam Instagram Reels? Tekan bukan home untuk lancarkan Circle to Search kemudian lukis bulatan pada objek yang ingin dicari. Keputusan carian dipaparkan dengan pantas tanpa pengguna perlu keluar daripada Instagram. Dapat mesej mengenai “mana kedai nasi lemak viral sambal cheese di Segambut?” di dalam Messages? Aktifkan Circle to Search kemudian gariskan frasa soalan tadi dan lokasi kedai ini boleh dicari.

Selain menggaris dan melukis bulatan, carian juga boleh dilakukan dengan menconteng pada gambar. Dengan Circle to Search, carian boleh dilakukan di mana-mana sahaja tanpa perlu menaip sebarang frasa.

7. Menarik – Sokongan Kemas Kini Selama Tujuh Tahun

Pernah satu ketika Samsung menjadi bahan jenaka kerana kegagalan mereka untuk memberikan kemas kini sistem operasi yang pantas. Dua tahun yang lalu mereka menawarkan kemas kini empat versi Android dan lima tahun tampalan sekuriti yang menjadi standard ikutan pengeluar lain. Tahun ini mereka mengikuti jejak Google Pixel 8 dan menawarkan sokongan kemas kini tujuh versi Android dan tujuh tahun tampalan sekuriti. Ini menjadikan hanya siri S24 dan Pixel 8 mempunyai sokongan kemas kini setanding iPhone.

8.Menarik – Kebuk Wasap Penyejukan Lebih Besar

Hakikatnya orang ramai membeli peranti mercu kerana ia mempunyai prestasi terbaik yang terbaik. Ini adalah menjadi keutamaan lebih-lebih lagi di kalangan gamer permua. Permua ialah pasaran yang mempunyai peratusan lebih besar berbanding gabungan pasaran PC dan konsol. Telefon pintar mercu perlu berfungsi cemerlang bukan sahaja pada aplikasi biasa tetapi turut pada permua berat seperti Genshin Impact dan Call of Duty : Warzone Mobile. Tahun ini kebuk wasap sistem penyejukan siri S24 dibesarkan lagi saiznya sehingga 1.9X ganda bagi memastikan prestasi tinggi permua dapat dinikmati untuk tempoh lebih lama tanpa isu pemanasan.

9. Mengecewakan – Rekaan Tidak Banyak Berubah

Satu trend yang kami kurang gemari akhir-akhir ini ialah rekaan lama digunakan semula dengan hanya perubahan pada perkakasan dalaman digunakan. Ia dipopularkan oleh Apple tetapi kini sudah merebak ke pengeluar lain termasuk Samsung. Kami tahu rekaan lama digunakan semula atas alasan “lebih mesra alam” dan “mengurangkan pembaziran”. Tetapi orang ramai majoritinya ingin melihat inovasi pada rekaan tahun demi tahun. Sukar membezakan model tahun lalu dengan model tahun ini jika perbezaan rekaan adalah sekelumit sehingga tidak dapat dikesan dengan sekilas pandang.

10. Mengecewakan – Pengecasan Sekadar 45W

Tahun lalu kedengaran ura-ura Samsung akan menawarkan pengecasan 60W pada siri S24. Tetapi S24+ dan S24 Ultra masih sekadar menyokong pengecasan 45W manakala S24 kekal dengan pengecasan 25W yang kami rasakan tidak lagi sesuai digunakan pada peranti mercu premium.

Ramai yang ingin melihat Samsung lebih berani menawarkan pengecasan lebih pantas. Hakikatnya pengecasan 45W adalah mengecewakan kerana pesaing Samsung sudah memberikan pengecasan 120W pada peranti kelas pertengahan. Kenapa masih perlu menunggu sejam untuk mengecas jika teknologi 15 minit sudah wujud sejak dua tahun lalu?

Adakah 10 perkara menarik dan mengecewakan ini mengubah minat anda untuk miliki Samsung Galaxy S24, Samsung Galaxy S24+ dan Samsung Galaxy S24 Ultra? Kongsi pendapat anda di ruangan komen

  • Pra-Tempah :
Komen