Cari @ Amanz

Ura-ura menjadi kenyataan selepas Samsung mengesahkan sokongan kemaskini selama tujuh tahun bermula dengan peranti siri Samsung Galaxy 24. Samsung akan menawarkan kemas kini tujuh versi Android dan kemas kini tampalan sekuriti selama tujuh tahun. Ini meletakkan sokongan perisian Samsung setanding yang ditawarkan pada iPhone dan Google menerusi siri Pixel 8.

Sebelum ini Samsung menjadi yang pertama di kalangan pengeluar Android yang menawarkan kemas kini empat versi Android dan lima tahun tampalan sekuriti. Ia bukan sahaja ditawarkan pada peranti kelas mercu Galaxy S dan Galaxy Z, tetapi juga pada siri Galaxy A yang lebih mampu milik.

Dengan sokongan perisian yang lebih panjang ini, peranti keluaran Samsung dapat digunakan untuk tempoh yang lebih lama. Tiada lagi kerisauan mengenai kerentanan sekuriti yang boleh menyebabkan kerugian kepada pemilik. Sudah dapat dilihat tahun ini kemas kini Samsung adalah yang terpantas di kalangan pengeluar Android. Ini mungkin akan mencabar pengeluar lain untuk turut mengikuti jejak Samsung dan Google dalam masa terdekat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd