Carian
Ulasan Redmi Watch 4 – Bergaya, Berguna dan Berbaloi
January 22, 2024 Rihhadatul Aisy

Redmi Watch 4 ini adalah jam tangan pintar terbaru daripada yang turut dilancarkan bersama dengan aksesori lain iaitu Redmi Buds 5 dan juga telefon pintar siri Redmi Notes 13 baru-baru ini. Jam tangan pintar daripada Redmi kali ini adalah jam tangan pintar mampu milik yang saya rasakan berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Ulasan kali ini adalah berdasarkan pengalaman saya setelah 2 minggu menggunakannya pada setiap hari untuk melakukan pelbagai aktiviti harian. 


SPESIFIKASI

Xiaomi Watch 2 Pro
Skrin1.97″ AMOLED, 450 x 390, 600 nits
Pemproses
Memori/Storan
Sistem OperasiHyperOS
Perlindungan5ATM
SensorPengimbas nadi optikal, sensor pemecut,giroskop, sensor cahaya ambien, kompas elektronik,sensor barometer, sensor analisis impedans bioelektrikal
Lain-LainGPS, Galileo, Glonass, BDS, QZSS, Bluetooth 5.3, Tombol berputar Speaker Mikrofon
Bateri470 mAh
Ketahanan 10 hari (Mod AOD)
Ketahanan 20 hari (Mod Penggunaan Biasa)
Ketahanan 30 hari (Mod Penjimatan) 
Bahan BinaanKerangka aluminium
Skrin kaca
Tali jam getah
HargaRM459

REKAAN

Jika sekali pandang memang terlihat seperti Apple Watch tetapi jika diperhatikan betul-betul rekaan pada Redmi Watch 4 ini ada kelainannya. Jam tangan pintar keluaran Xiaomi ini memiliki reka bentuk yang anggun dengan dimensi 47.6 x 41.1 x 10.5 mm dan seberat 31.5g. Di bahagian belakangnya pula terdapat sensor dengan kemasan matte yang selesa saja apabila bersentuhan dengan kulit.

Tali jam pula adalah daripada silikon yang didatangkan dengan pilihan warna putih dan juga warna hitam yang terasa lembut dan berkualiti apabila dipegang. Tetapi masih terdapat pilihan tali jam tambahan dengan warna yang lebih pelbagai dan boleh disesuaikan mengikut gaya dan citarasa si pemakai. Proses memakai dan membuka jam daripada pergelangan hanya terasa kekok semasa awal tempoh pemakaian saja.

Setelah hari kedua memakainya untuk pergi ke kerja, saya semakin cekap untuk memasangnya pada pergelangan tangan. Talinya juga selesa di pergelangan tangan tanpa rasa rimas atau tidak selesa. Cuma jika dipakai dengan ketat, mungkin akan terasa sedikit gatal. Manakala di bahagian sisi kanannya pula terdapat satu tombol berputar yang akan memberikan kesan bergetar pada jam apabila diputar untuk menggerakkan paparan.

Apa yang lebih mengujakan ialah struktur pembukaan tali jam sekiranya ingin ditukarkan adalah cukup mudah. Hal ini saya katakan begitu kerana tali jamnya senang untuk dicabut dan dipasang, dengan hanya perlu menekan butang yang terbina pada bahagian belakang jam.

Selain itu, Redmi juga menyediakan lebih daripada 200 jenis latar belakang antara muka jam yang boleh dipilih mengikut kesesuaian dan jenis rekaan grafik yang disukai pengguna. Menerusi kepelbagaian rekaan antara muka yang tersedia, pengguna dapat mengekspresikan keperibadian masing-masing mengikut citarasa.

Skrin jam tangan pintar Redmi Watch 4 dibina dengan saiz 1.97” yang saya rasakan memadai untuk sebuah paparan jam tangan pintar. Hal ini saya katakan begitu kerana dengan saiz skrin yang tersedia ini sudah pun tampak agak besar di pergelangan tangan saya. Tetapi saya tiada keluhan mengenai saiz skrin ini kerana secara logiknya saya harus akur dengan paparan skrin yang agak besar pada sebuah jam tangan pintar kerana banyak perkara yang perlu dipaparkan.

Jika terlalu kecil paparan yang dibina maka ia akan menyusahkan pula pengguna untuk melihat paparan. Pandangan ini mungkin hanya akan terwujud dalam pemikiran mereka yang lebih menggemari rekaan jam tangan bersaiz kecil berbanding dengan jam tangan yang bersaiz besar sehingga menutup keseluruhan lebar pergelangan tangan.


PENGALAMAN PENGGUNAAN

Setelah menggunakan jam tangan pintar Redmi Watch 4 ini setiap hari selama 2 minggu, saya boleh katakan apa yang dipersembahkan oleh jam tangan ini adalah sangat baik. Setiap tatalan dalam paparan adalah sangat lancar tanpa masalah lengah masa yang mengecewakan. Pergerakan paparan apabila disentuh mahupun ketika digerakkan dengan menggunakan tombol berputar juga adalah baik dan lancar.

Penggunaan Redmi Watch 4 ini adalah bersama aplikasi Mi Fitness yang perlu dimuat turun secara percuma di AppStore, PlayStore dan Huawei AppGallery. Saya mengujinyanya pada peranti Redmi Note 13 5G dan proses sambungan hanya memerlukan beberapa langkah mudah termasuklah dengan mengimbas kod QR yang dipaparkan pada jam.

HyperOS pada jam Redmi 4 ini tidak mengalami sebarang masalah perisian. Saya dapati notifikasi yang muncul pada jam juga adalah pantas dan tiada isu yang menyebabkannya kadangkala tidak muncul. Seterusnya, aplikasi-aplikasi kecergasan yang disediakan juga dapat digunakan dengan mudah dan tidak menjengkelkan.

Beralih pula kepada bahagian sensor yang terbina pada jam Redmi ini dimana fungsi Bluetooth dan WiFi berfungsi dengan baik. Menerusi aplikasi kecergasan yang disediakan, hasil keputusan dan data yang ditunjukkan juga logik. Redmi juga dalam iklannya memberi jaminan berkenaan dengan ketepatan pemantauan yang lebih tinggi disebabkan oleh konfigurasi penderia PPG nya telah dinaik taraf bagi menyertakan 4 saluran bagi membantu meningkatkan ketepatan pemantauan kesihatan.

Seterusnya, dengan bantuan teknologi pemantauan tidur yang saintifik dan teliti juga tersedia pada jam Redmi ini. Menerusinya, apabila jam dipakai ketika tidur, jam ini kan merekodkan peringkat keadaan tidur yang berbeza oleh pemakai dalam masa nyata mengikut peratusan. Antara peringkat tidur yang akan dinyatakan ialah tidur nyenyak, tidur ringan dan juga berapa kali pengguna terjaga daripada tidur. Teknologi ini secara tidak sedar dapat meningkatkan tabiat dan kualiti tidur serta menjadikan saya lebih peka dengan corak rutin tidur saya setiap hari.

Bukan itu sahaja, dari aspek pemantauan kesihatan, jam tangan pintar ini juga dapat melakukan beberapa perkara yang saya anggap berguna bagi mereka yang mahu sentiasa memantau tingkat kesihatan asas tubuh dalam masa nyata. Misalnya terdapat pemantauan ketepuan oksigen darah yang akan direkodkan sepanjang hari di mana jam tangan ini akan bergetar sebagai tanda isyarat sekiranya ketepuan oksigen darah pemakai terlalu rendah.

Selain itu terdapat juga pemantauan kadar degupan jantung serta kadar tekanan. Jam tangan ini akan memaparkan notifikasi yang menghendaki pengguna untuk melakukan senaman pernafasan apabila tahap tekanan yang direkodkan telah mencapai 80 sebanyak dua kali berturut.

Apa yang lebih mengujakan ialah Redmi Watch 4 ini menyediakan lebih daripada 150 jenis mod sukan yang boleh memenuhi kehendak dan minat ramai pengguna. Jenis-jenis sukan yang tersedia ialah larian, berjalan kaki, berbasikal dan pelbagai lagi. Bahkan, apa yang membuatkan saya lebih teruja ialah kaedah pemanasan badan yang betul oleh jurulatih profesional juga boleh ditunjukkan pada skrin bagi dalam postur yang betul sebagai langkah untuk mengurangkan risiko kecederaan semasa bersukan.

Tidak berhenti disitu, jam tangan pintar ini juga memiliki ciri kalis air 5ATM yang menurut Redmi sesuai dengan 18 jenis sukan akuatik. Jika untuk sukan yang melibatkan air sekalipun ia dapat berfungsi dengan baik maka sekadar untuk bertahan dalam hujan pastinya tiada masalah untuk Redmi Watch 4 terus berfungsi.


BATERI

Melihat kepada ketahanan bateri pada Redmi Watch 4 ini, saya dapat katakan kemampuan baterinya adalah cukup baik dan tidaklah mengecewakan. Hal ini kerana, jam tangan pintar ini mampu bertahan sehingga 20 hari pada mod penggunaan biasa dan ketahanan selama 10 hari dalam mod Always-On-Display.

Redmi Watch 4 turut didatangkan bersama dengan pengecas magnet mudah alih yang membolehkan ia dapat dicas dengan mudah. Sekiranya Mod penjimatan bateri dihidupkan pula, ia dapat bertahan sehingga 30 hari. Secara keseluruhan, bagi sebuah jam tangan pintar dengan pelbagai ciri tersedia tetapi masih boleh mengekalkan ketahanan bateri sedemikian adalah sangat memadai.


APA ADA DALAM KOTAK?

1x Redmi Watch 4
1x Tali jam
1x Pengecas magnet mudah alih
1x Set manual dan buku keselamatan


KESIMPULAN

Kesimpulannya, secara keseluruhan saya ingin katakan bahawa jam tangan pintar Redmi Watch 4 ini adalah sebuah jam tangan pintar bajet yang secara keseluruhan dapat berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah. Bukan itu sahaja,seperti yang telah saya ulas di atas, banyak juga fungsi, ciri dan aplikasi yang tersedia padanya. Harganya juga berbaloi dengan apa yang ditawarkan oleh jam tangan ini iaitu RM459.


Walaupun begitu, dalam penghasilan jam tangan keluaran seterusnya mungkin pihak Redmi dapat menitik beratkan tentang paparan skrin yang lebih mesra untuk digunakan di bawah cahaya matahari. Paparan skrin yang lebih cerah adalah sangat diperlukan khususnya untuk pengguna yang gemar melakukan aktiviti di kawasan luar dan terdedah kepada terik matahari.

PRO

  • Lancar dan pantas
  • Bateri tahan lama
  • Sensor yang dapat merekodkan data kesihatan dengan baik

KONTRA

  • Skrin tidak cukup cerah
  • Tiada pengecasan nirwayar
Komen