Cari @ Amanz

Tahun ini Samsung tidak lagi menawarkan satu cip pemprosesan untuk semua siri Galaxy S baharu. Sebaliknya Galaxy S24 dan S24+ dijana Exynos 2400 dan S24 Ultra dijana dengan Snapdragon 8 Gen 3. Walaupun begitu, ketiga-tiga peranti masih menerima ciri Galaxy AI yang sama dan sokongan kemas kini versi Android serta sekuriti selama 7 tahun.

Cip Samsung Exynos 2400 adalah cip untuk peranti mercu. Ia mempunyai 10-teras 1x 3.2 GHz Cortex-X4 + 2x 2.90 GHz Cortex-A720 + 3x 2.60 GHz Cortex-A720 + 4x 2.0 GHz Cortex-A520 dan menggunakan GPU berasaskan rekaan AMD RDNA 3, Xclipse 940. Cip ini adalah cip generasi keempat Samsung dengan binaan 4nm, tetapi kali ini akan beroperasi pada kadar lebih sejuk kerana menggunakan proses pemasangan Fan-Out Wafer-Level Package.

Exynos 2400 turut mempunyai kemampuan 14.7x lebih pantas memproses AI, berbanding Exynos 2200. Samsung menyatakan cip baharu mereka ini mempunyai kuasa pengkomputeran AI mencapai 17,000 MACS. Cip ini turut menyokong modem dengan kelajuan muat turun WiFi 9.64Gbps dan 5G 12.1Gbps. Selain itu sokongan komunikasi dengan satelit turut diintegrasikan.

Untuk kamera, Exynos 2400 boleh memberi kuasa kepada satu sensor 320MP atau dua sensor 64+32 MP 30fps atau sokongan 108MP pada kadar 30fps. Cip ini turut mempunyai deep learning fusion engine untuk mengurangkan kesan hingar pada hasil imej. Rakaman video 8K masih terhad pada kadar 30fps dan penstriman video kini menyokong AV1. Sokongan paparan turut boleh mencapai sehingga 4K/QHD+ 120Hz.

Setakat ini Exynos 2400 hanya akan digunakan pada Samsung Galaxy S24 dan Galaxy S24+. Kedua-dua telefon ini dijual pada harga bermula RM4099 dan RM4899. Mana tahu suatu hari nanti cip ini akan menjadi seperti Snapdragon 8+ Gen 1 yang kini turut dimuatkan dalam peranti mampu milik? Sama-sama kita ikuti perkembangan Exynos generasi baharu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd