Cari @ Amanz

Instagram ialah aplikasi pilihan golongan lebih muda kerana Facebook mempunyai reputasi sebagai platform untuk warga tua. Tetapi ketagihan kepada media sosial berlaku pada semua peringkat umur. Oleh itu Instagram telah mengaktifkan ciri baharu yang memberikan peringatan kepada remaja untuk tidur jika aplikasi mengesan mereka menghabiskan masa selepas waktu tidur.

Notifikasi nasihat untuk tidur akan dipaparkan pada skrin jika pengguna dikesan mengakses Reels dan DM lebih daripada 10 minit selepas waktu tidur. Nasihat yang diberikan menyarankan aplikasi ditutup. Remaja masih boleh meneruskan aktiviti mereka walaupun selepas notifikasi ini diberikan.

Kepada ibu bapa atau penjaga, kawalan aktiviti aplikasi pada telefon pintar masih boleh dilakukan menerusi aplikasi seperti Google Family Link. Terdapat ciri mengunci aplikasi selepas ia digunakan melebihi had yang ditetapkan oleh ibu bapa serta penjaga. Jangan harapkan pemilik aplikasi untuk menjadi penjaga anak anda sepenuhnya. Tanggungjawab masih di tangan anda maka gunakanlah teknologi yang ada sebaik-baiknya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd