Carian
DJI Mic 2 Dilancarkan Dengan Rakaman Audio 32-Bit Dan Sokongan Bluetooth
January 19, 2024 Effi Saharudin

DJI Mic 2 telah dilancarkan beberapa hari yang lalu dengan beberapa penambahbaikan berbanding model DJI Mic asal yang dilancarkan pada tahun 2022. Perkara pertama yang disedari ialah rekaan unit pemancar yang kini lutsinar membolehkan komponen dalaman dilihat.

Pemancar mengekalkan rekaan kompak dan hanya seberat 28gram tetapi boleh melakukan rakaman audio sehingga 6 jam dengan sekali caj. Dengan bantuan pod pengecas, rakaman audio sehingga 18 jam boleh dinikmati pada DJI Mic 2.

Terdapat storan 8GB yang membolehkan rakaman audio 48kHz 24-bit sehingga 14 jam direkodkan terus sebelum dipindahkan ke dalam komputer/peranti. Sambungan pada baju masih boleh dilakukan menggunakan klip atau magnet. Setiap mikrofon boleh memancarkan audio sehingga jarak 250 meter dari unit penerima.

Unit penerima pula masih mempunyai skrin LCD sesentuh tetapi dipertingkat dengan roda kawalan fizikal pada bahagian sisi. Rakaman audio yang disokong pula adalah dari dua unit mikrofon sehingga tetapan audio 32-bit. Terdapat mod melakukan dwi-rakaman trek audio serentak dengan satu pada tahap -6dB lebih rendah sebagai sandaran jika trek audio utama melampaui tahap puncak.

Ciri lain yang menarik ialah ia hadir dengan sistem pembatalan hingar sekeliling untuk rakaman audio di luar serta sokongan sambungan secara bluetooth terus kepada telefon pintar. Sebelum ini sambungan unit penerima ke telefon perlu dilakukan menerusi port USB-C.

DJI Mic 2 dijual pada harga $219 (~RM1033) dengan ia terdiri daripada dua unit pemancar (mikrofon) dan satu unit penerima serta satu pod pengecas merangkap tempat simpanan. Ia ditawarkan dalam warna hitam dan putih mutiara.

Komen