TikTok ialah platform yang berjaya mempopularkan semula lagu-lagu lama seperti Dreams oleh Fleetwood Mac dan menghasilkan bintang baharu seperti Jain menerusi lagu Makeba yang tular. Walaupun dilihat sebagai platform mempopularkan muzik buatan manusia sekarang, TikTok kini menguji ciri “AI Song” yang menjana muzik menggunakan kecerdasan buatan.
Ciri ini mula diaktifkan kepada beberapa pengguna sejak seminggu lalu menurut laporan The Verge. Ia dijana menggunakan model kecerdasan buatan Bloom. Pengguna hanya perlu memasukkan prom ke dalam AI Song dan muzik pendek pelbagai genre akan dijana olehnya. Lagu yang terhasil pada waktu ini kedengaran agak aneh.
Tidak diketahui sama ada ciri ini akan diberikan kepada semua atau sekadar ujian jangka pendek oleh Bytedance. AI Song adalah mirip ciri Dream Tracks for Shorts serta Music AI yang diperkenalkan YouTube untuk menjana muzik latar belakang bagi kegunaan video di platform.