Jepun menjadi negara kelima yang berjaya mendaratkan kapal angkasa di permukaan bulan semalam. Kapal angkasa SLIM (Smart Lander for Investigating Moon) mendarat berhampiran garisan khatulistiwa tetapi kini hanya mempunyai kuasa bateri selama beberapa jam kerana panel solar yang membekalkan kuasa gagal dibuka.
Kapal angkasa SLIM direka untuk menguji sistem pendaratan di permukaan yang lebih tepat berbanding yang digunakan oleh Amerika, Rusia, China dan India sebelum ini. Ia cuba mendarat dengan ketepatan 100 meter daripada sasaran berbanding sekitar 12 kilometer pada sistem pendaratan semasa.
Walaupun Agensi Angkasa Lepas Jepun (JAXA) mengumumkan kejayaan misi SLIM, masih tiada maklumat sama ada panel solar telah berjaya dibuka untuk bekalan kuasa berterusan. Ketepatan sistem pendarat yang digunakan juga belum diumumkan kejayaannya oleh JAXA.
Jepun ialah antara negara yang menandatangani Persetujuan Artemis yang berjanji untuk melakukan pengembaraan angkasa lepas untuk tujuan keamanan sahaja. Bantuan kecemasan akan diberikan kepada angkasawan apabila diperlukan. Turut disertakan ialah etika ketika melombong sumber di permukaan bulan dan Marikh.