Cari @ Amanz

Perbalahan mengenai penggunaan harta intelek karya seni yang digunakan untuk melatih model kecerdasan buatan (AI) generatif menyebabkan pembangun kini disaman oleh artis. Selagi isu belum diselesaikan di mahkamah, karya seni akan terus digunakan untuk melatih model AI yang lebih baharu. Artis kini akhirnya diberikan senjata untuk menghalang karya mereka digunakan tanpa kebenaran menerusi perisian Nightshade.

Perisian ini mengubah imej pada tahap pixel. Mata manusia tidak dapat melihat perubahan yang dilakukan tetapi perisian AI akan diracuni dengan ia melihat sesuatu yang tidak ada pada imej. Sebagai contoh gambar kucing diracun pada tahap pixel untuk dilihat sebagai seekor buaya apabila dilihat oleh AI. Akibatnya AI telah dilatih dengan data yang salah. Apabila AI diminta supaya menjana imej kucing, ia akan menghasilkan imej dengan buaya kerana pangkalan data latihannya telah diracun oleh Nightshade.

Nightshade dibangunkan oleh sekumpulan saintis perkomputeran dari University of Chicago di bawah nama The Glaze Project. Ia boleh dimuat turun secara percuma untuk komputer Windows dan Mac. Golongan artis yang tidak mahu karya mereka digunakan tanpa kebenaran oleh AI boleh memuat turun Nightshade 1.0 menerusi pautan di bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd