Cari @ Amanz

Realme Note 50 yang sepatutnya tersedia pada 23 Januari 2024 nampak telah didedahkan lebih awal menerusi Shopee. Penggunaan penjenamaan “Note” membuatkan ramai beranggapan ia berpotensi menawarkan pengalaman peranti yang kaya dengan fungsi menarik.

Namun Realme Note 50 sekadar dipasarkan sebagai peranti kelas asas, malah lebih mengejutkan apabila sebahagian spesifikasi digunakan mirip sebuah Realme C51 sebelum ini. Perbezaan hanyalah pada sistem pengecasan dan konfigurasi kamera utama lebih rendah pada Realme Note 50.

Melaluinya Realme Note 50 menampilkan skrin LCD sebesar 6.74-inci dengan resolusi HD+ dan kadar segar semula 90Hz. Ia juga menawarkan nisbah skrin-ke-badan 90.30% bersama kadar pensampelan 180Hz. Seterusnya cip Unisoc T612 digunakan sebagai tunjang utama, selain juga memuatkan memori 4GB RAM dan storan 64GB.

Bateri 5,000mAh disertakan dengan pengecasan 10W, diikuti juga kamera utama 13MP dan swafoto sebesar 5MP. Turut disertakan bicu audio 3.5mm sesuai buat mereka yang bergantung dengan fon telinga berwayar, sementara itu kalis air IP54 pula dijadikan pelindungan tambahan.

Persoalan kini lebih tertumpu pada harga jualan yang masih misteri. Dalam masa sama peranti juga berpotensi ditawarkan di Malaysia memandangkan telah melepasi pengesahan SIRIM sejak 18 Januari yang lepas.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd