Cari @ Amanz

Google dilihat menyediakan sejumlah lagi ciri baharu pada Meet selari dengan statusnya sebagai platform telesidang atas talian yang digunakan ramai. Sekaligus bermakna pengguna boleh menikmati lebih banyak manfaat menarik sewaktu membuat panggilan video dan audio.

Pertama sekali ialah keupayaan menggabungkan pelbagai kesan pada video yang bermakna pengguna bebas menggabungkan latar belakang dengan kesan penuras bersesuaian untuk pengalaman lebih menyeronokkan. Pengenalan ini boleh dianggap menarik dan memudahkan khususnya apabila digunakan untuk sesi temu duga dalam talian.

Dalam masa sama, antaramuka utama turut dikemaskini supaya lebih mudah diakses oleh pengguna dengan setiap kesan latar belakang dan penuras dikumpulkan setempat mengikut kategori.

Seterusnya ciri Studio Lighting dan Studio Sound pula bantu meningkatkan kualiti video, sekaligus menyelesaikan isu yang disebabkan oleh pencahayaan rendah atau kualiti audio yang kurang baik. Ini termasuklah keupayaan menyesuaikan tahap pencahayaan, kecerahan dan warna untuk kelihatan terbaik. Sementara itu Studio Sound menggunakan AI untuk mencipta semula frekuensi audio lebih berkualiti tinggi supaya boleh didengari dengan lebih baik.

Kesemua ciri telah mula diedarkan secara berperingkat kepada pengguna. Namun perlu diberi perhatian bahawa ciri Studio Lighting dan Studio Sound tersedia dengan tambahan Duet AI untuk Google Workspace Enterprise.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd