Cari @ Amanz

Semasa acara Samsung Unpacked 2024, tiga model Samsung Galaxy S24 telah dilancarkan. Bersama-sama dengannya adalah pengumuman bagi kehadiran Galaxy Ring, iaitu cincin pintar yang memfokuskan kepada kecergasan. Pasaran cincin pintar bukan perkara baharu kerana ia sudah wujud bertahun lamanya. Cuma selama ini, ia tidak cukup meluas dan dengan Samsung yang merupakan pengeluar besar adakah cincin pintar boleh mengubah pasaran peranti boleh-pakai (wearables)?

Di Malaysia, cincin pintar tidak begitu popular kerana jenama seperti Amovan Smart Ring, Ultrahuman Ring Air, Cicular, RingConn atau Oura Ring tidak dijual secara rasmi di sini. Apa yang ditawarkan adalah cincin pintar dengan ciri tasbih dan mencari arah kiblat yang boleh dibeli pada harga sekitar RM100-300. Ini bermakna untuk orang Malaysia cincin pintar bukanlah untuk kesihatan fizikal tetapi lebih menjurus kepada kesihatan rohani.

Harga jualan cincin pintar berjenama yang memfokuskan kecergasan ini boleh mencapai sehingga lebih RM2000. Ia bukannya murah kerana bahan binaan yang bagus, komponen dan elektrik penting perlu dimuatkan dalam saiz kecil serta ia perlu tahan lama. Jika harganya sudah mencecah lebih RM1000, orang ramai akan persoalkan kenapa beli cincin kalau boleh beli jam tangan pintar yang lebih murah atau sama harga?

Galaxy Watch

Sekiranya cincin pintar ingin mengubah industri peranti boleh-pakai, ia perlu menjadi seakan jam pintar. Penggunaan dan perkhidmatan tidak seharusnya bergantung kepada langganan berbayar seperti yang dilakukan oleh Oura atau Ringconn. Pengguna bebas menggunakan kesemua ciri dan fungsi tanpa halangan. Jika masih ingin menawarkan langganan, harganya jualannya pula harus mampu milik dan hanya ciri pilihan yang agak niche hanya diaktifkan menerusi langganan.

Pengeluar cincin pintar harus belajar daripada industri automotif yang memperkenalkan langganan untuk mengakses ciri tambahan seperti pemanas kerusi dan prestasi tambahan. Pelanggan memberikan maklum balas negatif sehingga berjaya memaksa BWM memansuhkan langganan kurang bijak ini tahun lalu.

Rekaan Sarwajagat Untuk Semua

Berdasarkan pemantauan saya, kebanyakan rekaan cincin pintar terlampau maskulin atau bertemakan cincin yang pada hemat saya sesuai untuk lelaki. Ini mungkin kerana rekaan yang tebal dan kebanyakan cincin wanita menggunakan rekaan nipis. Pilihan saiz yang banyak dan variasi rekaan harus ditawarkan kerana jika tidak ia tidak cukup untuk menarik perhatian.

Jika tidak banyak saiz ditawarkan, pengguna lelaki islam sukar untuk menggunakannya. Apa yang saya faham setakat ini, kebanyakan cincin pintar wajib disarung pada jari telunjuk atau jari tengah dengan pilihan jari manis biasanya mempunyai saiz yang terhad. Di dalam Islam, seorang lelaki harus mengelakkan diri daripada menyarungkan cincin di jari telunjuk dan jari tengah seperti yang dinyatakan oleh riwayat Muslim, `Ali bin Abi Talib RA;

نَهَانِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ أَتَخَتَّمَ فِي إِصْبَعِي هَذِهِ أَوْ هَذِهِ‏.‏ قَالَ فَأَوْمَأَ إِلَى الْوُسْطَى وَالَّتِي تَلِيهَا

Maksudnya: Rasulullah SAW menegahku daripada memakai cincin pada jari ini dan ini (sambil menunjukkan kepada jari tengah dan selepasnya iaitu jari telunjuk) – Riwayat Muslim (2078).

Berbalik kepada harga tadi, jika Samsung Galaxy Ring ingin menguasai pasaran cincin pintar – harga jualannya harus lebih murah berbanding Galaxy Watch6. Sebagai seorang yang memakai cincin, harga paling masuk akal jika saya ingin membeli cincin pintar adalah sekitar RM500 iaitu harga jam tangan pintar China seperti Redmi Watch 4 atau Amazfit Active Edge.

Jika diberi kesempatan saya mungkin akan cuba memakai cincin pintar sebagai pengganti kepada “cincin dungu” yang saya pakai sudah hampir dua tahun ini. Saya amat ingin tahu bagaimanakah prestasi pada sensor di dalam cincin berbanding pada jam tangan pintar saya. Apa pendapat anda? Jika Samsung Galaxy Ring dijual pada harga sekitar RM500, ada banyak pilihan saiz dan rekaan serta tiada langganan pada hemat saya berpotensi menjadi juara dalam pasaran peranti boleh pakai baharu ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd