Carian
Ulasan Samsung Galaxy S24 Ultra – Pixel Untuk Global
January 29, 2024 Effi Saharudin

Google Pixel telah dikeluarkan sejak 2016 dan selepas hampir lapan tahun ia masih belum ditawarkan secara rasmi di Malaysia. Ini berbeza dengan era Google Nexus dahulu di mana ia ditawarkan secara rasmi menerusi LG, Samsung, Huawei dan Motorola. Maka kita bolehlah mengandaikan Google tidak mempunyai minat mengembangkan penawaran Pixel ke pasaran global dalam masa terdekat ataupun terjauh.

Samsung Galaxy S24 Ultra dilancarkan minggu lalu dengan pelbagai ciri yang eksklusif pada siri ini dan juga peranti Pixel sahaja. Selepas menggunakannya selama hampir seminggu saya boleh katakan S24 Ultra ialah Google Pixel untuk pasaran global dan turut boleh diberikan nama samaran kedua Google Galaxy Nexus 2.

SPESIFIKASI

Samsung Galaxy S24 Ultra
Skrin6.8″ Dynamic AMOLED 2X, LTPO
WQHD+, 120Hz, HDR10+
PemprosesSnapdragon 8 Gen 3 For Galaxy (4nm)
Cip1 x 3.39 GHz Cortex-X4
3 x 3.1 GHz Cortex-A720
2 x 2.9 GHz Cortex-A720
2 x 2.2 GHz Cortex-A520
Cip GrafikAdreno 750
RAM12GB LPDDR5X
Muatan Dalaman256 /512/1000TB UFS 4.0
Kamera Utama200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
50MP f/3.4, OIS (Telefoto 5X)
10MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X)
Kamera Swafoto12 Megapixel f/2.2
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 45W
Pengecasan nirwayar 15W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 6299 (12/256GB)
RM 6799 (12/512GB)
RM 7799 (12/1000GB)

SKRIN

Skrin sebesar 6.8″ QHD+ Dynamic AMOLED 2X menyokong kadar segara 120Hz LTPO. Panel tahu ini lebih terang kerana boleh mencecah 2600 nits dengan sokongan Vision Booster membolehkan ia dilihat dengan jelas walaupun di bawah sinar matahari Malaysia yang cukup terang.

Satu kelebihan skrin S24 Ultra yang tidak begitu diiklankan ialah ia mempunyai lapisan mengelakkan silau yang terbaik pernah saya lihat di pasaran. Ia seakan sistem anti silau yang digunakan Samsung pada TV QLED premium mereka. Tak perlu mencari sudut yang baik untuk melihat kandungan pada skrin peranti ini.

Ia turut boleh memaparkan kandungan HDR dari Google Photos, Gallery dan Instagram. Selama ini peranti Samsung hanya menyokong paparan HDR dalam aplikasi penstriman video seperti YouTube, Netflix, Prime Video dan Disney+ Hotstar. Melihat gambar yang diambil dalam mod HDR memang menakjubkan kerana tidak pernah saya alami sebelum ini.

BIOMETRI

Pengimbas cap jari bawah skrin adalah dari jenis ultrasonik yang pantas dan boleh digunakan walaupun jari kotor ataupun basah. Ianya amat pantas sehingga tidak memerlukan jari ditekan kuat pada skrin untuk mengimbas jari. Kedudukannya juga ergonomik memudahkan jari di imbas apabila peranti dipegang sebelah tangan. Terdapat juga sistem imbasan wajah yang juga amat pantas walaupun dalam suasana gelap gelita.

S-PEN

Tiada perubahan spesifikasi dilakukan pada S Pen yang kini memasuki tahun ke empat ia ditawarkan pada siri Galaxy. Teknologi Wacom yang digunakan seperti telah mencapai tahap puncak sehingga tiada inovasi baharu diperkenalkan. Ciri-ciri lama menjadikannya alat kawalan jauh kamera, mengawal zum kamera seakan kayu sihir Harry Potter, sokongan S Pen pada papan kekunci serta menulis terus pada kotak carian dikekalkan. Di pasaran sekarang masih tiada telefon pintar jenis candy bar lain yang mampu menandingi siri Samsung Galaxy S (dan juga Galaxy Note) dan tradisi ini diteruskan untuk setahun lagi.

REKAAN

Rekaan Galaxy S22 Ultra dan S23 Ultra dikitar semula sekali lagi tetapi dengan beberapa perubahan yang sebenarnya agak besar. Tubuh kini diperbuat daripada logam titanium menggantikan Armor Aluminium. Menurut Samsung dengan penggunaan titanium tubuh S24 Ultra adalah lebih tahan lasak tetapi lebih ringan.

Bahagian sisi kini semakin berkotak berbanding model tahun lalu. Tiada perubahan pada kedudukan butang kuasa dan suara di sisi kanan. Kekisi speaker, talam SIM dan port pengecasan USB-C juga masih di bawah. Lubang kekisi speaker kini digantikan dengan salur alur nipis mungkin bagi memberikan aliran bunyi yang lebih baik.

Satu lagi perubahan kecil ialah bahagian belakang S Pen juga lebih rata supaya seragam dengan tubuh peranti yang seperti saya katakan tadi lebih rata. Tubuh peranti melepasi piawaian IP68 maka tidak perlu risau ia mengalami kerosakan jika terjatuh dalam kolam sehingga 15 minit.

Bahagian belakang menempatkan empat lensa kamera yang agak besar tetapi tidak begitu tinggi. Saya masih sarankan penggunaan kerangka bagi memastikan lensa tidak tercalar dan lebih penting sekali membolehkan peranti diletakkan rata pada permukaan meja.

PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Sistem operasi One UI 6.1 digunakan pada S24 Ultra dengan ia berasaskan Android 14. Saya telahpun gunakan antaramuka ini pada S23 Ultra dan Z Fold5 sebelum ini oleh itu tiada ciri baharu dapat saya lihat pada sistem operasi. Ikon, susunan, talam pintasan, skrin tetapan dan ciri-ciri standard semuanya sama sahaja. Saya tidak dibenarkan mengambil tangkapan layar ketika sesi ujian maka sara sertakan tangkapan layaran dari sebuah S23 Ultra di bawah yang hampir sama cuma dengan imej latar belakang berbeza.

Tahun ini Samsung mengikut langkah Google dan akan memberikan sokongan tujuh versi Android dan tampalan sekuriti selama tujuh tahun. Bagi mereka yang mencari peranti yang mempunyai sokongan kemas kini yang lama, pilihan anda di Malaysia hanyalah siri S24 dan siri Pixel 8 yang tidak dijual secara rasmi.

Elemen-elemen antaramuka masih lagi minimalis, mudah difahami dan kemas. Ciri memperibadikan tema dengan warna elemen antaramuka berubah mengikut warna latar belakang masih lagi sama. Widget boleh disusun berlapis untuk memaparkan lebih banyak maklumat tanpa perlu memakan ruang yang banyak pada skrin utama. Mahukan memori tambahan? Ciri RAM Plus boleh diaktifkan dengan penambahan sehingga 8GB RAM lagi sekiranya perlu.

Galaxy AI – Kecerdasan Buatan Bukan Gimik Murahan

Terdapat banyak ciri-ciri yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) pada S24 Ultra. Saya sudah senaraikannya dalam artikel 10 perkara menarik dan mengecewakan siri S24 minggu lalu. Dalam ulasan ini saya hanya akan menyentuh ciri-ciri AI yang saya rasakan amat berguna dan unik sehingga akan digunakan setiap hari.

Chat Assist

Ciri yang saya gunakan setiap hari ialah Chat Assist yang membantu saya menulis kandungan status media sosial. Saya hanya perlu menulis beberapa ayat pendek. Tekan ikon Chat Assist pada papan kekunci Samsung Keyboard dan kemudian ia akan menulis semula ayat tadi tanpa sebarang kesalahan ejaan serta dengan beberapa gaya seperti Professional, Casual, Emojify, Polite, dan #Social. Setiap satunya mengubah gaya penyampaiannya. Bagi insan yang malas seperti saya, Professional ialah pilihan paling mudah kerana menjadikan status media sosial kelihatan lebih matang.

Saya juga menggunakan Photo Assist yang memberikan saranan suntingan pada gambar. Objek boleh diubah kedudukannya, memadam elemen gambar yang tidak diingini dan juga ciri meningkatkan resolusi gambar menerusi cir Remaster. Dalam video di atas imej pantulan saya pada cermin dipadam dalam masa beberapa saat sahaja daripada gambar asal. Ciri ini seakan magis bagi mereka yang tidak mempunyai kemahiran Photoshop.

Akhir sekali ciri yang saya gunakan dengan kerap pada S24 Ultra ialah Circle To Search with Google. Tekan butang home (atau talam navigasi gestur) untuk melancarkannya. Menerusi Circle To Search, carian visual boleh dilakukan dari mana-mana skrin dalam mana-mana aplikasi. Tidak perlu lagi melakukan tangkapan layar sebelum membuka aplikasi Google Lens.

Circle to Search

Paling mantap pada ciri ini ialah katakan saya terima mesej Whatsap “jumpa di kedai nasi lemak Kampung Bharu”. Menggunakan Circle to Search saya boleh mencari terus restoran nasi lemak di Kampung Bharu kerana ia akan terus disenaraikan di bawah skrin. Tak perlu menaip carian di Chrome. Semuanya daripada satu skrin. Ini ialah ciri yang harus diberikan kepada semua peranti Android sekarang juga.

PENANDA ARAS – Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy

Hanya Samsung Galaxy S24 Ultra ditawarkan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy di Malaysia sementara S24 dan S24+ menggunakan cip Exynos 2400. Bagaimana prestasi cip Snapdragon ini apabila dibandingkan dengan Vivo X100 Pro (Dimensity 9300), iQOO 12 (Snapdragon 8 Gen 3), Galaxy S24+ (Exynos 2400), iPhone 15 Pro Max (A17 Pro) dan iPhone 14 Pro Max (A16 Bionic)?

Geekbench 6

  1. Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy – 2278/7016
  2. Samsung Exynos 2400 – 1539/6510
  3. Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 – 2181/6631
  4. MediaTek Dimensity 9300 – 2071/5032
  5. Apple A17 Pro – 2873/7228
  6. Apple A16 Bionic – 2640/6820

AnTuTu 3D

  1. Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy – 1,768,765
  2. Samsung Exynos 2400 – 1,643,090
  3. Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 – 2,075,821
  4. MediaTek Dimensity 9300 – 1,852,552
  5. Apple A17 Pro – 1,523,961
  6. Apple A16 Bionic – 1,455,773

3DMark Wild Life Extreme

  1. Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy – 4657 / 27.89 FPS
  2. Samsung Exynos 2400 – 2813 / 16.85FPS
  3. Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 – 5045 / 30.22 FPS
  4. MediaTek Dimensity 9300 – 4067 / 24.35 FPS
  5. Apple A17 Pro – 3695 / 22.1 FPS
  6. Apple A16 Bionic – 2727 / 16.3FPS

3DMark Solar Bay

  1. Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy – 8564 / 32.56 FPS
  2. Samsung Exynos 2400 – 6152 / 23.39 FPS
  3. Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 – 8528 / 32.43 FPS
  4. MediaTek Dimensity 9300 – 6929 / 26.35 FPS
  5. Apple A17 Pro – 6333 / 24.1 FPS
  6. Apple A16 Bionic – 4283 / 16.3 FPS

Prestasi aplikasi dan permua pada S24 Ultra adalah amat cemerlang. Dengan kebuk penyejuk lebih besar tahun ini, saya tidak mengalami isu pemanasan melampau walaupun memainkan COD Mobile dan Asphalt 9 pada tetapan tertinggi. Yang memanaskan peranti hanyalah COD Warzone Mobile yang belum cukup dioptimasikan pada semua platform termasuk pada iOS. Pemanasan juga berlaku jika banyak gambar diambil secara berterusan. Pemprosesan lebih intensif berlaku apabila melakukan pascaproses pada gambar-gambar yang diambil.

Dengan memori LDPPR5X dan storan UFS 4.0, tiada isu dengan prestasi permua maupun aplikasi biasa Memasang aplikasi adalah sepantas kilat. Pendek kata sebagai sebuah peranti gaming, S24 Ultra adalah cemerlang seperti ROG Phone 8 yang sedang diuji di makmal Amanz pada waktu ini.

TELEFONI Dan GPS

Tiada sebarang isu dengan rangkaian telefoni. Saya menggunakan 5G di Malaysia, UAE dan Amerika Syarikat pada S24 Ultra sepanjang tempoh ulasan. Pantas, stabil dan panggilan telefon juga jelas. Dengan sokongan WiFi 7, peranti ini juga “kalis masa hadapan” sekiranya anda ingin menggunakan pelayar WiFi di rumah di masa hadapan. Saya hanya mampu mengujinya dengan pelayar WiFi 6 dan prestasi internet adalah amat memuaskan. Turut memuaskan ialah prestasi GPS yang cemerlang seperti yang lazim saya lihat pada siri Galaxy S sejak dari dahulu lagi.

KAMERA

Kamera utama menggunakan konfigurasi lensa sudut lebar 200MP, ultra sudut lebar 12MP, telefoto 5X 50MP dan telefoto 3x 10MP. Hanya lensa ultra sudut lebar tidak dilengkapi sistem OIS. Di hadapan pula kamera swafoto 12MP digunakan. Tiada perubahan besar di sini kecuali penggunaan telefoto 50MP menggantikan sensor 10MP tahun lalu. Kamera utama boleh melalukan zum pada tetapan 0.6X, 1X, 3X, 5X, 10X, 30X dan 100X.

Yang saya sedari alah mod potret bolah dilakukan pada tetapan zum 5X baharu. Rakaman video 8K juga boleh dilakukan pada tetapan zum 5X berbanding hanya 1X sebelum ini. Walaupun pada tetapan 100X, kamera masih mampu mengekalkan viewfinder yang stabil. Terdapat peranti lain dengan kemampuan zum yang sama tetapi saya sedari sistem penstabilan imej Samsung adalah yang paling cemerlang. Berikut adalah beberapa sampel gambar yang sempat saya ambil.

Aplikasi kamera walau bagaimanapun mempunyai beberapa pepijat khusus dalam mod Potret. Kadang kala ika mod “High Key Mono” diambil, gambar yang dihasilkan berwarna dan bukannya hitam putih. Dalam mod Potret juga kadang kala objek latar dan subjek tidak dapat dibezakan dengan sempurna sehingga kesemuanya menjadi kabur. Masalah ini hanya dialami oleh saya seorang dan tidak pada pengulas lain di Malaysia. Pada waktu yang sama masalah yang mereka hadapi (seperti warna skrin tidak bermaya) tidak pula saya alami. Pepijat pada S24 Ultra adalah amat rawak.

1x
5x
10x
30x
100X

BATERI

Bateri peranti ini seperti segan untuk mati di penghujung hari. Secara purata selepas seminggu digunakan saya mendapat 10 jam SOT dan hayat bateri boleh bertahan lebih 24 jam pada penggunaan biasa saya. Prestasinya lebih naik berbanding S23 Ultra yang saya gunakan sebagai peranti kegunaan harian sebelum ini dan adalah setanding dengan iPhone 15 Pro Max. Ini membuatkan saya boleh memaafkan S24 Ultra hanya menyokong pengecasan 45W berwayar yang mengambil masa lebih sejam untuk mengecas bateri sepenuhnya. Pengecasan nirwayaer sehingga 15W juga boleh dilakukan menyokong protokol Qi.

Masa yang agak lama ini adalah kerana selepas dicas ke tahap 90%, pengecasan akan diperlahankan bagi menjaga hayat bateri. Sistem ini turut digunakan pada iPhone dan Sony Xperia. Terdapat juga pilihan untuk menghadkan pengecasan sehingga 80% sahaja dan mengecas sehingga 100% kemudian pengecasan dihentikan sebelum disambung semula jika ia turun ke 95%. Pengecasan Samsung mungkin perlahan berbanding pesaing, tetapi sistem yang memastikan bateri bertahan lebih lama yang diberikan adalah sangat berguna.

AUDIO

Ada stereo dan ada juga Dolby Atmos. Sistem speaker S24 Ultra seperti S23 Ultra tahun lalu lantang, jelas dan tidak pecah. Bunyi tidak kedengaran rata memberikan pengalaman yang memuaskan. Penggunaan lubang speaker berbentuk bujur tidak mengubah profil audio. Secara keseluruhan speaker S24 Ultra tidak mengecewakan.

PESAING

Samsung Galaxy S24 UltraOnePlus 12Apple iPhone 15 Pro Max
6.8″ Dynamic AMOLED 2X, 2800 x 1260,
120Hz, HDR10+
6.7″ AMOLED, 1440 x 3168,
120Hz LTPO, HDR10+ Dolby Vision
6.78″ AMOLED, 2800 x 1260,
144Hz, HDR10+
Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy (4nm)
1 x 3.39 GHz Cortex-X4
3 x 3.1 GHz Cortex-A720
2 x 2.9 GHz Cortex-A720
2 x 2.2 GHz Cortex-A520
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)
1x 3.3 GHz Cortex-X4
5x 3.2 GHz Cortex-A720
2x 2.3 GHz Cortex-A520
Apple A17 Pro (3nm)
1x 3.3 GHz Cortex-X4
5x 3.2 GHz Cortex-A720
2x 2.3 GHz Cortex-A520
Adreno 750Adreno 750Adreno 750
12GB LPDDR5X
24GB LPDDR5X16GB LPDDR5X
256/512/1000GB UFS 4.01 TB UFS 4.0512GB UFS 4.0
Kamera Utama
200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Lebar)
50MP f/3.4, OIS, 5x Zum Optikal (Periskop Telefoto)
10MP f/2.4, OIS 3x Zum Optikal (Telefoto)
Kamera Utama
50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar)
48MP f/2.2 (Ultra Lebar)
64MP f/2.6, OIS, 3x zum optikal (Periskop Telefoto)
Kamera Utama
50MP f/1.76 OIS (Sudut Lebar)
50MP f/2.0 (Ultra Lebar)
64MP f/2.6 OIS, 3x Zum Optikal (Periskop Telefoto)
Kamera Hadapan
12-MP f/2.2
Kamera Hadapan
32-MP f/2.4
Kamera Hadapan
16-MP f/2.5
IP68IP65IP64
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh
Berwayar 45W
Nirwayar 15W
5400 mAh
Berwayar 100W
Nirwayar 50W
5000 mAh (Berwayar 120W)
RM 6,299 (16/256 GB)
RM 6,799 (16/512 GB)
RM 7,799 (16/1000 GB)
RM4,599 (16/1000 GB)RM 3,399 (16/512 GB)

APA ADA DALAM KOTAK?

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Samsung Galaxy S24 Ultra.
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Samsung Galaxy S24 Ultra ialah telefon Android terbaik pernah saya ulas setakat ini kerana perisiannya adalah sama hebat dengan perkakasannya. Oleh sebab itu saya merasakan Galaxy S24 Ultra ialah Google Pixel untuk pasaran global dan juga boleh diberikan nama gelaran Galaxy Nexus 2. Beberapa ciri yang sebelum ini hanya untuk Pixel kini muncul pada kesemua siri S24 di Malaysia.

Ciri AI seperti Chat Assist, Circle to Search With Google, dan suntingan gambar dalam Gallery adalah tiga yang saya gunakan sepanjang masa sepanjang tempoh ulasan. Memang ada ciri-ciri AI lain tetapi ketiga-tiga ciri ini tadi bukan gimik tetapi memang memudahkan saya melakukan kerja serta melakukan carian dengan lebih tepat. Kekurangan hanyalah sokongan Bahasa Malaysia belum diberikan pada ketika ini tetapi dijanjikan akan hadir dalam masa terdekat.

Ditambah pula dengan sokongan versi Android serta tampalan sekuriti selama tujuh tahun, siri S24 tahun ini mempunyai nilai tambahan yang tidak ada pada peranti Android lain di pasaran Malaysia.

Di Malaysia Samsung Galaxy S24 Ultra dijual pada harga RM6299 untuk 12/256GB, RM6799 untuk 12/512GB dan RM7799 untuk 12/1000GB. Memang saya akui amat mahal untuk sebuah telefon pintar tetapi apa yang ditawarkan Samsung tahun ini, khususnya pada S24 Ultra adalah amat berbaloi. Sudah agak lama saya tidak teruja dengan telefon pintar tetapi peranti ini sangat penuh dengan ciri-ciri inovatif yang tiada pada pesaing membuatkannya mustahil untuk tidak disarankan untuk dibeli.

Pro

  • Rekaan tubuh titanium yang lebih berkotak selesa dalam tangan.
  • Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy cukup berkuasa.
  • Menyokong S Pen.
  • Pelbagai ciri Galaxy AI yang bukan sekadar gimik murahan.
  • Sokongan tujuh versi Android dan tujuh tahun tampalan sekuriti.
  • Prestasi bateri yang amat baik.
  • IP68.

Kontra

  • Tiada perubahan rekabentuk berbanding model tahun lalu.
  • Pengecasan masih hanya 45W.
  • RAM sehingga 12GB sahaja sedangkan pesaing sudah menawarkan peranti 24GB.
  • Harga akan menjadi penghalang.

Komen