Cari @ Amanz

Dianggarkan 20% orang dewasa di Malaysia menghidapi penyakit diabetes dan yang menjadikan negara kita mempunyai jumlah pesakit tertinggi di rantau Asia Pasifik. Masih tiada rawatan untuk penyakit ini walaupun terdapat banyak iklan murahan di media sosial serta papan tepi jalan mengatakan sebaliknya. Selepas dihidapi, pesakit perlu melakukan pemantauan tahap gula beberapa kali sehari dengan hujung jari dicucuk.

Proses ini bukan sahaja menyakitkan tetapi turut leceh. Menurut laporan Bloomberg, Samsung mengesahkan mereka sedang membangunkan sensor gula dalam darah yang tidak memerlukan jari dicucuk. Sekiranya semua berjalan lancar, sensor gula dalam darah ini akan ditawarkan pada peranti Samsung dalam masa lima tahun lagi.

Di acara Unpacked minggu lalu, Samsung mengacah cincin pintar Galaxy Ring dengan kemampuan menjejak kesihatan. Apakah kemampuannya berbanding sensor pada Galaxy Watch sedia ada masih lagi misteri. Yang pasti cincin pada jari lebih selesa dipakai ketika tidur berbanding jam tangan pintar. Ini membolehkan penjejakan tidur, tekanan darah, kadar pernafasan, suhu badan dan nadi dijejak ketika tidr dengan lebih mudah.

Selain itu Samsung juga sedang mempertimbangkan pengesanan tekanan darah secara berterusan tanpa peranti menjalani proses kalibrasi terlebih dahulu. Dengan pengesanan sepanjang masa, sebarang isu kesihatan dapat dijejak secara masa nyata. Meletakkan sensor suhu serta nadi pada fon telinga juga antara perancangan masa pendek Samsung.

Samsung kini di belakang Apple dalam pasaran jam tangan pintar dengan kemampuan penjejakan kesihatan. Dengan ciri-ciri di atas, mungkin Samsung akan dapat memberikan persaingan kepada Apple kerana persaingan menggiatkan inovasi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd