Carian
Apple Dipercayai Berjaya Menjual Lebih 160,000 Vision Pro Setakat Ini
January 23, 2024 Effi Saharudin

Pratempahan Apple Vision Pro dibuka pada Jumaat minggu lalu di Amerika Syarikat. Set kepala “perkomputeran spatial” ini ialah produk kategori baharu pertama Apple sejak Apple Watch pada tahun 2015. Walaupun harga jualan mencecah lebih RM18,000 sepasang, antara 160,000 – 180,000 Vision Pro dipercayai telah berjaya dijual Apple setakat ini.

Ini adalah menurut ramalan penganalisa Min-Chi Kuo berdasarkan perubahan pada tarikh penghantaran Vision Pro yang pada waktu ini meningkat dari 5 ke 7 minggu dalam tempoh 48 jam pertama pratempahan dibuka. Tetapi Kuo turut memberikan amaran bahawa permintaan jangka panjang mungkin tidak akan berterusan kerana tiada perubahan pada masa penghantaran selepas 48 jam pertama.

Ini menandakan selepas Vision Pro ditempah oleh peminat tegar, permintaan daripada orang ramai tidak begitu tinggi. Pada produk seperti iPhone, perubahan pada masa penghantaran dapat dilihat selepas 48 jam menunjukkan wujudnya permintaan yang tinggi.

Kuo kini meramalkan sasaran menjual 500,000 unit Vision Pro boleh dicapai tahun ini. Selepas Amerika Syarikat, Apple dijangka mula menjual Vision Pro ke pasaran Eropah pula sebelum dikembangkan ke pasaran lain.

Komen