Semalam Microsoft menjadi syarikat kedua yang berjaya mencapai nilai pasaran $3 trilion (~RM14.19 trilion) untuk seketika selepas saham mencecah $404. Selepas pasaran saham ditutup, nilai pasaran Microsoft kini adalah sekitar $2.99 trilion. Syarikat pertama yang mencapai nilai pasaran $3 trilion ialah Apple pada Jun tahun lalu.
Nilai saham Microsoft melonjak kebelakangan ini selepas syarikat mula mengintegrasikan pelbagai kemampuan AI pada produk yang ditawarkan seperti Windows 11 dan Copilot. Dua minggu lalu Microsoft memintas Apple sebagai syarikat paling bernilai di dunia. Tetapi pada waku ini Apple kembali berada di puncak dengan nilai pasaran $3.01 trilion selepas bursa saham ditutup.
Microsoft mengambil masa kurang lima tahun untuk meningkatkan nilai pasaran mereka daripada $1 trilion pada April 2019 ke $3 trilion. Mereka mencapai nilai pasaran $2 trilion pada Jun 2021. Selain Apple dan Microsoft, hanya Saudi Aramco menjadi syarikat yang pernah mencapai nilai pasaran $2 trilion setakat ini.