Cari @ Amanz

Dengan Digital Markets Act (DMA) akan berkuat kuasa di Kesatuan Eropah (EU) tahun ini, pengendali gedung atas talian perlu memberikan pilihan kepada pengguna untuk memuat turun aplikasi daripada gedung pihak ketiga serta melakukan pembayaran di luar ekosistem. Menurut laporan WSJ, Apple akan tetap mengenakan pembayaran pada aplikasi yang dipasang secara sideload.

Menurut laporan tersebut, bayaran dikenakan bagi menyemak keselamatan aplikasi yang ingin dipasang terlebih dahulu. Mekanisme pembayaran dan harga yang akan dikenakan kepada pengguna masih belum diketahui pada ketika ini. Apple menentang pemasangan aplikasi secara sideload kerana menurut Tim Cook ia membahayakan keselamatan peranti. Apa yang dikatakan oleh beliau ini mempunyai elemen kebenaran kerana di Malaysia misalnya terdapat ratusan kes dana bank disedut selepas pengguna Android memasang aplikasi hasad secara sideload selepas ditipu.

Masih belum diketahui juga sama ada EU akan membenarkan Apple mengenakan bayaran untuk proses ini memandangkan pemasangan aplikasi secara sideload di Android tidak dikenakan sebarang bayaran. Menerusi DMA, EU ingin memberikan pilihan kepada orang ramai untuk memuat turun serta melakukan pembayaran menerusi saluran yang dipilih sendiri bukannya secara paksaan sekarang.

Bagi pembangun pula ia membenarkan mereka mengutip sepenuhnya bayaran dalam aplikasi tanpa kehilangan sehingga 30% komisen yang diambil oleh pengendali stor atas talian.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd