Seperti ura-ura yang kami laporan sebelum ini, hari ini Apple mengumumkan sokongan stor aplikasi pihak ketiga hanya untuk pasaran Kesatuan Eropah (EU) bagi memenuhi keperluan Digital Markets Act (DMA) yang akan berkuat kuasa Mac depan.
Kemas kini iOS 17.4 akan membenarkan pengguna di EU untuk memasang stor pihak ketiga pada peranti dan menetapkan stor mana yang akan digunakan secara lalai. Seterusnya Apple akan mengenakan bayaran Core Technology Fee sebanyak €0.50 untuk setiap pemasangan aplikasi untuk satu akaun secara tahunan. Ini adalah untuk menanggung proses memastikan aplikasi yang ditawarkan menerusi stor pihak ketiga adalah selamat digunakan serta memenuhi spesifikasi untuk dipasang pada peranti. Pemasangan 1 juta aplikasi pertama walau bagaimanapun adalah percuma.
Pembangun turut boleh menawarkan pembayaran di luar ekosistem Apple seperti yang diminta oleh Epic Games dan Spotify sebelum ini. Perubahan besar yang lain ialah Apple hanya akan mengambil potongan komisen 17% berbanding 30% sebelum ini. Pada langganan yang berusia lebih setahun pula akan dikenakan potongan komisen 10% dan bukan lagi 15%.
Apple akhirnya membuka akses kepada NFC di EU yang membolehkan aplikasi pembayaran selain Apple Pay dan Wallet digunakan pada peranti Apple. Penggunaan enjin selain WebKit pada pelayar web di ekosistem Apple juga dibuka bersama dengan skrin pilihan untuk memilih pelayar web lalai peranti.
Apple mengesahkan sokongan stor pihak ketiga serta pelbagai perubahan yang diumumkan hari ini hanya terpakai di pasaran EU sahaja bagi memenuhi keperluan DMA. Tiada perancangan untuk menawarkannya ke pasaran lain pada ketika ini.