Apple akan mula membenarkan stor aplikasi pihak ketiga di negara-negara Kesatuan Eropah (EU) bermula Mac ini. Dengan ini pengguna juga boleh melakukan pembayaran di luar ekosistem Apple pada harga yang lebih murah. Namun begitu Apple telah mengesahkan stor aplikasi pihak ketiga ini hanya akan diberikan di pasaran EU sahaja tanpa perancangan menawarkannya ke pasaran lain.
Menurut Apple ini adalah kerana pemasangan aplikasi di luar ekosistem Apple Store mendatangkan risiko perisian hasad, penipuan dan kandungan yang selama ini dilihat tidak sesuai ditawarkan kepada pengguna. Apple hanya membenarkan stor pihak ketiga di EU bagi memenuhi keperluan Digital Markets Act (DMA) yang memerlukan ia dipatuhi oleh kesemua syarikat teknologi.
Sebagai langkah keselamatan, Apple akan mengenakan bayaran Core Technology Fee sebanyak €0.50 untuk setiap pemasangan aplikasi bagi menanggung kos saringan memastikan ia selamat ditawarkan kepada pengguna di stor pihak ketiga.