Cari @ Amanz

Dua minggu lalu, Jepun telah menjadi negara kelima mendaratkan kapal angkasa di permukaan bulan. Kapal angkasa SLIM (Smart Lander for Investigating Moon) dilengkapi dengan robot LEV-1 dan LEV-2. SLIM telah terkandas selepas berjaya mendarat kerana panel solar tidak pada orientasi yang sepatutnya. Sebagai langkah keselamatan sistem, SLIM dimatikan sementara menanti Agensi Angkasa Jepun (JAXA) mencari penyelesaian.

Beberapa hari lepas, Lunar Excursion Vehicle 2 (LEV-2 / SORA-Q) yang dilepaskan selepas mendarat berjaya mengambil gambar SLIM berada di permukaan bulan. Gambar menunjukkan SLIM kini pada kedudukan terbalik mungkin kerana ia melantun selepas mendarat disebabkan graviti yang lemah. Kyodo News melaporkan yang sejak malam Ahad, JAXA tidak berhenti menghubungi SLIM dan mendapati ia telah berjaya menerima kuasa solar yang diperlukan untuk mula menjalankan tugas.

LEV-2 turut mempunyai kamera yang boleh merakam dan mengendalikan analisa sampel akan mencari mineral olivin untuk dibandingkan dengan mineral di bumi. Misi utama adalah membuktikan 4.6 bilion tahun lalu bulan terhasil selepas bumi berlanggar dengan planet lain. Maklumat ini kemudian akan diperoleh daripada LEV-1 yang akan menghantar gambar dan keputusan analisa ke bumi.

Jepun ialah antara negara yang menandatangani Persetujuan Artemis yang berjanji untuk melakukan pengembaraan angkasa lepas untuk tujuan keamanan sahaja. Bantuan kecemasan akan diberikan kepada angkasawan apabila diperlukan. Turut disertakan ialah etika ketika melombong sumber di permukaan bulan dan Marikh.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd