Bersama-sama dalam siri Oppo Reno11 yang dilancarkan baru-baru ini, telefon pintar model Oppo Reno11 5G turut didatangkan bersama dengan penawaran harga dikatakan berbaloi bagi peranti kelas pertengahan. Rekaan tidak banyak berbeza tetapi jika diuji dari segi perisian dan spesifikasi mungkin perbezaan di antara Oppo Reno11 5G dan Oppo Reno11 Pro 5G dapat dilihat. Justeru itu, menerusi artikel ulasan ini, saya akan kongsikan pengalaman penggunaan menggunakan Oppo Reno11 5G untuk tempoh penggunaan selama seminggu.
SPESIFIKASI
Oppo Reno11 5G | |
Skrin | 6.7” AMOLED, HDR10+, 120Hz |
Pemproses | Mediatek Dimensity 7050 (6 nm) |
Cip | 2×2.6 GHz Cortex-A78 6×2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G68 MC4 |
RAM | 12GB RAM (+12GB) |
Muatan Dalaman | 256GB ROM |
Kamera Utama | 50MP f/1.8, OIS (Utama) 32MP f/2.0 (Telefoto) 8MP f/2.2 (Ultra-lebar) |
Kamera Swafoto | 32MP f/2.4 |
Bateri | 5000mAh Berwayar 67W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Imbasan cap jari / Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM1899 (12/256 GB) |
REKAAN
Rekaan Oppo Reno11 5G ini secara asasnya adalah sama saja dengan Oppo Reno11 Pro 5G di mana terdapat bonggol lensa kamera pada bahagian kiri di belakang tubuh peranti. Bonggol lensa diakui agak besar dengan bentuk bujur yang memanjang ke bawah dan tampak agak aneh jika dibandingkan dengan rekaan rata-rata telefon pintar yang ada di pasaran dan di sebelah bonggol kamera terdapat LED.
Peranti ini juga hadir dengan rekaan skrin yang melengkung di bahagian sisi skrin dimana sedikit berisiko untuk pecah sekiranya berlaku hentakan. Walaupun begitu ia dapat dilindungi dengan pemasangan kerangka yang disertakan bersama dalam kotak semasa pembelian. Panel tubuh belakang peranti pula adalah berbeza dengan rekaan versi Pro di mana ia hadir dengan dua pilihan warna iaitu Wave Green dan Rock Grey.
Peranti yang saya uji adalah berwarna Wave Green dengan rona seakan-akan hijau laut dan corak kelipan bergemelapan seakan-akan air laut di bawah langit yang cerah.
Seterusnya, pada bahagian sisi kanan peranti pula diletakkan butang kuasa dan juga laras audio yang mudah dicapai dan selesa untuk ditekan. Kemudian pada bahagian atas pula terdapat pemancar infra merah manakala lubang untuk pengecasan, slot SIM dan speaker pula adalah di bahagian bawah.
Tiada bicu audio 3.5mm yang terbina pada tubuh peranti dan speakernya juga tidak didatangkan dengan sistem Dolby Atmos. Tetapi secara keseluruhan, Reno11 5G masih memiliki binaan yang boleh dikatakan kukuh, nampak premium, ringan (182g) dan selesa dalam genggaman dengan ketebalan cuma 7.99mm yang sangat nipis. Meski dalam tempoh penggunaan panjang ia masih terasa selesa dalam tangan. Sebarang piawaian kalis air juga tidak diberikan yang membuatkan saya rasa agak aneh memandangkan Realme C67 yang dijual pada harga bawah RM1000 melepasi piawaian IP54.
SKRIN
Skrin 6.7” HDR10+ menyokong kadar segar semula 120Hz dan boleh diubah kepada tetapan ‘standard’ atau ‘high’ mengikut pilihan dan kegunaan jika perlu. Secara keseluruhan tatalan dan paparan yang ditunjukkan pada skrin adalah lancar tanpa sebarang isi sela masa yang keterlaluan. Penggunaan skrin jenis AMOLED menunjukkan kualiti paparan adalah cukup memuaskan untuk melayari web dan menonton video.
Walaupun begitu, isu tentang kejelasan di bawah cahaya matahari terik tetap saja dialami sepanjang tempoh penggunaan. Skrinnya juga melengkung menjadikan paparan kandungan secara skrin penuh akan melimpah ke bahagian sisi skrin. Kandungan HDR10+ juga disokong membolehkan kandungan HDR dari Youtube dan Netflix dapat dinikmati tanpa sebarang isu setakat ini.
PENGIMBAS CAP JARI
Pengimbas cap jari optikal diletakkan di bahagian bawah skrin dengan kedudukan yang mudah dicapai untuk imbasan walaupun mengendalikannya dengan sebelah tangan. Imbasan cap jari juga dapat dilakukan dengan pantas asalkan jari dalam keadaan bersih dan tidak basah.
PERISIAN & PENGGUNAAN
Sistem operasi ColorOS 14 digunakan dengan ia berasaskan kepada Android 14. Justeru itu pelbagai sistem operasi terkini dengan pelbagai ciri tersedia pada Android 14 dapat dinikmati. Sehubungan itu, tiada sebarang isu atau masalah serius dengan penggunaan peranti sepanjang tempoh penggunaan. Ikon aplikasi dan susunan paparan terlihat kemas serta masalah seperti muatan aplikasi gendut yang terlalu banyak dan menjengkelkan tidak dihadapi.
Cip pemproses Mediatek Dimensity 7050 yang digunakan adalah cukup berkuasa dan dilengkapi pula dengan saiz memori sebesar 12GB RAM dan saiz storan 256GB. Sepanjang penggunaan, saiz 12GB RAM dirasakan cukup dan berupaya untuk membolehkan pelbagai jenis aplikasi dimuat turun dan dilancarkan secara serentak. Sekiranya saiz memori tersebut dirasakan masih tidak mencukupi, ciri extended RAM juga disediakan dengan kebolehan menambah sehingga 12GB RAM lagi. Ciri ini juga boleh dimatikan sekiranya tidak diperlukan.
Pandangan saya berkenaan saiz memori dan pilihan ROM yang disediakan oleh Oppo ini mungkin hanya bersesuaian untuk penggunaan biasa dan sederhana dimana Oppo sewajarnya turut menyediakan pilihan storan 12GB RAM dan 512GB kerana 256GB kini boleh dianggap kecil.
Apa yang lebih menarik pada sistem operasi ColorOS kalini ini adalah terdapatnya ciri notifikasi ‘Live Activities’ seakan ciri yang telah pun tersedia pada iPhone sebelum ini. Ciri Aqua Dynamic yang disokong oleh aplikasi Grab ini akan membolehkan pengguna memantau dan menjejak lokasi kenderaan yang sedang menuju ke lokasi pengguna sekiranya melakukan tempahan Grab. Walau bagaimanapun, ciri ini hanya berfungsi pada tempahan perjalanan dan tidak tersedia untuk tempahan makanan dan barangan runcit.
PENANDA ARAS
Berikut ialah skor yang telah dicatatkan oleh Oppo Reno 11 5G dengan Dimensity 7050 setelah ujian penanda aras menggunakan Geekbench 6, Antutu 3D dan 3D Mark Wildlife Extreme dilakukan. Perbandingan dilakukan dengan Realme 11 Pro+ dan Honor X9b kerana masing-masing menggunakan cip pemproses jenis Dimensity 7050 dan Snapdragon 6 Gen 1 yang merupakan cip kelas pertengahan serta memiliki tingkat harga yang hampir sama.
Geekbench 6
- Oppo Reno 11 5G – 797/2254
- realme 11 Pro+ – 946/2382
- Honor X9b – 926/2786
Antutu 3D
- Oppo Reno 11 5G – 501800
- realme 11 Pro+ – 562446
- Honor X9b – 464060
Wild Life Extreme
- Oppo Reno 11 5G – 2278
- realme 11 Pro+ – tidak boleh diuji
- Honor X9b – 2386
Pengalaman memainkan permua pada peranti juga adalah baik dimana aplikasi dapat dibuka dengan cepat tanpa perlu menunggu lama untuk melancarkannya. Sepanjang pengalaman memainkan permua menggunakan kadar resolusi biasa semuanya sangat lancar dan tiada masalah. Tetapi apabila kadar resolusi dipertingkatkan ke tahap paling tinggi, isu sela masa dapat dirasakan untuk tempoh beberapa minit selepas permua dimainkan.
Secara keseluruhan kemampuannya masih baik dan ralat yang dihadapi tidak kritikal atau terlalu mengecewakan. Pada pandangan saya jika anda bukan permain permua dengan keperluan grafik yang tinggi, Reno11 5G bukanlah untuk anda kerana prestasi Dimensity 7050 hanyalah 25% prestasi Snapdragon 8 Gen 3 yang digunakan pada Samsung Galaxy S24 Ultra dan iQOO 12.
KAMERA
Sistem kemera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP, lensa telefoto 32MP dengan fungsi 2x zum optikal dan lensa ultra sudut lebar 8MP. Kamera swafoto pula sebesar 32MP. Tangkapan gambar pada waktu siang menggunakan kamera utama peranti adalah baik dengan keperincian yang terjaga. Dari segi warna untuk tangkapan di kawasan terbuka serta pencahayaan yang terlalu terang menjadikan hasil gambar nampak sedikit pudar berbanding dengan gambar yang diambil dalam ruang tertutup seperti di dalam rumah atau bilik dengan hasil gambar dan warna yang lebih tinggi nilai kontras. Saturasi warna juga lebih menyerlah dengan pencahayaan yang sekadar mencukupi.
32MP untuk telefoto pula menjadikan keperincian gambar dengan 2x zum optikal kemas dengan keperincian yang saya boleh katakan cemerlang. Tetapi, kadar kemampuan zum yang lebih daripada itu menjadikan hasil tangkapan gambar tidak lagi cukup tajam.
Tapi apa yang saya gemari pada kemampuan kamera peranti ini ialah ciri potret yang tersedia menjadikan hasil gambar yang diambil tampak cantik. Namun, kemampuan tangkapan gambar mod potret tidak konsisten kerana dalam beberapa keadaan ia gagal membezakan antara objek dan juga latar belakang. Dari segi warna pula tiada masalah di mana warna latar dan juga subjek dibezakan dengan baik dan warna sains yang tidak keterlaluan.
Kamera hadapan dengan 32MP juga memberikan hasil swafoto yang jelas dan cantik tetapi warna sedikit pudar menjadikan wajah kelihatan agak pucat. Secara keseluruhan, untuk sebuah peranti kelas pertengahan saya boleh katakan bahawa Reno11 5G memiliki kemampuan kamera yang baik dan tidak mengecewakan meskipun tidak sempurna dalam beberapa keadaan cuma penekanan nampaknya kurang diberikan pada kemampuan kamera hadapan.
BATERI
Peranti juga hadir dengan kapasiti bateri sebesar 5000 mAh yang pada saya adalah sebuah kapasiti bateri yang cukup besar untuk bertahan seharian dalam kadar penggunaan biasa. Tempoh penggunaan seharian yang dimaksudkan bermula dari pagi hingga sebelum tidur iaitu sekitar jam 7 pagi hingga 10 malam. Bagi mereka yang menggunakan peranti untuk corak penggunaan ekstrem, maka perubahan dari segi ketahanan bateri untuk penggunaan seharian pastinya akan berbeza. Tempoh masa untuk pengecasan penuh pula mengambil masa sekitar 45 minit dengan sokongan pengecasan 67W yang turut disertakan dalam pembelian.
AUDIO
Pembesar suara stereo peranti adalah cukup baik dan memuaskan meskipun ia tidak didatangkan dengan ciri Dolby Atmos. Untuk memujinya secara keterlaluan adalah tidak wajar tapi kelantangan dan kejelasan bunyi masih dapat dimainkan dengan baik sekaligus memberikan pengalaman mendengar kandungan yang memuaskan. Lubang bicu audio 3.5 mm juga tiada pada tubuh dan memerlukan saya mengenakan fon telinga nirwayar jika tidak mahu mendengar audio secara terus daripada speaker.
PERANTI PESAING
Oppo Reno11 5G | realme 11 Pro+ | Honor X9b |
6.7″ AMOLED, 120Hz, HDR10+, 120Hz | 6.7″ AMOLED, FHD+, 120Hz | 6.78″ AMOLED, 1220 x 2652, 120Hz |
Dimensity 7050 (6nm) 2×2.6 GHz Cortex-A78 6×2.0 GHz Cortex-A55 | Dimensity 7050 (6nm) 2x 2.6 GHz Cortex-A78 6x 2.0 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 6 Gen 1 4x 2.2 GHz Cortex-A78 4x 1.5 GHz Cortex-A55 |
Mali-G68 MC4 | Mali-G68 MC4 | Adreno 710 |
12GB | 12GB | 12GB + 8GB Maya |
256 GB UFS 2.2 | 512GB | 256 GB |
Kamera Utama 50MP, f/1.8 (Sudut Lebar) 8MP, f/2.2 (Ultra sudut lebar) 32MP, f/2.0 (Telefoto) | Kamera Utama 200MP f/1.69 OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 2MP f/2.4 (Makro) | Kamera Utama 50MP, f/1.8 (Sudut Lebar) 8MP, f/2.2 (Ultra sudut lebar) |
Kamera Hadapan 32MP f/2.4 | Kamera Hadapan 32 MP f/2.45 | Kamera Hadapan 15 MP f/2.45 |
Tidak kalis air | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5000 mAh (Berwayar 67W) | 4900 mAh (Berwayar 66W) | 5000 mAh (Berwayar 120W) |
RM 1899 (12/256GB) | RM 1999 (12/512 GB) | RM 1599 (8/256GB) |
APA DALAM KOTAK?
- 1x Oppo Reno11 5G
- 1x pengecas 67W
- 1x Kabel USB-A ke USB-C
- 1x Pin SIM
- 1x kerangka silikon jenis matte berwarna hijau
- 1x buku panduan
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya, Oppo Reno11 5G adalah sebuah peranti kelas pertengahan yang dirasakan serasi dengan harga dan juga prestasi yang diberikan. Secara keseluruhan pengalaman sepanjang tempoh penggunaan adalah baik dan lancar dan tiada isu serius yang terpaksa dihadapi. Tumpuan jelas diberikan pada kemampuan kamera dimana ia adalah lebih baik berbanding peranti dalam kelas yang sama.
Cuma skrin melengkung yang pada hemat saya lebih berisiko jika terkena hentakan dan kandungan yang melimpah ketepi sahaja yang menjadikan pengalaman menonton video sedikit ralat. Kemampuan kamera dan keupayaan cip pemproses juga menjadi pelengkap kepada kecanggihan peranti ini. Harga yang ditawarkan ialah RM1899 untuk memori sebesar 12/256 GB.
PRO
- Papan skrin AMOLED 120Hz yang menyokong HDR10+.
- Prestasi lancar.
- Kemampuan kamera yang baik.
- Sistem operasi Android 14 yang kemas dan terkini.
- Pengecasan pantas 67W.
KONTRA
- Skrin jenis melengkung.
- Tiada bicu audio 3.5mm.
- Tiada ciri kalis air.