Carian
Samsung Galaxy S24 Kini Boleh Mewarnakan Gambar Hitam Putih
January 30, 2024 Fahim Zahar

Sebelum kita diperkenalkan dengan pelbagai variasi perkhidmatan kecerdasan buatan generatif untuk menyunting gambar, Google sudah lama hadir dengan banyak ciri unik dan menarik untuk menjadikan gambar sedia ada lebih berkualiti. Misalnya adalah mengubah pencahayaan, menukar fokus mod potret atau 6 tahun lepas menukar gambar hitam putih menjadi berwarna.

Ciri menukar gambar hitam putih menjadi berwarna ini masih tidak ditawarkan oleh Google pada Google Photos, tetapi ia menjadi ciri Color Pop iaitu mengubah gambar berwarna untuk mempunyai latar belakang monokrom. Terbaru, siri Samsung Galaxy S24 dilihat mula menerima ciri ini sebelum Google menawarkannya. Lebih menarik ciri ini diproses tanpa menggunakan sebarang akses internet dan mampu menambah warna dengan cukup pantas.

Anda hanya perlu mempunyai apa-apa gambar hitam putih, buka aplikasi Samsung Gallery, kemudian tekan ikon informasi, beberapa cadangan suntingan AI akan dicadangkan dan pilih Colorize. Masa memprosesnya adalah kurang 10 saat. Bukan itu sahaja, Samsung turut menawarkan ciri membuang kesan pantulan cermin.

Dalam cubaan saya, hasilnya cukup memberangsangkan. Jika gambar hitam putih itu mempunyai resolusi rendah, akan terdapat pilihan untuk meningkatkan lagi kualitinya. Jika anda sudah menerima Samsung Galaxy S24, ciri ini sedia dicuba sekarang.

Komen