Cari @ Amanz

Quick Share adalah ciri perkongsian fail oleh Samsung. Ciri ini adalah seakan AirDrop pada ekosistem Apple, cuma ia hanya menyokong antara telefon Galaxy atau tablet Galaxy. Jika ada yang memasang perisiannya pada laptop Windows, perkongsian fail antara Samsung dan Windows juga boleh dilakukan.

Nearby Share pula adalah ciri yang sama oleh Google. Ciri ini telah ditukar menjadi Quick Share, menggunakan nama sama dengan Samsung. Pada siri Samsung Galaxy S24, Quick Share tidak lagi terhad kepada peranti Samsung sahaja tetapi turut boleh menerima dan menghantar fail ke peranti Android lain.

Menurut Mishaal Rahman, Samsung sedang bersiap sedia untuk mengemaskini peranti Samsung yang lain untuk menggabungkan Nearby Share dan Quick Share menjadi satu ciri perkongsian sahaja. Ini adalah jalan penyelesaian terbaik agar pengguna tidak keliru mempunyai banyak pilihan perkongsian dalam satu peranti.

Kini untuk pasaran global kita mempunyai gabungan Samsung dan Google, sementara peranti keluaran China seperti Xiaomi , Oppo dan vivo menyokong pemindahan fail rentas jenama. Mana tahu suatu hari nanti, semua jenama peranti Android boleh menggabungkan juga ciri perkongsian fail menjadi satu sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd