Cari @ Amanz

TV pintar dengan sistem operasi VIDAA mula muncul di pasaran Malaysia sejak tahun 2020. Pada peringkat awal ia adalah sistem operasi yang dilihat kurang berkuasa dan tidak sebaik Google TV, webOS dan Tizen. Kurangnya aplikasi serta tiada banyak ciri standard. Tetapi selepas mengulas Toshiba 55Z870, saya boleh katakan memiliki TV VIDAA tidak lagi boleh dianggap “loca” pada tahun 2024.

Spesifikasi

Toshiba 55Z870
Saiz Skrin 55-inci
Resolusi3840×2160 pixel (144Hz)
PanelMiniLED
Cip Regza Engine ZRi
Memori?
Storan?
Sistem OperasiVIDAA U7
HDRHDR 10+ ADAPTIVE
Dolby VISION IQ
HDR 10
HLG HDR
Keterangan Maksimum Tidak diketahui
Audio77W, Dolby Atmos
I/O2x HDMI 2.1 (1x eARC)
2x HDMI 2.0
2x USB-A 2.0
1x RF
1x AV
1x Audio optikal
1x LAN
DTTVTiada
Pembantu MayaVIDAA Voice
InternetLAN/ WiFi 5
BluetoothBT 5.0
ChromecastTiada
AirPlay 2Ya
Saiz3295 x 1233 × 760 mm (dengan tapak)
Berat19.1 kg (dengan tapak)
Harga JualanRM 4999

Rekaan

Rekaan TV ini tidak akan memenangi anugerah Red Dot, CES atau Dyson kerana ianya sebuah kotak plastik dengan bezel yang agak ketara. Tiara kemasan logam untuk membuatkannya nampak lebih kacak seperti yang digunakan oleh Samsung dan LG pada model mercu mereka. TV juga agak tebal jika ingin saya bandingkan dengan model OLED Samsung yang telah diulas selama ini. Rekaan agak retro tidak dibantu oleh bahagian dagu yang tebal. Tetapi saya boleh maafkan dagu tebal ini kerana ia adalah lokasi speaker yang menembak ke depan.

Lazimnya speaker menembak ke depan akan memberikan pengalaman audio yang lebih baik berbanding yang dipantulkan ke bawah dan ke belakang seperti pada kesemua TV yang inginkan rekaan nampak serba nipis. Speaker menyokong saluran 2.1.2 dengan Dolby Atmos. Subwoofer diletakkan di bahagian belakang.

Tapak kaki 55Z870 juga tidak cukup tinggi membuatkan tiada ruang untuk meletakkan peranti lain di bawahnya. Astro Utrabox, konsol permainan video, penghala mesh dan soundbar kesemuanya tidak boleh diletakkan di bawah 55Z870. Pemilik diberikan pilihan untuk meletakkan kaki TV ini di luar atau sedikit di dalam. Saya memilih meletakkannya di kedudukan paling luar supaya nampak lebih stabil. Ianya memang stabil kerana sangat lebar jika saya bandingkan dengan tapak yang diberikan oleh Prism+, Samsung dan Haier pada TV mereka.

Jika anda ingin menggantung TV, terdapat juga cagak VESA 400×200 mm. Berat keseluruhan adalah 18.6 kilogram tanpa tapak dan meningkatkan 19.1 kilogram. Ini adalah berat standard televisyen dengan skrin sebesar 55″.

Pilihan I/O adalah 2X HDMI 2.1 (satu eARC), 2x HDMI 2.0, 2X USB-A 2.0, RJ45 LAN, output audio, input audio, optikal, dan RF. Majoriti I/O diletakkan pada bahagian kiri televisyen dengan kesemua port sambungan menghala ke sisi. Satu USB-A, LAN dan optikal diletakkan pada bahagian belakang bersebelah lokasi AI diletakkan. Tidak kami tahu mengapa kesemua I/O tidak diletakkan setempat sahaja kerana jika TV digantung pada dinding, tiga port ini menjadi mustahil untuk diakses. Sokongan Internet pula adalah menerusi LAN atau WiFi 5.

Penggunaan Dan Kualiti Visual

Kualiti visual adalah amat memuaskan. Saya mengulas versi 55″ dengan sokongan resolusi 4K sehingga 144Hz yang harus dikatakan jarang sekali ditawarkan pada sebuah TV. Biasanya kadar bingkai yang tinggi ini hanya ada pada monitor gaming. Panel juga menyokong mod Dolby Vision yang dari reaksi pembaca lebih digemari berbanding sekadar HDR10+ yang disokong pada TV pintar Samsung.

Sudut pandangan juga amat baik tanpa warna hilang sekiranya tidak dilihat pada satah yang betul. Mod Dolby Vision mampu dikesan pada Netflix dan Prime Video. TV akan memberitahu ia dalam mod Dolby Vision sejurus selepas kandungan dimainkan. Kemudian pengguna boleh mengubah mod Dolby Vision untuk kelihatan lebih terang, gelap, ataupun sinematik.

55Z870 juga bijak mengesan kandungan di Prime Video dan terus mengaktifkan Filmmaker Mode yang mematikan sebarang ciri motion smoothing yang membuatkan filem kelihatan seperti drama slot Samarinda. Tiada pula pada aplikasi Netflix.

Yang merisaukan hanya Disney+ Hotstar kerana kandungan HDR tidak disokong dan resolusi dihadkan ke FHD sahaja. Tidak tahu kenapa dua ciri penting ini hilang pada Disney+ Hotstar sedangkan aplikasi disokong secara rasmi pada TV dengan ia terpasang sejurus selepas TV dihidupkan pertama kali.

Saya tidak dapat mencuba mod 144Hz kerana tidak mempunyai komputer gaming yang cukup berkuasa. Jadi ujian dilakukan sekadar menggunakan PlayStation 5 dan Xbox Series X. Kedua-dua konsol boleh dimainkan pada kadar bingkai 120Hz yang saya rasakan cukup lancar. Tiada isu ghosting. Pilihan yang diberikan dalam mod Games Bar juga adalah cukup memuaskan dengan pelbagai tetapan boleh diubah terus dari dalam menu yang terpapar pada skrin.

Seperkara lagi menerusi enjin Regza Engine ZRi, video yang tidak 4K boleh dinaikkan resolusinya. Dari apa yang kami dapat lihat, gambar masih lagi nampak lembut khususnya di YouTube. Teknologi upscaling memang wujud tetapi tidak pernah lagi saya lagi ia boleh kelihatan sebaik video dengan resolusi natif 4K sebenar.

VIDAA U7

VIDAA U7 ialah iterasi terkini sistem operasi alternatif kepada Google TV, Tizen, WebOS, dan tvOS. Dari segi antaramuka ia mudah difahami kerana susunan menu yang mirip dengan Google TV. Barisan paling atas meletakkan pelbagai aplikasi dengan barisan-barisan lain menunjukkan kandungan yang sedang popular dalam aplikasi yang terpasang.

Terdapat aplikasi popular YouTube, YouTube Kids, Prime Video, Netflix, Disney+ Hotstar, Apple TV+, iQiyi dan banyak lagi. Yang tiada ialah HBO Go, Spotify, Sooka dan Mola. Pilihan aplikasi memang tidak setanding Google TV dan tvOS tetapi saya rasakan memadai bagi kebanyakan pengguna di luar sana.

Yang saya suka mengenai VIDAA ialah ia pantas dihidupkan dan selepas itu TV berjalan dengan lancar. Google TV mempunyai tabiat mengambil masa agak lama untuk dihidupkan dan kemudian aplikasi akan tersekat-sekat selama beberapa minit. Ia turut menyokong AirPlay 2 bagi mereka yang mempunyai produk Apple. Tetapi pada waktu yang sama tiada ciri Chromecast. Tetapi jangan risau anda masih boleh menyiarkan kandungan YouTube ke aplikasi TV apabila aplikasi dibuka.

Yang menjadi misteri bagi saya ialah maklumat mengenai saiz RAM dan storan. Puas saya godek tetapan 55Z870 tetapi tidak dapat menjumpai maklumat untuk dua spesifikasi ini. Malahan pada laman rasmi Toshiba juga ia tidak didedahkan. Oleh itu saya tidak tahu sebanyak mana aplikasi boleh dipasang.

Alat Kawalan Jauh

Alat kawalan 55Z870 adalah yang paling “melampau” pernah saya lihat kerana kombinasi puluhan butang yang disertakan. Pada bahagian paling atas terdapat 12 butang pintar untuk Netflix, YouTube, Prime Video, Deezer, Apple TV+ dan banyak lagi. Pada alat kawalan TV lain selalu hanya terdapat empat butang pintas sahaja.

Terdapat butang navigasi empat arah, kawalan suara, menukar saluran dan home kesemuanya diperbuat daripada getah yang selesa untuk ditekan. Rekaan alat kawalan jauh ini mungkin ketinggalan zaman tetapi amatlah praktikal. Saiznya yang amat besar seperti alat kawalan Prism+ sebenarnya amat saya suka kerana sukar untuk hilang. Ia tidak mudah tersepit antara kusyen sofa kerana tebal. Ada kalanya rekaan lama, berkotak dan tidak ergonomik ini berguna kerana tidak mudah tersorok.

Perkara terakhir yang saya suka ialah ia menggunakan dua bateri AA bukan AAA. Harga lebih murah dan biasanya jika kehabisan bateri terdapat banyak bateri saiz ini di rumah untuk digunakan sebagai sumber kuasa sementara membeli sepasang bateri baharu.

Audio

Speaker 77W menyokong audio Dolby Atmos dan DTS TruSurround. Speaker utama menembak ke depan yang dipadankan dengan subwoofer ke belakang memang mantap. Audio sentiasa jelas dan terasa hidup yang amatlah penting ketika menonton filem. Sistem audio pada 55Z870 tidak mengecewakan sehingga bolah saya katakan antara terbaik pada TV pernah saya gunakan.

Sambungan kepada sistem soundbar luaran juga tiada sebarang masalah. Saya padankan dengan Samsung Soundbar Q990C dan ia boleh beroperasi secara plug and play tanpa perlu menjalani proses tetapan yang kompleks.

Kesimpulan

Toshiba 55Z870 ialah TV MiniLED yang mempunyai prestasi visual Dolby Vision yang baik, sokongan kadar bingkai tinggi untuk golongan gamer dan mempunyai perisian yang mudah digunakan. VIDAA U7 ialah sistem operasi yang kini mempunyai sokongan aplikasi yang semakin baik. Majoriti perkhidmatan penstriman utama kini boleh digunakan. Kekuatan lain TV ini terletak pada sistem speaker Dolby Atmos yang menembak ke depan sekaligus menghasilkan audio yang juga amat memuaskan.

Kekurangan terletak pada ekosistem aplikasi yang masih tidak setanding Google TV, Tizen, webOS dan tvOS. Contohnya tiada HBO Go, Sooka dan penstriman pada Disney+ Hotstar terhad pada HD serta tanpa sokongan Dolby Vision/Atmos. Pelik kerana pada Netflix misalnya isu yang sama tidak wujud.

Pada harga RM4999, Toshiba 55Z870 ditawarkan pada harga yang munasabah untuk kesemua ciri yang ditawarkan. Bagi yang mencari versi lebih besar, versi skrin 65″ dijual pada harga RM6299.

Pro

  • Skrin 4K yang tajam 144Hz dengan warna nampak hidup.
  • Sokongan Dolby Vision dan Dolby Atmos.
  • Sistem operasi yang lancar.
  • Speaker lantas yang amat baik.
  • Boleh menggunakan Apple AirPlay 2.

Kontra

  • Sokongan aplikasi yang masih agak rendah.
  • Ruang di bawah TV terlalu kecil untuk meletakkan soundbar atau konsol.
  • Rekaan yang tidak kontemporari.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd