Carian
Ulasan Samsung Soundbar Q990C – Panggung Dolby Atmos Di Rumah
September 22, 2023 Effi Saharudin

Tahun ini ada beberapa soundbar dan TV yang kami ulas dengan kemampuan Dolby Atmos. Tetapi majoritinya tidak memberikan kepuasan Atmos sebenar kerana tidak mempunyai sistem audio menyeluruh sebenar. Menerusi Samsung Soundbar Q990C, kami akhirnya menemui sistem audio rumah yang kami nobatkan sekarang sebagai terbaik pada tahun 2023. Kenapa kami katakan begitu? Ulasan penuhnya adalah seperti di bawah.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

Samsung Soundbar Q990C
JenisSoundbar
Pemandu22 speaker, 1 sub (11.1.4)
Port I/O1x HMDI eARC
2x HDMI 2.0
1x Optikal
CodecATMOS Music
ATMOS
Dolby MAT
Dolby Digital Plus
Dolby True HD
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaTiada
Pad sesentuhTiada
BluetoothBluetooth 5.2
Bicu Audio AUXTiada
NFCTiada
Harga Jualan RM 6499

Samsung Soundbar Q990C yang menyokong audio saluran 11.1.4. Ia terdiri daripada satu soundbar sepanjang 1.2 meter, dua speaker satelit untuk saluran audio belakang dan satu subwoofer. Soundbar utama mempunyai rekaan berkotak dengan tubuh diperbuat daripada logam.

Keseluruhan bahagian hadapan atas dan sisi mempunyai ribuan logam untuk audio dari pemandu ditembak ke semua arah. Dengan kekisi logam tiada isu habuk berkumpul seperti speaker yang mempunyai penutup fabrik.

Dua speaker satelit mempunyai rekaan logam yang sama. Ia juga mempunyai pemandu audio yang ditembak ke atas untuk digunakan oleh sistem Dolby Atmos. Akhir sekali subwoofer 26W yang besar pula mempunyai tubuh yang diperbuat daripada kayu. Terasa sangat teguh apabila diketuk. Sebenarnya rekaan Q990C sama sahaja dengan Q990B sebelum ini cuma dengan peningkatan pada komponen yang digunakan.

Dengan dimensi 123.2. x 6.95 x 13.8 cm, Q990C kami rasakan hanya serasi apabila dipadankan kepada TV dengan saiz skrin 65″ dan ke atas sahaja. Pada TV yang lebih kecil ia menjadi terlalu besar sehingga nampak tidak seimbang pula.

Dengan ketinggian 6.95 cm ia juga agak tinggi bagis sebuah soundbar. Ia tidak mudah diselitkan di bawah beberapa TV yang kami miliki di makmal Amanz. Pastikan meja TV mempunyai ruang mencukupi ataupun TV digantung pada dinding bagi mengelakkan ketiadaan ruang.

Pada bahagian atas terdapat beberapa butang fizikal untuk mengawal tahap audio, butang kuasa dan butang membisukan mikrofon. Buang-butang ini diperbuat daripada getah. Sebuah skrin dot matrix diletakkan di hadapan kanan memaparkan status audio dan input yang sedang digunakan. Ia terlalu kecil untuk memaparkan maklumat yang diperlukan. Jadi aplikasi SmartThings kami sarankan dipasang pada telefon pintar bagi memudahkan tetapan Q990C diubah dan melihat dengan lebih jelas pelbagai mod yang boleh diubah oleh pemilik.

Dari segi I/O pula terdapat 1x HMDI eARc, 2x HDMI 2.0, dan 1x input optikal. Memang amat minimalis tanpa pilihan input berwayar 3.5mm dan juga sambungan USB-A yang biasanya ada pada soundbar. Terdapat satu port USB-A di bahagian bawah tetapi ini hanya digunakan untuk melakukan kemas kini perisian apabila berlaku isu pada soundbar.

Sistem NFC yang memudahkan tambatan kepada telefon juga tiada. Ini digantikan dengan sistem Spotify Connect, Google Chromecast Audio dan Apple Air Play 2. Jika anda memiliki peranti Samsung, ciri Tap Sound untuk memindahkan audio dari telefon ke Q990C juga boleh dilakukan.

PENGGUNAAN

Proses sambungan kepada TV adalah mudah tetapi tidak senang. Ini kerana saiz dan berat komponen yang perlu diangkat. Berat soundbar sahaja sudah 7.7 kg sementara speaker setelit seberat 3.5 kg dan subwoofer pula seberat 11.7 kg. Isu paling utama ia ruang. Jika anda tinggal di apartmen atau kondominium kecil, proses mencari ruang yang cukup besar serta pengurusan kabel akan menjadi sedikit rumit.

Apabila diaktifkan, keempat-empat komponen Q990C akan berhubungan antara satu sama lain secara automatik. Sambungan kepada TV pula dilakukan dengan satu kabel HDMI menerusi port eARC. Kami mengulas Q990C dengan sebuah Samsung Neo QLED 8K QN800 dan Prism+ Q65 Ultra. Tidak mengejutkan Q990C lebih mudah dipadankan kepada TV Samsung kerana jenama yang sama.

Ia dikesan terus pada menu TV dengan terdapat pilihan menggunakan soundbar sahaja, Q Symphony atau bluetooth. Hanya pada TV Samsung sistem Dolby Atmos secara bluetooth boleh dinikmati. Sementara itu Q Symphony pula membolehkan soundbar dan speaker TV beroperasi serentak untuk audio yang lebih menyeluruh.

Pada TV Prism+ Q65 Ultra dengan Android TV ia memerlukan beberapa langkah tambahan tetapi tiada isu untuk ia beroperasi selepas tetapi dilakukan menerusi menu Android TV. Tiada proses kalibrasi perlu dilakukan. Sebaliknya dalam tetapan SmartThings hanya aktifkan ciri SpaceFit Sound supaya bunyi ditala secara automatik kepada ruang Q990C diletakkan.

Perisian SmartThings bagi kami membuat pengalaman menggunakan Q990C sedikit sukar. Kadang kala Q990C telahpun dihidupkan tetapi SmartThings mengatakan ianya tidak hidup. Ini adalah isu yang kami hadapi juga dengan TV pintar Samsung. Proses memasukkan Q990C kepada akaun SmartThings juga agak lama walaupun pada sebuah telefon Samsung.

Perisian adalah kelemahan paling ketara Q990C. Kami gagahkan juga menunggu kerana seperti kami katakan di atas untuk mengawal pelbagai tetapan pada sounbar ini, ia masih lebih intuitif dari dalam SmartThings.

ALAT KAWALAN JAUH

Alat kawalan jauh diperbuat daripada plastik sementara butang diperbuat daripada bahan getah. Ia memerlukan dua bateri AAA untuk berfungsi. Tidak tahu kenapa Smart Remote USB-C dengan solar tidak digunakan sebagai alat kawalan jauhnya. Pada alat kawalan jauh ini terdapat butang menukar input, memulakan proses tambatan BT, mengubah mod bunyi dan mengubah tetapan treble/bass.

Tetapi seperti kami katakan di atas tadi, skrin LCD di hadapan soundbar terlalu kecil untuk kami melakukan penetapan dengan mudah. Maka alat kawalan jauh ini hanya kami gunakan sebelum Q990C dimasukkan ke dalam SmartThings.

KUALITI AUDIO

Kami katakan di atas Q990C ialah soundbar terbaik pernah memasuki makmal Amanz. Ia memintas JBL Bar 1000 yang diulas beberapa bulan yang lalu kerana mempunyai sistem Dolby Atmos yang lebih ketara kesannya, bass yang lebih kuat, treble lebih jelas dan kemampuan melontar audio dialog dengan lebih jelas walaupun pada tetapan audio yang tinggi. Dengan terdapat lebih banyak saluran audio, kesemua bahagian audio dilontarkan dengan jelas ke dalam telinga kami semasa menguji beberapa filem di makmal.

Mulakan dengan filem All Quiet on The Western Front. Dalam babak serangan askar Jerman ke kubu musuh, arah dari mana mortar ditembak dan mana ia meletup dapat dijejak dengan jelas. Pergerakan kaki askar-askar di atas permukaan tanah yang basah juga tidak ditenggelami bunyi letupan. Ribuan peluru mesingan Maxim yang mencantas atas sebaik sahaja ia merobek tubuh juga sangat realistik. Q990C berjaya membuatkan kami terasa seperti berada di perbatasan Perang Dunia Pertama.

Kemudian apabila diuji dengan filem Batman The Dark Knight runut bunyi Hans Zimmer di babak pembukaan terasa hidup. Memang dapat dirasakan debaran pasukan badut yang cuba merompak bank milik kongsi gelap. Apabila menonton kandungan dokumentari Our Planet pula, suara Sir David Attenborough seakan duduk di dalam bilik bersama kami meneroka pelbagai habitat haiwan liar yang diancam kepupusan.

Q990C juga beroperasi dengan cemerlang untuk mendengar muzik. Kami strim kandungan Apple Music dari TV ke Q990C pada kadar bit tertinggi. Apabila mendengar muzik klasikal, instrumen diasingkan dengan baik dapat didengari di mana pemain duduk dalam barisan orkestra. Kekurangan hanya dirasai apabila mendengar muzik punk dan rock 90an kerana adunan muzik asal album yang tidak begitu baik. Apabila sumber kurang senonoh maka audio pun tak senonoh.

Bagi peminat muzik EDM, bass Q990C boleh menggegarkan ginjal. Kami rasakan kekuatan Q990C akan dapat didengari jika anda mendengar muzik jazz dan rakaman langsung. Apabila bila album Portishead Roseland NYC Live dimainkan, ia mungkin sehampir mungkin kami dapat merasakan diri mendengar Beth Gibbons menyanyi dalam konsert legenda ini.

Kandungan permainan video juga dimainkan dengan cukup baik sekali. Lebih-lebih lagi PlayStation 5 kini menyokong adunan Dolby Atmos. Dengan kata lain Q990C cemerlang memainkan audio untuk filem, siri TV, muzik dan permainan video.

DALAM KOTAK

Dalam setiap pembelian, anda akan menerima seperti berikut.

  • 1x Soundbar Q990C
  • 1x Subwoofer Q990C
  • 2x Speaker satelit Q990C
  • 1x Kabel HDMI 1.5m.
  • 4x Kabel kuasa
  • 1x Manual.

KESIMPULAN

Apa yang anda dapat dengan Q990C? Sistem audio seakan panggung wayang Dolby Atmos di rumah tanpa mengira saiz ruang ia diletakkan. Dapat didengari setiap bunyi letupan bom, desiran butiran pasir yang jatuh dari langit, bunyi peluru bersimpang siur dari pelbagai arah tetapi pada waktu yang sama dialog percakapan watak kedengaran jelas. Tiada isu suara ditenggelami oleh bunyi persekitaran. Untuk menonton filem kami tidak perah mengulas soundbar sebaik Q990C.

Tetapi Q990C juga cemerlang sebagai sistem audio mendengar muzik di rumah. Jika anda mempunyai Apple Music, sistem Dolby Atmos Q990C boleh dimanfaatkan sepenuhnya. Pada hara RM6499 ia memang sebuah sistem yang mahal tetapi untuk kepuasan mendengar audio yang baik ia adalah

Pro

  • Sistem audio yang lengkap.
  • Sokongan Dolby Atmos.
  • Sesuai untuk pelbagai jenis kandungan.
  • Bass yang mantap.
  • Sokongam Chromecast, Air Play 2 dan Spotify Connect.

Kontra

  • Perisian SmartThings tidak mesra pengguna.
  • Memerlukan ruang besar di rumah.
  • Hanya sesuai untuk TV bersaiz besar.
Komen