Carian
TV
Ulasan Prism+ Q65 Ultra – TV QLED Dengan Dolby Vision Mampu Milik
September 12, 2023 Effi Saharudin

Dua tahun yang lalu Prism+ memasuki pasaran Malaysia dengan Prism+ Q65-QE yang merupakan antara televisyen Android TV dengan skrin besar paling mampu milik di pasaran. Selepas hampir dua tahun Prism+ Q65 Ultra pula diperkenalkan di Malaysia yang adalah model kemas kini kepada Q65-QE. Apakah penambahbaikan model tahun ini dan adakah ia berjaya mengekalkan status sebagai antara TV pintar paling berbaloi di pasaran tempatan? Ulasan ini akan menjawab persoalan ini.

Spesifikasi

PRISM+ Q65-Ultra
Saiz Skrin 65-inci
Resolusi3840 x 2160 pixel (60Hz)
PanelQLED
Cip Cip 4X Cortex A53
Memori2GB RAM
Storan11GB ROM
Sistem OperasiAndroid TV 11 Dengan Google TV
HDRYa / Dolby Vision
Keterangan Maksimum Tidak diketahui
Audio20W, Dolby Atmos
I/O3x HDMI 2.0 (1x ARC)
2x USB-A 2.0
1x RF
1x AV
1x Audio optikal
1x LAn
DTTVYa/DVB-T2
Pembantu MayaGoogle Assistant
InternetLAN/ WiFi 5GHz
BluetoothBT 5.1
ChromecastYa
AirPlay 2Tiada
Saiz1445 x 902 x 325 mm (dengan tapak)
Berat18.6 kg (dengan tapak)
Harga JualanRM 3299

Rekaan

Tiada apa yang menakjubkan mengenai rekaan PRISM+ Q65 Ultra kerana ia mirip dengan Q65-QE yang sudah kami ulas sebelum ini. Perubahan kecil dilakukan pada bezel bawah yang kini mempunyai palang logam yang berkilat menggantikan palang hitam plastik. Ia membuatkan Q65-Ultra kelihatan lebih bergaya dan premium. Bezel TV masih lagi nipis setanding dengan rekaan TV yang dikeluarkan oleh jenama popular lain.

Skrin sebesar 65″ dengan sokongan resolusi 4K dari jenis QLED menggantikan panel LED sebelum ini. Ia juga menyokong format HDR Dolby Vision yang diberikan kepada Q65 Pro dan Q86 Pro. Terdapat dua kaki besi yang perlu diskru di bahagian bawah sekiranya televisyen ingin diletakkan di atas permukaan meja.

Kaki adalah cuba besar bagi memastikan televisyen stabil di atas meja. Yang membuatkan kami kecewa ialah panel masih lagi 60Hz sedangkan di pasaran sekarang panel 120Hz semakin popular bagi menyokong konsol generasi terkini dan juga PC yang boleh mencapai kadar segar semula lebih tinggi.

Ruang dibahagikan bawah tapak hanya 64mm yang adalah lebih kecil jika dibandingkan dengan Q65-QE yang mempunyai ruang 77mm. Bagi mereka yang gemar meletakkan kotak TV Astro, Apple TV dan PlayStation 4 ruang ini masih membolehkan ketiga-tiga peranti ini diletakkan di bawah TV tetapi ianya kini agak sempit. Lebar tapak kaki pula meningkat daripada 290mm ke 325mm yang menjadikan TV lebih stabil apabila diletakkan di permukaan meja.

Jika anda ingin menggantung TV, terdapat juga cagak VESA 400×200 mm. Berat keseluruhan Q65-Ultra pula ialah 18.6 kilogram yang adalah agak ringan jika dibandingkan dengan TV lain dalam kelas yang sama.

Pilihan I/O adalah 3X HDMI 2.0 (dengan satu HDMI ARC), 2X USB-A 2.0, RJ45 LAN, AV in, output audio optikal, dan RF. Bagi yang memerlukan televisyen digital, dekoder DVB-T2 disertakan sekali. Sedikit mengecewakan tidak ada satupun HMDI 2.1 kerana panel QLED hanya boleh mencapai kadar segar semula 120Hz.

Kesemua I/O diletakkan pada bahagian kiri televisyen dengan kesemua port sambungan menghala ke sisi. Ini amat memudahkan sambungan pelbagai kabel dan aksesori apabila televisyen digantung. Port sambungan kuasa pula terletak di sebelah kanan dengan kabel yang mempunyai lengkok 90 darjah sekali lagi bagi memudahkan proses menggantung TV.

Sokongan Internet pula adalah menerusi LAN atau WiFi 5GHz. Penambahbaikan yang baik kerana model sebelum ini hanya menyokong WiFi 2.4GHz yang agak perlahan. Internet yang pantas diperlukan jika anda ingin menstrim kandungan 4K HDR dengan lancar.

Penggunaan Dan Kualiti Visual

Kualiti visual adalah memuaskan. Lebih baik berbanding panel LED tetapi tidak sebaik panel OLED. Skrin adalah terang dan jelas tanpa kesan blooming yang ketara apabila terdapat sumber cahaya yang terang. Warna hitam juga nampak hitam bukannya kelabu seperti yang menjadi isu kebiasaan pada TV LED. Dalam situasi terang sekalipun panel Q65-Ultra dapat memaparkan kandungan dengan jelas.

Sudut pandangan juga baik tanpa penonton perlu berada betul-betul di hadapan skrin untuk melihat visual yang terang. Kami tidak tahu tahap keterangan maksimum panel TV ini kerana ia tidak pula disenaraikan oleh Prism+ di laman mereka.

Terdapat tetapan Vivid, Standard, Sport, Movie, User dan Energy Saving diberikan sekiranya pengguna inginkan profil visual berbeza. Apabila kandungan Dolby Vision dikesan pula pilihan Dolby Vsion Bright, Dolby Vision Dark, Dolby Vision Vivid, Dolby Vision Standard dan Dolby Vision Game pula diberikan.

Tetapan gambar diakses dengan memasuki pilihan menu Settings TV. Bagi yang inginkan tetapan paling serasi dengan filem, terdapat juga Filmmaker Mode. Selain Dolby Vision, kandungan HDR10+ juga disokong oleh Q65-Ultra.

Yang kami kurang suka ialah pada Q65-Ultra, proses menukar mod gambar (Picture Mode) dan audio kini jadi semakin sukar. Setiap kali ia cuba ditukar video akan terhenti dan memerlukan beberapa butang ditekan terlebih dahulu. Pada Q65-QE, hanya perlu tekan butang Settings dan pergi ke Picture Mode. Video ditonton masih bergerak dengan perubahan warna dapat dilihat dalam masa nyata. Ini tidak boleh dilakukan pada Q65-Ultra. Mengapa model baharu kurang mesra pengguna berbanding model lama?

Apabila menonton kandungan pada resolusi natif 4K, kesemuanya nampak terang, tajam, hidup dan bermaya. Isu hanya dapat dilihat apabila kandungan 480P dan ke bawah ditonton. Tiada sebarang sistem upscaling disertakan pada TV ini maka kualiti imej yang pecah nampak semakin ketara cela pada skrin sebesar 65″ ini.

Tiadanya ciri upscale ialah isu yang menjadi rungutan kami sejak Q65-QE lagi kerana kandungan di internet majoritinya bukan natif 4K. Pada platform penstriman seperti HBO GO yang mempunyai kualiti video yang tidak memuaskan, panel QLED yang baik ini tidak dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya dan ini adalah amat merugikan kepada pengguna.

Gaming

Seperti yang kami sebutkan di atas tadi, Q65-Ultra sekadar menggunakan panel 60Hz sahaja. Untuk keperluan gaming pada PS4, Xbox One atau Nintendo Switch ini mungkin memadai. Tetapi pada tahun 2023 konsol PS5, Xbox Series X dan PC menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz. Oleh itu tiadanya kadar segar semula tinggi, NVIDIA G-Sync, AMD FreeSync dan VRR adalah agak ketara.

Berita baik ialah kami tidak nampak isu ghosting yang ketara sepanjang tempoh ulasan. Kami memainkan Forza Horizon 5 yang mempunyai grafik pantas tanpa isu. Sayang sekali panel pada TV ini tidak boleh pergi lebih pantas.

Android TV 11 Dengan Google TV

Q65-Ultra menggunakan sistem operasi Google TV berasaskan Android TV 11 yang terkini. Antaramuka Google TV nampak lebih menarik, kemas dan mempunyai lebih banyak maklumat yang diperlukan oleh pengguna. Sebagai pemilik Chromecast with Google TV, kami sukakan antaramuka ini kerana ia lebih selari dengan antaramuka yang digunakan pada telefon pintar Android.

Google TV juga mempunyai ciri profil yang memudahkan pengguna berbeza di rumah mempunyai antaramuka sendiri. Ada profil peribadi, isteri atau anak.

Panel dan sistem operasi dipertingkatkan tetapi Q65-Ultra masih hanya dilengkapi cip 4x Cortex-A53, GPU Mali-G52, memori sebesar 2GB RAM dan storan sebesar 11GB. Ini adalah cip yang sama seperti pada Q65-QE yang sudah agak berusia. Akibatnya prestasi Google TV pada Q65-Ultra adalah kurang memuaskan.

Masa diambil untuk boot up adalah agak perlahan sekitar seminit. Jauh beza dengan TV Tizen Samsung QN800C yang baru diulas baru-baru ini yang mengambil masa kurang 20 saat. Selepas dilancarkan TV mengambil masa beberapa minit lagi sebelum boleh digunakan dengan lancar. Jika kami cuba melancarkan aplikasi dengan segera, ia akan mengambil masa sekitar 30 saat sebelum boleh dibuka.

Jumlah RAM yang kecil tidak membantu kerana jika banyak aplikasi dilancarkan serentak, proses menukar antara aplikasi juga perlahan. Wujud sela masa dan aplikasi tidak responsif untuk beberapa ketika. Pengalamannya seperti menggunakan sebuah telefon kelas permulaan Realme C53 yang juga telah kami ulas.

Kelebihan Google TV ialah terdapat ribuan aplikasi yang boleh dimuat turun kerana. Sokongan aplikasi juga adalah amat baik dengan Netflix, YouTube, Apple TV, Prime Video, Disney+ Hotstar, HBO GO, iQiyi dan banyak lagi boleh dimuat turun tanpa sebarang masalah. Storan 11GB yang diberikan juga cukup besar kerana pada model sebelum ini hanya dilengkapi storan 4GB.

Dengan sistem operasi Android, terdapat juga sokongan Chromecast terbina yang amat berguna untuk menyiarkan kandungan dari telefon/tablet/komputer terus ke TV. Yang tiada pada waktu ini hanyalah AirPlay 2 kerana sehingga kini Google enggan menyokong sistem Apple ini.

Seperkara lagi port USB-A 2.0 yang digunakan boleh membaca pemacu USB atau cakera keras yang diformat menggunakan FAT32 dan NTFS sahaja. Jika anda menggunakan format lain seperti APFS misalnya, storan luaran ini tidak boleh dibaca oleh Android TV 11.

Alat Kawalan Jauh

Alat kawalan jauh kali ini lebih mudah, kompak dan selesa dipegang dalam tangan. Masih lagi diperbuat daripada bahan plastik tetapi sekurang-kurangnya butang tidak lagi terasa seperti murahan. Sistem navigasi kali ini diletakkan pada butang bulat yang sama seperti alat kawalan jauh Chromecast with Google TV, Apple TV 4K dan Samsung.

Terdapat empat butang pintas pantas untuk Netflix, YouTube, Prime Video dan sebuah lagi boleh diprogramkan sendiri. Ini adalah ciri yang bagus kerana kami sendiri memprogramkan butang keempat ini untuk Disney+ Hotstar. Tiada pengeluar lain memberikan ciri ini pada alat kawalan jauh mereka.

Pada bahagian belakangnya pula dibulatkan yang membuatkan isu sisi berkotak yang tajam pada alat kawalan Prism+ sebelum ini tidak berulang. Kemasan yang agak kasar membuatkan ia tidak mudah memerangkap kotoran.

Untuk menggunakan alat kawalan jauh dua bateri bersaiz AAA diperlukan. Kerana Q65-Ultra menggunakan sistem operasi Android TV with Google TV, pemilik juga boleh mengawalnya menggunakan aplikasi Google TV untuk Android dan iOS yang boleh dimuat turun secara percuma.

Kualiti Audio

Speaker 20W menyokong audio Dolby Atmos dan DTS TruSurround. Speaker menembak ke bawah dan oleh itu pengalaman audio yang kami nikmati tidak begitu memberangsangkan lebih-lebih lagi selepas kami baru sahaja mengulas Samsung Neo QLED 8K QN800C yang dilengkapi sistem speaker yang terbaik pernah kami lihat pada sebuah TV.

Audio terasa agak rata walaupun dengan Atmos diaktifkan. Tidak merasa menyeluruh dengan kesan Atmos langsung tidak ketara. Apabila menonton filem dengan babak bercakap dan letupan berlaku serentak, dialog tidak begitu jelas kedengaran. Speaker TV ini tidaklah sampah tetapi ia juga tidaklah memuaskan. Kami sarankan TV ini dipadankan dengan soundbar Dolby Atmos untuk pengalaman audio yang lebih sesuai dengan pengalaman visualnya yang baik.

Kesimpulan

Prism+ Q65-Ultra adalah model kemas kini untuk Q65-QE dan Q65-Pro kerana penggunaan panel QLED yang lebih baik kualiti visualnya berbanding panel LED. Warna nampak lebih hidup, skrin lebih terang, dan imej nampak lebih tajam. Menonton kandungan 4K degan Dolby Vision pada TV ini tidak mengecewakan.

Pada harga RM3299 ia dipasarkan pada harga yang kompetitif jika dibandingkan dengan TV Samsung, Sony dan Hisense dengan saiz serta panel yang sama. Penggunaan Android TV with Google TV juga memastikan pilihan aplikasi yang boleh dipasang adalah sangat baik.

Cuma kami harus nyatakan ianya mampu milik kerana masih lagi menggunakan cip A53 empat teras yang sudah agak berusia. Pengalaman penggunaan adalah kurang lancar terutamanya ketika cuba melancarkan aplikasi atau menukar antara aplikasi. Panel juga masih 60Hz tanpa HDMI 2.1 serta speaker 20W yang kurang memuaskan. Tetapi jika anda ingin berjimat dan penyabar, kualiti visual Q65 Ultra dapat menutup kekurangan yang kami senaraikan tadi.

Pro

  • Skrin 4K yang tajam dengan keterangan yang memuaskan.
  • Sokongan Dolby Vision.
  • Menggunakan versi terkini Android TV 11 dengan aplikasi yang banyak.
  • Ruang bawah TV yang tinggi untuk konsol, kotak TV dan pemain DVD.
  • Pilihan I/O yang baik.
  • Harga mampu milik.

Kontra

  • Speaker 20W kurang lantang untuk Dolby Atmos.
  • Tidka cukup lancar kerana pemproses yang sudah berusia.
  • Panel setakat 60Hz
  • Tiada AirPlay 2.
Komen