Video ulasan Apple Vision Pro mula muncul semalam menunjukkan kemampuan unik dan beberapa kekurangan yang agak tragik. Kekurangan paling ketara ialah pek bateri yang perlu disambung menggunakan kabel panjang sepanjang masa. Kabel ini pula pada awalnya disangka tidak boleh ditanggalkan daripada pek bateri. Tetapi sebenarnya ia boleh dicabut menggunakan pin SIM mendedahkan sambungan kepala yang aneh.
Kepala “jantan” pada kabel kelihatan seakan Lightning tetapi hampir dua kali ganda lebih lebar. Ini adalah kali pertama kepala Lightning seperti ini digunakan pada sebuah peranti Apple. Sebelum ini sambungan seakan Lightning tetapi jauh lebih pendek juga ditemukan pada Apple AirPods Max. Di media sosial sambungan pada Vision Pro diberikan nama jolokan Lightning Plus kerana saiznya yang lebih besar.
Sambungan USB-C hanya disokong pada port pengecasan tambahan pada sisi pek bateri. Dengan ini pemilik Vision Pro boleh menggunakan set kepala “perkomputeran spatial” ini lebih lama daripada hayat sekitar 2-4 jam sahaja menggunakan pek bateri. Turut didedahkan ialah bateri Vision Pro mempunyai kapasiti kecil 3166 mAh. Apple Vision Pro hanya dijual di Amerika Syarikat sahaja pada waktu ini.