Qualcomm mengumumkan laporan kewangan mereka untuk Q1 2024 hari ini dan mengesahkan Apple menyambung pelesenan teknologi modem mereka sehingga 2027. Perjanjian antara Apple dan Qualcomm pada asalnya akan berakhir pada tahun 2026 dengan mereka dipercayai akan mula menggunakan modem keluaran sendiri.

Tetapi seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, program menghasilkan modem sendiri Apple menghadapi beberapa isu menyebabkan ia dipercayai telah dihentikan. Apple mengambil alih perniagaan modem Intel pada tahun 2019 semata-mata untuk menghasilkan modem rekaan.
Hubungan Apple dan Qualcomm kini semakin baik selepas beberapa tahun lalu mereka saling saman menyaman berkenaan paten moden untuk peranti pintar. Apple kemudiannya bersetuju untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah dan membayar lesen menggunakan teknologi modem milik Qualcomm.