Cari @ Amanz

Perkara paling menarik pada siri Google Pixel 8 dan siri Samsung Galaxy S24 tahun ini ialah ciri kecerdasan buatan (AI) generatif yang melakukan beberapa perkara yang selama ini dianggap seperti sihir. Tumpuan tidak lagi diberikan kepada perkakasan dan kami meramalkan tahun ini perisian akan menjadi tarikan utama sebelum peranti dibeli. Ketika mengumumkan laporan kewangan Apple untuk suku lalu, Tim Cook mengesahkan ciri AI generatif akan ditawarkan pada peranti keluaran syarikat menjelang penghujung 2024.

Ini sedikit sebanyak mengesahkan ura-ura iOS 18 akan menjalani perubahan paling besar pernah dilakukan setakat ini. Selama dua tahun berturut-turut iOS sekadar menerima kemas kini ciri yang kecil dan tiada perubahan rekaan yang ketara. Sekiranya Apple ingin terus bersaing dengan dengan Android, ciri seperti Circle to Search, suntingan gambar AI dan bantuan penulisan AI perlu ditawarkan juga pada peranti mereka.

Tahun 2024 diramalkan akan mencabar kesemua pengeluar telefon pintar. Apple khususnya dijangka mengalami pengurangan pengeluaran iPhone sehingga 14%. Pada suku lalu jualan iPhone di China susut 13% berbanding suku yang sama tahun 2022. Persaingan daripada pesaing tempatan, semangat patriotisme meningkat dan kebangkitan semula Huawei adalah antara penyumbang kepada kemerosotan ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd