Dikemaskini (2/2/2024, 5.30pm) – Portal AI Untuk Rakyat kini beroperasi semula, dan pengguna sudah boleh melayarinya seperti biasa.
MyDIGITAL menggantung sementara laman sehenti AI Untuk Rakyat berkuat kuasa hari ini sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak. Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan ringkas bertarikh 2 Februari 2024 yang dimuatnaik melalui media sosial rasmi.
Menurut kenyataan itu, keputusan dibuat berpunca daripada lonjakan pendaftaran yang di luar jangkaan, sambil menunggu semakan keselamatan siber oleh pihak pembekal platform. Buat masa ini juga pihak MyDIGITAL sedang dalam proses menyelesaikan pemasalahan dengan mengambil segala kemungkinan bagi mengaktifkan semula program secepat yang mungkin. Selain juga akan memaklumkan mengenai pengoperasian semula portal apabila kembali pulih seperti sedia kala.
Justeru orang ramai diminta bersabar dan boleh membuat semakan dari semasa ke semasa. Untuk rekod, laman sehenti ini telah diumumkan secara rasmi pada Januari lalu bertujuan untuk memberi penjelasan tentang AI kepada semua lapisan masyarakat yang menyeluruh tanpa mengira umur.