Pernah atau tidak anda terlupa kod laluan/pin, kata laluan atau corak gestur pada telefon pintar? Jalan penyelesaian mudah adalah format semula peranti atau bawa ke pusat khidmat pelanggan dengan bukti hak milik untuk bantuan lanjut. Tetapi dengan Apple Vision Pro, jika anda terlupa kod laluan – hanya satu kaedah diberikan iaitu perlu dibawa kembali ke Apple Store.
Vision Pro menggunakan sistem biometri baharu iaitu Optic ID yang mengimbas mata pengguna sebagai pengesahan identiti. Optic ID boleh menyahkunci peranti secara automatik, tetapi apabila peranti kehabisan bateri dan telah dimulakan semula – kod laluan wajib dimasukkan.
Pengguna perlu membawa Vision Pro ke Apple Store kerana set kepala ini tidak menyokong pemindahan data untuk pengguna melakukan sandaran atau menguruskan peranti menggunakan MacBook atau peranti lain. Bukan itu sahaja, Vision Pro turut tidak mempunyai ciri Find My – bermakna apabila set kepala ini hilang anda tidak boleh mencarinya sendiri.
Tidak dinafikan yang Apple Vision Pro adalah antara produk Apple yang paling leceh untuk dimiliki. Pertama untuk mencuba atau membeli, pengguna wajib melakukan temujanji dan imbasan kepala. Set kepala ini tidak boleh dibeli secara terus seperti produk Apple yang lain.