Biasanya orang ramai akan cakap “Beli iPhone, update ‘dia’ lama. Mahal, tapi baloilah longterm“. Perkara ini benar untuk beberapa tahun lepas. Tetapi sejak tahun lepas, Google Pixel 8 diberikan kemas kini 7 tahun dan tahun ini Samsung Galaxy S24 turut diberikan tempoh kemas kini yang sama. Baru-baru ini OnePlus dipersoalkan kenapa OnePlus 12 hanya memberikan kemas kini 4+5 tahun?
Dalam temu ramah Tom’s Guide bersama Kinder Liu, selaku Presiden OnePlus – Liu menjawab;
“Menawarkan kemas kini perisian yang lebih lama, tidak menepati matlamat. Bukan polisi kemas kini perisian sahaja penting untuk pengguna, tetapi kelancaran sistem telefon untuk pengalaman pengguna terbaik juga.”
Dengan kata lain, spesifikasi peranti seperti memori dan cip pemprosesan mungkin tidak padan dengan perisian 7 tahun akan datang. Liu turut menyatakan, “Bayangkan telefon anda adalah roti, perisian itu adalah inti. Anda makan dan terima inti itu selama 7 tahun, adakah roti itu masih elok untuk dimakan?”
Saya setuju dengan Kinder Liu, peranti Android sekitar 3-4 tahun kemas kini sudah memadai. Tetapi Google dan Samsung telah membuktikan yang kalau perisian hebat, spesifikasi tidak setanding pesaing pun ia boleh memberikan pengalaman penggunaan yang memuaskan. Mana tahu selepas 7 tahun nanti kedua-dua peranti masih mampu beroperasi dengan baik seperti mana iPhone buktikan.
Kita sudah tiba ke era sistem operasi Android “boleh tahan lama” berbanding iOS. Adakah anda setuju dengan perkara ini atau lebih baik tukar ke telefon baharu setiap beberapa tahun sekali?