Cari @ Amanz

Beberapa tahun yang lalu CEO Netflix berkata pesaing mereka ialah Fortnite bukannya Disney+. Semalam CEO Disney Bob Iger mengumumkan House of Mouse akan melabur $1.5 bilion bagi memiliki saham di dalam Epic Games, syarikat yang membangunkan Fortnite.

Menerusi pelaburan in, “dunia hiburan” Disney akan dibina di dalam dunia Fortnite. Kesemua IP popular Disney, Pixar, Marvel, Star Wars, Avatar dan banyak lagi akan boleh diakses menerusi dunia hiburan ini. Walaupun frasa metamesta tidak digunakan, secara zahirnya ini ialah dunia Disney di dalam ekosistem Fortnite yang boleh diakses sepanjang masa.

Watak Disney boleh dimainkan, kandungan Disney boleh dihasilkan dan lebih penting bagi pemegang IP ialah boleh dibeli oleh pemain. Perjanjian antara Disney dan Epic Games di dalam Fornite ini adalah untuk beberapa tahun. Sebelum ini watak Marvel ditawarkan untuk tempoh terhad di dalam Fortnite maka pengumuman hari ini tidaklah begitu mengejutkan.

Permainan video menjana pendapatan yang lebih tinggi berbanding perfileman sejak akhir-akhir ini. Sinergi antara Disney dan Epic Games pastinya akan menguntungkan kedua-dua pihak. Lebih-lebih lagi buat Disney yang melihat pendapatan perfileman dan taman tema mereka yang mula merudum.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd