Carian
Playdate Membuatkan Saya Jatuh Hati Dengan Dunia Permainan Yang Lebih Ringkas
March 26, 2024 Fahim Zahar

Ramai di kalangan ahli keluarga dan kawan-kawan menggelar diri saya sebagai pakar gajet. Tetapi ramai yang tidak tahu, minat saya kepada teknologi bermula pada zaman sekolah menengah kerana ramai kawan dan cikgu menggunakan gajet menarik yang saya tidak mampu miliki. Ketika itu saya tidak pernah memiliki telefon pintar, konsol mudah alih popular seperti Tamogotchi, Game Boy, atau lain-lain yang menjadi trend di awal Milenium.

Nintendo Switch OG

Selepas habis belajar, saya mula memiliki PlayStation dan Nintendo Switch. Dua konsol pertama yang saya miliki atas usaha sendiri selama bertahun menyimpan niat untuk memilikinya. Switch paling dekat dengan hati saya walaupun permainan pada PlayStation 4 lebih menarik. Ini mungkin kerana saya tidak pernah memiliki konsol mudah alih sebenar. Jadi, pengalaman memiliki Switch sangat mengujakan dan membuat saya terbayang – adakah ini keseronokan yang saya akan rasa jika saya memiliki Game Boy semasa masih kanak-kanak?

Nintendo Switch Lite

Selepas setahun memiliki Nintendo Switch, saya kerap menjual dan membeli semula beberapa konsol lain dalam tempoh enam tahun. Bermula dengan generasi pertama, beralih ke Switch Lite, kemudian ke Switch OLED dan kini jual semula kerana cuba setia dengan PlayStation 5. Saya sebenarnya tidak ingin jual Switch, kerana amat menyayanginya tetapi terpaksa atas harga jualan permainan yang semakin mahal. Saya harus pilih satu platform untuk setia bagi mengelakkan pembaziran.

Nintendo Switch OLED

Kini dengan Playdate yang memasuki pasaran Malaysia, ia memberi sinar baharu kepada saya. Satu harapan, adakah saya boleh kembali menikmati kegembiraan kali pertama memiliki konsol mudah alih? Playdate adalah konsol yang dibangunkan oleh Panic Inc., direka oleh Teenage Engineering, menggunakan skrin hitam putih seakan konsol dahulu serta setiap permainan tidak dijual pada harga yang melampau.

Contoh Playdate dipegang

Berdasarkan pemerhatian saya sejak Playdate dijual di negara lain, konsol buatan Malaysia ini benar-benar unik dan ramai mengatakan Panic cuba mengembalikan trend orang ramai bermain konsol mudah alih berteknologi retro di zaman moden. Kebanyakan permainan mengambil masa sekitar satu jam untuk selesai, bateri pula bertahan sehingga 8 jam, dan menggunakan warna kuning terang yang pasti akan menarik perhatian ramai.

Tidak lupa juga yang Playdate adalah konsol pertama dengan engkol berputar sebagai alat kawalan. Kebanyakan permainan telah diprogramkan untuk menggunakan engkol ini untuk mengawal watak atau objek dalam permainan. Saya amat harapkan Playdate akan menjadi pengganti Nintendo Switch terbaik untuk saya.

Playdate telah pun tiba di makmal Amanz baru-baru ini untuk diuji. Saya sudah boleh bayangkan bagaimana saya akan menghabiskan masa saya bersamanya. Kerana rekaannya, saya turut melihat ia boleh menjadi pengganti fidget spinner. Saya boleh bersantai dengan sebuah konsol minimalis yang tidak memeningkan. Berbanding Analogue, iaitu pelagak Game Boy dalam sebuah konsol rekaan ringkas dan harga mewah – Playdate saya rasakan pilihan lebih bijak kerana pilihan permainan yang unik.

Pek pembelian Playdate

Ketika artikel ini ditulis saya telah pun bermain Playdate untuk beberapa hari. Saya amat sukakan konsep apabila pengeluar mementingkan pembangun dan komuniti pengguna. Banyak permainan dan aplikasi disokong pada Playdate. Lebih menarik, ada banyak permainan percuma yang boleh dimuat turun dari Catalog atau turut boleh dimuat-sisi (sideloading).

Playdate dengan speaker modular

Setakat ini isu paling besar saya hadapi adalah tiada skrin backlight dan proses muat turun permainan sebesar 10MB agak lama kerana jenis storan yang digunakan. Harga RM950 amat sukar untuk bersaing dengan Nintendo Switch yang boleh dibeli pada harga lebih mampu milik, cuma harga permainan sahaja yang mahal.

Playdate adalah konsol permainan mudah alih yang ingin mengembalikan permainan yang asas. Satu permainan sekitar 3 minit ke 10 minit boleh selesai. Sukar untuk obsesi dengan permainan ringkas seperti ini, mata pun terjaga dan paling penting saya sudah mempunyai lebih 30 permainan duit yang pasti tidak mampu saya beli pada Switch.

Dengan Playdate telah pun dijual di Malaysia, adakah anda ingin membeli konsol buatan kilang di Kedah ini bagi menggantikan Nintendo Switch atau ia akan menjadi konsol kedua hanya untuk menenangkan diri dari hari yang penat dan tertekan? Nantikan ulasan penuh saya di Amanz tidak lama lagi bagi menentukan adakah berbaloi untuk membelinya.

Komen