Akhirnya, selepas diumumkan pada tahun 2019 dan dijual di negara terpilih pada tahun 2022 – konsol Playdate kini boleh dibeli di Malaysia. Konsol ini adalah di bawah Panic Inc. iaitu pembangun di sebalik permainan Untitled Goose Game. Playdate turut dihasilkan di kilang Kedah, Malaysia. Seperti yang dilaporkan minggu lepas, hari ini 13 Februari laman Playdate telah menyenaraikan Malaysia sebagai negara yang disokong.

Jika anda berminat untuk membeli Playdate, berikut adalah harganya;
Playdate | $199 ~RM948 |
Playdate + Cover | |
Cover | $29 ~RM138 |
Playdate dilihat hanya menawarkan satu warna sahaja, iaitu kuning. Ia dibina dengan plastik dan turut mempunyai engkol untuk kawalan. Konsol ini direka oleh Teenage Engineering, menggunakan skrin monokrom kontras tinggi 400 × 240 piksel 1-bit tanpa sebarang lampu latar (backlight), terdapat ang kawalan arah, dua butang A dan B, butang kuasa pada permukaan konsol. Ia turut mempunyai sokongan Bluetooth dan WiFi, speaker mono, mikrofon, memori 16MB RAM dan 4GB storan dalaman, dijana cip 168 MHz Cortex M7 dan bateri 8 jam melalui pengecasan USB-C.

Untuk permainan, Playdate mempunyai gedung tersendiri digelar sebagai Catalog. Dua permainan rasmi akan diberikan percuma setiap minggu selama 12 minggu. Jika tidak mahu tunggu, permainan percuma atau berbayar pada harga mampu milik boleh dimuat-sisi (sideload). Cover yang dijual adalah kerangka pelindung magnetik untuk melindungi panel belakang dan skrin serta memberi warna tambahan yang lebih ceria.
Penghantaran ke Malaysia akan mengambil masa 2-4 minggu. Harga penghantaran ke alamat Kuala Lumpur adalah $24.40 (~RM116). Ini menjadikan harga konsol sekitar RM1,064 atau RM1,160 dengan Cover. Harga yang agak mahal berbanding Nintendo Switch yang sudah boleh didapatkan pada harga sekitar RM700 ke RM800. Tetapi untuk rekaan yang unik, cara bermain yang berbeza serta koleksi permainan yang tiada pada konsol lain pasti boleh menjadi tarikan. Adakah anda akan membelinya?
