Pengharaman jualan produk-produk elektronik kerana pelanggaran hak cipta ataupun paten di sejumlah negara ataupun rantau bukanlah sesuatu yang baru. Sebelum ini Apple terpaksa menghentikan jualan Apple Watch di Amerika Syarikat kerana melanggar paten pengimbas oksimeter.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa Intel, pembuat dan pengeluar cip semikonduktor terkemuka global juga dilihat akan menghadapi masalah yang sama di negara Jerman pula, dimana mahkamah negara tersebut telah mendapati bahawa mereka melanggar penggunaan paten komponen pengawal voltan yang dimiliki R2 Semiconductors.
Oleh kerana ini, Intel telah dilarang dan disekat daripada menjual sejumlah daripada siri cip pemprosesan mereka, termasuklah siri cip pemprosesan Intel Ice Lake, Intel Tiger Lake dan Intel Alder Lake dan Intel Xeon Ice Lake Server.
Daripada semua semua siri CPU ini, hanya siri CPU Alder Lake yang masih dijual untuk komputer kategori desktop dan juga komputer riba. Ice Lake dan Tiger Lake, siri cip pemprosesan mudah-alih generasi ke-10 dan ke-11 Intel sudahpun dihentikan jualannya, dan tidak akan memberikan kesan kepada syarikat tersebut.
Untuk cip-cip pemprosesan Intel generasi ke-13 dan 14 Intel Raptor Lake, Raptor Lake Refresh dan juga Intel Meteor Lake, mereka tidak terkesan dengan isu pelanggaran hak cipta ini, dan boleh dijual di semua pasaran tanpa sebarang masalah.
Intel juga mengatakan bahawa mereka akan membantah keputusan mahkamah ini untuk membolehkan mereka terus menjual cip pemprosesan Alder Lake mereka.