Cari @ Amanz

Jualan Apple Watch Ultra 2 dan Apple Watch Series 9 secara rasmi diharamkan di Amerika Syarikat sejak semalam. Ini adalah bagi mematuhi arahan Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa A.S (ITC) yang mengharamkan pengimportan dua model jam tangan pintar ini ke dalam negara selepas Apple didapati bersalah melanggan paten oksimeter milik Masimo Corp.

Apple lebih awal menghentikan jualan Ultra 2 dan Series 9 di Amerika Syarikat sebagai persediaan sebelum arahan diberikan. Terdapat ura-ura kemas kini akan diberikan kepada watchOS bagi membolehkan penjualan diteruskan tetapi ini tidak berlaku. Minggu lalu Apple masih mempunyai harapan Presiden Biden mungkin menggunakan kuasa veto menghalang arahan ITC tetapi ini juga tidak berlaku. Apple telahpun mengemukakan rayuan kepada ITC supaya halangan import ini ditarik semula.

Masimo Corp menyaman Apple beberapa tahun lalu kerana teknologi oksimeter pengesanan oksigen dalam darah didakwa digunakan tanpa kebenaran. ITC berpihak kepada Masimo dan akibatnya dua model terkini Apple Watch kini diharamkan. Selain itu Apple juga berhadapan pula dengan kes saman Alivecor yang mendakwa teknologi ECG mereka juga digunakan tanpa kebenaran. Seperti Masimo, Alivecor turut mengemukakan petisyen Apple Watch diharamkan import ke A.S selagi kes ini tidak diselesaikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd