Cari @ Amanz

Google telah menjenamakan semula Bard kepada Gemini. Ia akan menjadi pembantu digital baharu pengguna Android di samping Assistant. Selepas aplikasi Gemini dipasang, pengguna kelak boleh memilih salah satu untuk digunakan secara lalai. Pada masa yang sama Gemini Advanced turut dilancarkan, iaitu pelan langganan AI generatif Google yang diperkasakan Gemini Ultra 1.0.

Pelan langganan Gemini Advanced disertakan dalam Google One. Di Malaysia anda boleh melanggannya pada harga RM97.99 sebulan dengan percuma dua bulan. Pelan ini disertakan sekali dengan storan Google Drive 2TB, akses ciri premium Google One, serta khidmat bantuan pelanggan premium. Jika pengguna tidak berminat dengan pelan AI Premium ini, pelan asal RM42.99 sebulan masih disertakan.

Pelan ini turut tiada tawaran langganan tahunan dan terhad untuk bulanan sahaja. Bagi mereka yang sedia melanggan pelan 5TB pada harga RM107.49 sebulan, Gemini Advanced percuma sehingga 31 Julai 2024. Buat masa ini, aplikasi Gemini terhad di Amerika Syarikat sahaja jadi mereka yang melanggan terhad menggunakan Gemini Advanced melalui web. Jika anda sudah melanggan dan masih ingin menggunakannya, APK kini tersedia di web.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd