Adakah anda mempunyai ruang yang terhad di rumah untuk speaker gergasi? Adakah kualiti audio penting untuk anda? Adakah rekaan retro pada pendapat anda sentiasa malar hijau? Sekiranya jawapan anda ialah ya kepada semua soalan ini, JBL Authentics 500 adalah speaker yang direka untuk anda. Dengan harga jualah RM3699, adakah ia berbaloi?

SPESIFIKASI DAN REKAAN
JBL Authentics 500 | |
---|---|
Jenis | Speaker Bluetooth |
Pemandu | 3 x 1″ Al Tweeter 3 x 2.75” Midrange 1 x 6.5” Subwoofer |
Port I/O | 1x Audio In 1x USB-C 1x Ethernet |
Codec | Dolby Atmos Music MPEG 1 Layer 2/3 MPEG 2 Layer 3 MPEG 2.5 Layer 3 SBC |
Sistem operasi disokong | Semua |
Sokongan pembantu maya | Ya |
Pad sesentuh | Tiada |
Bluetooth | Bluetooth 5.3 |
Bicu Audio AUX | Ya |
NFC | Tiada |
Harga Jualan | RM 3699 |
Tubuh Authentics 500 mengingatkan kami kepada AMP gitar elektrik klasik. Bahagian tubuh mempunyai tekstur seakan kulit yang sinonim dengan AMP gitar yang turut digunakan pada produk Marshall. Saiznya kompak dengan ukuran 447 x 240 x 255.7 mm. Ia adalah speaker dengan Dolby Atmos yang dalam kategori saiz yang sama seperti Sonos Ray.

Di bahagian atas terdapat tombol kawalan kuasa, bass dan treble. Tombol mempunyai gelung lampu berbentuk bulat di sekelilingnya. Dengan ini pengguna sentiasa tahu di tahap mana kelantangan audio, bass dan treble pada bila-bila masa. Terdapat juga butang tambatan bluetooth dan Heart yang digunakan untuk melancarkan senarai main kegemaran secara terus.

Tombol laras audio turut mempunyai ciri tambahan. Tekan sekali untuk menjeda/memulakan muzik. Tekan dua kali untuk melangkau ke muzik seterusnya dan tiga kali untuk kembali ke muzik sebelumnya. Kesemua butang adalah responsif serta mudah digunakan.
Di hadapan terdapat kekisi audio yang menyorokkan 3 x 1″ tweeter dan 3 x 2.75” speaker. Rekaan berkotak di depan mengingatkan saya kepada rekaan peralatan audio penghujung dekad 70an dan awal 80an. Sebagai insan yang lahir pada dekad 80an, saya cukup menggemari rekaan klasik ini kerana cukup serasi dengan kemasan tubuh Authentics 500 yang juga klasik. Di bahagian bawah pula diletakkan subwoofer 6.5″ untuk dentuman bass.

Di belakang pula terdapat port untuk LAN, input audio 3.5mm, USB-C dan membisukan speaker. Port USB-C hanya sekadar untuk melakukan diagnosis. Speaker boleh memainkan fail audio menggunakan pemacu USB-C asalkan ia dalam format MP3 dan WAV sahaja. Agak aneh kerana tiada sokongan audio kadar bit tinggi FLAC pada sebuah speaker premium.
Saya turut sedikit kecewa pilihan input yang diberikan adalah agak terhad. Sebagai contoh tiada sokongan input RCA sedangkan tubuh Authtentics 500 adalah cukup besar untuk memberikan pilihan input yang lebih banyak. Ia menjadi isu apabila saya cuba memadankan Authentic 500 dengan pemain piring hitam JBL yang diulas pada waktu yang sama.

Sistem audio nirwayar adalah menerusi Bluetooth 5.3. Sokongan AirPlay, Chromecast Built-In, Spotify Connect, dan Tidal Connect diberikan supaya memudahkan audio dihantar dari peranti pintar terus ke speaker dengan hanya beberapa tap. Seperkara lagi yang membingungkan ialah Codec bluetooth hanyalah SBC. Tiada AAC apatah lagi LDAC. Authentic 500 adalah speaker kelas mercu tetapi sokongan codec yang diberikan seakan speaker kelas permulaan.

PENGGUNAAN
Penggunaan adalah mudah menerusi aplikasi JBL One. Proses mendaftarkan speaker kepada peranti pantas hanya mengambil masa beberapa minit. Kali pertama ia dilakukan, aplikasi akan mencari versi perisian terkini yang mungkin diberikan kepada speaker. Proses ini pantas bagi saya kerana mempunyai sambungan internet pantas di studio.

Selepas ditambat, pelbagai tetapan seperti akses kepada pelbagai aplikasi penstriman dan mengubah audio menggunakan equaliser boleh dilakukan. Kerana ia menyokong pelbagai aplikasi popular, proses menyiarkan audio dari telefon ke speaker adalah semudah menekan menu dalam aplikasi Spotify, YouTube Music dan Apple Music.
Kerana Authentics 500 ialah sebuah speaker pintar dengan sokongan WiFi, ia boleh menstrim pelbagai perkhidmatan penstriman secara terus. Sejurus selepas kawalan dilakukan dari dalam aplikasi, muzik tidak akan terganggu walaupun pengguna melakukan panggilan telefon, atau membuka aplikasi lain dalam telefon.
KUALITI AUDIO
Kecil-kecil cili padi kerana kekuatan speaker ini terletak pada kualiti audionya. Bagi peminat bass, Authentics 500 memberikan dentuman yang sangat memuaskan tanpa isu audio lain yang dihasilkan terganggu. Jika ditala dengan baik, suara akan kedengaran gemersik serta jelas. Apabila memainkan muzik Dolby Atmos menerusi Apple Watch, setiap instrumen mempunyai pemisahan yang baik walaupun pada tetapan yang lebih lantang.

Speaker ini direka untuk mendengar muzik maka ada kekurangan apabila digunakan sebagai sebuah sistem teater di rumah. Kesan 3D Dolby Atmos daripada beberapa filem yang kami cuba tidak begitu menyerlah. Kerana saiznya yang kecil, audio juga tidak terasa begitu menyeluruh dan terasa agak sempit.
Tetapi sekali lagi saya ingin ingatkan, Authentics 500 direka untuk ruangan kecil dan bukan sebagai pengganti soundbar di rumah. Dalam ruangan kecil (seperti bagaimana ia direka untuk digunakan), Authentics 500 memberikan pengalaman audio amat baik berbanding speaker lain dalam kelas serta saiz yang sama.
DALAM KOTAK
Dalam setiap pembelian, anda akan menerima seperti berikut.
- 1 x JBL Authentics 500.
- 1 x Kabel kuasa.
- 1 x Manual.
- 1 x Kad jaminan.
KESIMPULAN
JBL Authentics 500 ialah speaker kompak yang menawarkan audio yang amat memuaskan untuk saiznya. Dapat memenuhi ruang dengan baik dibantu oleh audio yang cukup jelas serta dentuman bass yang sangat memuaskan. Saya cukup suka dengan tombol fizikal dengan lampu yang dengan jelas menunjukkan tahap kelantangan audio dengan jelas.

Walaupun mantap saya tidak boleh memaafkan kekurangan sokongan codec AAC dan LDAC yang boleh menawarkan audio lebih baik. Kekurangan pilihan input juga mengecewakan bagi sebuah speaker yang harganya hampir RM4000. Ini juga satu kekurangan kerana harganya yang agak mahal membuatkan sedikit sukar untuk menyarankannya kepada semua. Tetapi jika anda memang mencari speaker kompak dengan audio mantap dengan rekaan klasik, JBL Authentics 500 ialah antara yang memenuhi kriteria ini.
Pro
- Sistem audio yang lengkap.
- Sokongan Dolby Atmos.
- Sesuai untuk pelbagai jenis kandungan.
- Bass yang mantap.
- Sokongan Chromecast, Air Play dan Spotify Connect.
Kontra
- Tiada sokongan codec AAC dan LDAC.
- Input yang terhad.
- Harga jualan agak mahal.
