Cari @ Amanz

Saiz ruang lantai rumah di Malaysia sudah mengecut dari purata 1500 kaki persegi ke sekitar 1264 kaki persegi khususnya di kawalan metropolitan seperti Kuala Lumpur. Saya sendiri tinggal di sebuah kondominium dengan keluasan hanya 950 kaki persegi yang jauh lebih rendah berbanding purata. Nasib baik rekaan terbuka kondo membolehkan saya memilih ruang mana yang diberikan kelebihan dan ruang tersebut ialah ruang tamu.

Ruang tamu diberikan keutamaan kerana ia tempat saya bersantai selepas pulang dari pejabat. Tempat menghabiskan berjam-jam pula pada hujung minggu memaratonton siri TV Netflix dan menikmati permainan video. Seperti yang telah saya katakan dalam ulasan Prism+ Q65 QE yang lalu, ruang tamu rumah saya masih lagi agak kecil sehingga tidak cukup untuk meletakkan sebuah soundbar yang berkualiti.

Bagi mereka yang tinggal dalam rumah yang mempunyai ruang tamu yang kecil, Sonos Ray cuba menawarkan pengalaman audio yang baik dalam saiz yang padat.

Spesifikasi

Sonos Ray
JenisSoundbar
PemanduEmpat Pemandu Audio
Port I/OOptikal masuk
RJ45 LAN
CODECStereo PCM
Dolby Digital 5.1
DTS Digital Surround
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaTiada
Pad sesentuhYa
BluetoothTiada
Bicu Audio AUXTiada
NFCYa
Harga Jualan RM 1799

Berapa padat dan kompak sebenarnya Sound Ray ini? Ia hanya sebesar 559 x 95 x 71 mm yang lebih kecil berbanding Sonos Beam (Gen 2) (651 x 100 x 68.6mm) yang saya ulas sebelum ini. Beam ialah soundbar yang saya rasakan agak sudah cukup padat tetapi Ray adalah lebih kecil untuk mereka yang “miskin” ruang di rumah.

Kerana saiz yang agak sama sebenarnya, Ray menyasarkan untuk digunakan pada televisyen bersaiz sehingga 55″. Apabila dipadankan dengan televisyen Prism+ Q86 Pro QE yang bersaiz 86″ nampak kurang sesuai pula kerana ia terlalu pendek. Saiz yang kecil ini membolehkan Ray diletakkan dengan selesa di bawah TV dan juga monitor kerja di pejabat.

Dari segi kemasan ia sama dengan Beam iaitu tubuh diperbuat sepenuhnya daripada bahan plastik yang keras. Permukaannya tidak berkilat memudahkannya dibersihkan dengan kain jika mengumpul habuk. Ia ditawarkan dalam warna hitam dan putih. Secara peribadi saya lebih gemarkan aksesori AV dalam warna gelap kerana mudah dipadankan dengan perabot di rumah serta lebih mudah disorokkan berbanding kelengkapan berwarna putih.

Lubang kekisi audio semuanya menembak ke depan. Di belakangnya empat pemandu audio disertakan – dua pemandu hadapan dan dua pemandu tweeter yang dihalakan sedikit ke sisi. Saiz lubang yang kecil pada kekisi berjaya menyorokkan speaker dari pandangan. Amat berguna juga untuk mengelakkan serangga dari memasuki ruangan dalam soundbar yang sensitif.

Di bahagian atas terdapat tiga butang sesentuh untuk kawalan jeda muzik, menaikkan dan menurunkan kelantangan audio. Tiada sebarang butang kawalan fizikal diberikan. Satu-satunya butang fizikal terletak di belakang untuk penetapan semula Ray atau untuk menambat speaker kepada sistem buat pertama kali untuk peranti iOS.

Bercakap mengenai rekaan belakang, hanya terdapat palam untuk kabel kuasa, port RJ45 LAN, input optikal dan butang fizikal yang sebutkan tadi. Tiada HDMI diberikan dan Ray juga tidak menyokong tambatan menerusi bluetooth sama seperti Beam (Gen 2) tempoh hari. Tiada juga sebarang alat kawalan jauh diberikan. Kesemua kawalan yang ingin anda lakukan perlu menerusi aplikasi Sonos pada sistem operasi Android dan iOS sahaja pada waktu ini.

Ketiadaan HDMI juga bermakna Ray tidak menyokong sistem audio Dolby Atmos yang kini dilihat sebagai perlu pada sistem audio premium. Ray dipasarkan sebagai sounbar mampu milik oleh Sonos dan jika anda inginkan Atmos anda perlu berbelanja lebih untuk membeli Beam (Gen 2).

Sistem audio yang disokong oleh Ray hanyalah Stereo PCM, Dolby Digital 5.1 dan DTS Digital Surround. Ini sedikit sebanyak memberikan kekurangan buat Ray memandangkan Sony memasarkan sistem audio kompak mereka pada harga lebih murah dan pada waktu yang sama menyokong Dolby Atmos secara nirwaya – yang pada waktu ini hanya disokong pada produk AV terkini Samsung.

Saiznya yang kompak membuatkan berat keseluruhan unit adalah 1.95 kilogram sahaja. Boleh diangkat sebelah tangan dan mudah diubah kedudukannya di ruang tamu. Tanpa sistem subwoofer satelit, Ray juga amat kemas kerana tiada wayar yang berselirat di ruang tamu pengguna yang membelinya.


Penggunaan

Proses menggunakan Ray adalah mudah cuma memerlukan sambungan Internet sepanjang masa. Ini ialah isu utama saya dengan produk Sonos kerana tiada pilihan langsung melakukan sambungan menggunakan kabel 3.5mm atau bluetooth. Ini pilihan Sonos maka mereka yang ingin membeli perlu menyedari bahawa inilah cabarannya. Tiada internet di rumah kerana gangguan teknikal? Tiada langsung cara untuk menstrim audio dari telefon walaupun muzik telah dimuat turun di Spotify misalnya.

Aplikasi Sonos perlu dimuat turun terlebih dahulu bagi penetapan akaun dan juga menyambungkan Ray kepada sistem WiFi di rumah. Walaupun sudah di tahun 2022, Ray hanya menyokong WiFi 2.4GHz sahaja. Untuk penstriman audio kelajuan lebih pantas tidak diperlukan maka sokongan WiFi 5GHz dan WiFi 6e tidak diberikan. Jika anda mahukan sambungan yang lebih stabil untuk mengelakkan gangguan frekuensi, terdapat port RJ45 LAN di belakang.

Sambungan kepada sistem TV pula adalah hanya menerusi kabel optikal yang disertakan dengan setiap pembelian. Ini mengehadkan jumlah peranti yang boleh digunakan dengan RAY. TV dan monitor anda tiada output optikal? Maaf Ray tidak boleh disambungkan langsung kepada peranti milik anda.

Selepas proses penetapan telah dilakukan, proses menggunakan Ray adalah sama seperti kesemua produk keluaran Sonos sebelum ini. Pelbagai tetapan Ray boleh diakses menerusi aplikasi dan juga memasukkan perkhidmatan penstriman yang ingin anda akses menerusi aplikasi tersebut. Penamaan semula Ray dalam sistem di rumah dan merangkaikannya dengan sistem Sonos lain seperti Roam dan One juga adalah menerusi aplikasi yang sama.

Satu ciri eksklusif yang hanya boleh diakses pengguna iPhone ialah Trueplay. Bunyi dari Ray akan ditala mengikut lokasi speaker diletakkan. Mikrofon iPhone digunakan untuk mengesan tahap kelantangan Ray di tempat duduk dan persekitaran bilik. Dengan Trueplay audio yang didengari sepatutnya lebih baik selepas ditala namun begitu perbezaan audio tidak begitu ketara pada telinga saya.

Ray turut mempunyai penerima infra merah pada bahagian dapat. Dengan ini alat kawalan jauh TV boleh digunakan untuk mengawal tahap kelantangan audio yang sedang dimainkan. Proses menggunakan Ray buat pertama kali mungkin lebih kompleks dari sepatutnya kerana perlu menerusi aplikasi tetapi tidak mendatangkan sebarang masalah selepas itu.

Kualiti Audio

Bagi sebuah speaker yang kecil audio kualiti yang dihasilkan adalah cukup bertenaga. Pada tetapan 50% sekalipun ia sudah cukup lantang. Pada tetapan yang paling lantang sekalipun pengasingan bunyi masih baik dari empat speaker yang digunakan.

Speaker cukup fleksibel untuk pelbagai genre muzik dengan kelebihan mungkin boleh diberikan kepada muzik akustik dan klasikal. Mendengar Nutcracker Suite oleh London Symphonic Orchestra membuatkan saya terasa seperti berada di Royal Albert Hall. Soundstage Ray adalah cukup besar dan luas walaupun speaker yang menghasilkan audio bersaiz kecil untuk sebuah soundbar.

Muzik EDM juga boleh dimainkan dengan cukup cemerlang setiap bunyi elektronik terasa nyaring, jelas dan tajam serta tidak tenggelam apabila bass mula meletup di bahagian bass drop. Setiap instrumen orkestra atau kumpulan rock yang dimainkan kedengaran jelas. Dari mana muzik datang dapat dikesan oleh telinga walaupun tanpa Atmos. Muzik hanya terasa kurang hidup jika saya bandingkan dengan Beam (Gen 2) kerana terdapat sokongan Atmos pada soundbar tersebut.

Menggunakan Ray sebagai speaker TV juga tidak mengecewakan. Bahagian ada watak berbisik sekalipun dapat didengari dengan jelas. Saya gunakan babak rompakan bank dari filem Heat dan serangan lobi dari The Matrix dalam ujian. Setiap ledakan pistol, serpihan kaca berderai dan jeritan orang ramai yang bertempiaran kedengaran cukup realistik.

Isu hanyalah telinga saya sudahpun menonton filem-filem ini menggunakan speaker Atmos dalam ujian-ujian terdahulu. Prestasi audio Ray memang memuaskan dan oleh itu lulus ujian makmal Amanz. Tetapi ia tidak lulus dengan cemerlang kerana Atmos ialah penanda aras semasa. Atmos lebih dinamik, pentas audionya lebih besar dan terasa lebih hidup.

Apa Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian.

  • 1x Sonos Ray.
  • 1x Kabel kuasa 3 pin.
  • 1x Kabel optikal.
  • 1x Manual

Kesimpulan

Dengan saiznya yang kecil saya sedikit risau Ray tidak mampu menawarkan kualiti audio yang memuaskan. Tetapi pendapat awal saya ini nyata silap kerana Ray ialah soundbar yang menawarkan audio yang cemerlang untuk saiznya yang kecil. Audio yang dihasilkan jelas dan lantang walaupun pada tetapan yang sederhana. Audio juga tidak berkecamuk dengan setiap instrumen dan suara dapat didengari dengan jelas.

Produk Sonos boleh digunakan untuk mendengar pelbagai genre muzik. Cukup fleksibel untuk rock, pop, rap, klasik, instrumental dan pod siar. Menggunakannya sebagai sistem audio TV juga memuaskan kerana treble yang jelas dipadankan dengan kemampuan bass yang berdentum.

Kesemuanya positif tetapi terdapat beberapa kekurangan yang agak ketara. Pertama sekali tiada sokongan Dolby Atmos. Pada harga RM1799, Ray ialah soundbar yang bukan mampu milik. Apabila melihat pengeluar lain mampu menyertakan sokongan Atmos pada soundbar padat mereka yang dijual pada harga lebih mampu milik ketiadaannya pada Ray adalah sedikit sukar untuk dimaafkan.

Pilihan sambungan juga mengecewakan kerana tiada HDMI. Sambungan fizikal hanya boleh dilakukan menerusi kabel optikal. Jika anda ingin menyambungnya kepada sebuah monitor kerja seperti Samsung Smart Monitor M7 misalnya anda bernasib malang. TV tidak ada output optikal? Sekali lagi anda bernasib malang.

Audio Ray memang mantap dan mengejutkan untuk saiznya yang kecil. Jika anda tidak memerlukan Atmos dan juga mempunyai kelengkapan dengan output optikal, saya boleh sarankan kepada anda. Tetapi anda seperti saya yang memerlukan Atmos, terdapat soundbar lain di pasaran pada harga lebih kompetitif.

Pr o

  • Rekaan kecil padat tidak memakan ruang tapak yang besar.
  • Ringan dan mudah diubah kedudukannya di ruang tamu.
  • Pengalaman audio yang amat baik untuk saiznya.
  • Bahan binaan plastik sepenuhnya mudah dibersihkan kerana tiada bahan fabrik yang menangkap debu.

Kontra

  • Tiada sokongan bluetooth, AUX atau HDMI
  • Tiada Dolby Atmos walaupun harganya premium.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd