Semalam, Apple telah melancarkan tiga aplikasi baharu untuk pengguna Windows 10 dan Windows 11 iaitu Apple Devices, Apple TV dan Apple Music. Pada masa yang sama, Apple turut telah memperkenalkan aplikasi iCloud baharu. Keempat-empat aplikasi ini adalah strategi baharu Apple untuk mengasingkan ciri dan fungsi pada iTunes.
Aplikasi iCloud baharu ini lebih memfokuskan antaramuka laman utama sahaja. Ia memaparkan album yang dikongsi, fail yang disimpan pada iCloud Drive, mengakses Passwords and Keychain, penanda buku, kenalan dan kalendar, menguruskan kuota storan serta pintasan kepada iCloud.com, Apple Mail dan pautan ke Microsoft Store untuk tiga aplikasi lain mereka.
Aplikasi iCloud ini turut boleh memaparkan status data pengguna yang sedang disegerakkan ke storan awanan. Aplikasi ini percuma dan sedia dimuat turun di Microsoft Store. Jika anda tertanya apa yang terjadi kepada iTunes untuk Windows, ia kini adalah platform podsiar dan buku audio.