Sebut mengenai jenama kenderaan Smart, mungkin jika anda cukup berusia ia akan mengingatkan anda dengan kereta yang menampilkan rekaan yang tampak lain dari yang lain. Di zaman kegemilangan Smart, yang menghasilkan kereta seperti ForFour dan ForTwo, sememangnya sangat berbeza malah apabila mereka menampilkan kenderaan elektrik mereka di pasaran Malaysia seawal tahun lalu, ia turut membawakan pelbagai kelainan berbanding kenderaan elektrik lain di pasaran.

Smart #1 yang dibawa masuk menerusi Pro-Net, iaitu anak syarkat Proton, merupakan satu gabungan usahasama di antara Geely dan juga Mercedes. Baru-baru ini saya berkesempatan memandu kenderaan ini menerusi acara bersama media, dari Subang Jaya, Selangor ke Teluk Bahang, Pulau Pinang dan pulang. Terdapat dua model yang digunakan untuk acara pemanduan ini iaitu Smart #1 Premium dan juga Smart #1 Brabus.
Sesi Di Litar USJ Speedway
Sebelum kami memulakan perjalanan ke Teluk Bahang, kami dibawa untuk menguji kelincahan kereta ini di dalam litar yang dibina untuk Go-Kart di USJ Speedway. Kami menguji kedua-dua varian didalam litar dan perbezaan ketara dapat dilihat apabila pecutan dilakukan. Smart #1 Premium hanya mempunyai motor elektrik untuk tayar belakang, dan Smart #1 Brabus mempunyai motor elektrik untuk tayar hadapan dan belakang, membuatkan pemanduan AWD berfungsi dan memberikan pecutan dan kawalan lebih baik.
Versi Brabus ini boleh memecut 0-100km/j sepantas 3.9 saat berkat dari kuasa 428PS dan tork 543Nm manakala versi Premium boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat dengan kuasa 272PS dan tork 343NM.
Video di atas sewaktu menguji Smart #1 Brabus, dengan mod pemanduan Brabus diaktifkan, apabila saya memijak pedal pecutan sesudah diberikan arahan, jelas sekali terserlah kesan inersia penumpang yang dilihat secara mengejut sedikit ke belakang, dan saya dapat memecut menghampiri 90 km/j dalam masa kurang 6 saat. Salah satu perkara yang menjadi kelebihan utama kereta elektrik adalah pecutan yang pantas. Kuasa elektrik dapat disalurkan sepantas milisaat, membolehkan kenderaan elektrik memecut dan mencapai kelajuan tinggi dalam sekelip mata.
Namun sewaktu ujian swaparkir, terdapat beberapa kejadian di mana kereta Smart ini memasuki parkir yang mungkin tidak berapa tepat. Kadangkala ia senget dalam kotak parkir, dan kadangkala ia turut memakan kawasan parkir sebelah yang kosong. Mungkin perkara ini dapat dibaiki dengan kemas kini. Namun saya secara peribadi masih akan parkir sendiri tanpa mengharapkan sistem automatik ini.

Dari USJ ke Teluk Bahang, Pulau Pinang Dengan Smart #1 Premium
Meneruskan perjalanan ke Teluk Bahang, kami diberikan Smart #1 Premium dan bertolak dengan kapasiti bateri berbaki 87% dengan jarak perjalanan sejauh 304km. Kapasiti baterinya adalah 66 kW, dan boleh mempunyai jarak perjalanan 440km WLTP pada pengecasan penuh. Salah satu perkara yang boleh dipuji adalah paparan ramalan perjalanan yang diberikan dalam bentuk peta, sekaligus memberikan visual dan pemahaman mengenai jarak perjalanan yang anda boleh lakukan. Fungsi paparan peta ini sangat membantu bagi pemandu yang baru berhijrah menggunakan kenderaan elektrik merancang perjalanan dan melihat lokasi pengecas di sepanjang perjalanan.

Memandangkan terdapatnya pertandingan kecekapan tenaga untuk sesi pemanduan ini, kami memandu dengan cara mengoptimasikan penggunaan tenaga dengan mengaktifkan sistem Adaptive Cruise Control dan menetapkan kelajuan kenderaan untuk mengikut kenderaan di hadapan. Kami memilih untuk mengekori lori, dengan kelajuan sekitar 80 km/j. Pemanduan seperti ini semestinya tidaklah menyeronokkan, dan anda akan menjadi letih ‘menunggu’ bukannya letih disebabkan memandu. Fungsi ini sangat berguna sewaktu kesesakan trafik di musim perayaan kerana anda tidak perlu memijak pedal pecutan mahupun pedal brek.
Kesemua model Smart #1 yang dijual di Malaysia dilengkapi dengan sistem swapandu Tahap 2, dimana ia bukan sahaja boleh mengikut kelajuan kenderaan di hadapan, malah ia lengkap dengan pelbagai sistem pintar yang membantu pengguna, seperti sistem penetapan haluan (Lane Keep Assist), sistem sokongan pelanggaran hadapan dan belakang (Front/Rear Collision Mitigation Support), Brek Kecemasan Automatik (AEB) dan pelbagai lagi. Kesemua penunjuk untuk sistem ini jelas dapat dilihat menerusi paparan skrin kluster dihadapan pengguna, mahupun menerusi HUD (Heads Up Display) yang dipancarkan pada kaca depan.

Jika perancangan asal adalah untuk mengecas di lokasi yang ditetapkan pihak penganjur iaitu Ipoh, kami meneruskan perjalanan sehingga ke Caltex Bukit Gantang di mana terdapatnya pengecas Gentari 50 kW DC. Kami tiba dengan bateri berbaki 29% yang boleh pergi sejauh 126km, namun kami masih mempunyai perjalanan sejauh 123km dan kami tidak ingin mengambil risiko kehabisan bateri sebelum sampai ke destinasi.

Justeru kami telahpun menggunakan sekitar 56% tenaga dengan jarak perjalanan sejauh 259.7km yang telah menggunakan 14.5 kWh/100km dengan purata kelajuan 73 km/h yang telah memakan masa 3 jam 32 minit. Perlu diingatkan yang mana kami masih dalam pertandingan kecekapan tenaga jadi jika anda merasakan 3 jam 32 minit dan baru sampai ke Bukit Gantang adalah perlahan, ya ia memang perlahan. Malah kelajuan peribadi saya sewaktu memandu kenderaan petrol untuk tiba ke R&R Gunung Semanggul dari Jalan Duta hanyalah 2 jam 30 minit.
Manfaat Pengecasan DC Dan Integrasi Aplikasi Hello Smart App
Jika anda memandu kenderaan elektrik untuk jarak jauh, pengecasan pantas DC merupakan satu kewajipan. Pengecasan AC yang mempunyai kelajuan pengecasan yang lebih perlahan. Dengan pengecasan DC, anda boleh mengecas sepantas 30 minit manakala AC pula terhad sehingga 22kW dan mengambil masa yang lama untuk memenuhkan bateri.

Smart #1 Premium ini dilengkapi pengecas CCS2 dan boleh menerima kuasa 150 kW DC dan boleh mengecas 10% – 80% sepantas 30 minit. Ia juga dilengkapi pengecas 22kW AC, yang membolehkan pengecasan 10% – 80% dalam masa 3 jam. Dengan pengecas Gentari di Caltex Bukit Gantang, kami hanya mengecas 8.833 kWh iaitu 12 % kapasiti selama 11 minit dengan bayaran RM 13.99. Dengan 12% tersebut, kami kini mempunyai cas 41% dan mempunyai jarak sekitar 250km untuk sampai ke destinasi.

11 minit sebenarnya tidaklah membuang masa, dan sesi rehat tersebut juga adalah termasuk pergi ke tandas, membeli makan serta meregangkan otot. Justeru mitos ‘membazir masa mengecas kerana mengisi minyak hanyalah 5 minit’ boleh dikatakan mungkin akan terjadi sekiranya terdapat faktor-faktor luar kawalan (seperti berebut pengecas menantikan kenderaan terdahulu habis mengecas).
Anda tidak perlu mengecas penuh sehingga 100% sekiranya destinasi anda terdapat pengecas, jadi cara dan bagaimana anda memanfaatkan pengecasan pantas itu adalah penting untuk pemilik kenderaan elektrik.
Seperkara lagi yang dititikberatkan oleh Smart adalah integrasi aplikasi mereka iaitu Hello smart App. Menerusinya pengguna boleh mengaktifkan pengecas, tanpa perlu memuat-turun aplikasi dari penyedia pengecas tersebut. Stesen pengecas JomCharge, Gentari, atau ChargEV, kesemuanya boleh digunakan terus menerusi Helo smart App. Malah Smart turut memberikan kredit pengecasan jadi anda boleh menggunakan kesemuanya, sebelum anda berhasrat untuk melanggan pelan pengecasan yang lain, tertakluk kepada promosi dari pengedar.
Salah satu perkara yang saya kurang pasti adalah walaupun integrasi di aplikasi agak baik untuk melakukan pengecasan dengan pelbagai penyedia pengecas, saya tidak menjumpai sebarang pilihan atau cara menerusi tetapan di kereta. Jika pengecasan boleh dilakukan menerusi paparan kawalan kereta, itu barulah menambah nilai sebenar integrasi.
Dari Gunung Semanggol ke Teluk Bahang – Sensor Pemantauan Pemandu Yang Sensitif
Kereta merupakan peranti yang sangat kompleks dengan pelbagai sensor dan untuk kereta elektrik, dengan kecanggihan yang ada pastinya telah memuatkan lebih banyak sensor berbanding kebiasaan. Dalam perjalanan kami di sekitar Balik Pulau dan menelusuri kawasan bukit bukau dan ladang tanaman, sedikit keanehan telah dialami. Apa yang terjadi adalah dengan setiap belokan yang dilakukan, tangan dan pusingan stereng telah sedikit sebanyak menutup sensor ‘Driver Monitoring System’ ataupun sistem pemantauan pemandu.

Sistem ini yang terletak di bahagian panel stereng yang tidak bergerak merupakan kamera yang memantau pemandu sekiranya pemandu berada dalam keadaan penat dan memerlukan rehat, serta memberikan amaran dalam bentuk audio dan visual. Namun mungkin kerana kombinasi perjalanan jauh dan pemanduan ala Takumi Fujiwara bagaikan memandu ‘drift’ di Balik Pulau, amaran tersebut menjadi satu perkara yang sedikit mengganggu. Namun ia boleh ditutup menerusi tetapan kenderaan cuma saya baru menyedarinya di kemudian hari.
Kenderaan kami merupakan kenderaan ke-4 yang tiba di Angsana Teluk Bahang, dengan penggunaan tenaga sebanyak 14.0 kWh / 100km sejauh 393.3km. Bateri masih berbaki 14% dengan jarak perjalanan sekitar 54km. Kami telah mengambil masa selama 6 jam 30 minit dan sekali lagi saya ingin ingatkan, waktu yang lama diambil adalah kerana ingin memenangi pertandingan kecekapan tenaga, dan syukur pasukan kami memenangi pertandingan tersebut.
Dari Teluk Bahang ke COE Proton Dengan Smart #1 Brabus – Prestasi Pecutan Mengagumkan
Pada hari kedua, kami pulang ke Centre of Excellence Proton menggunakan Smart #1 Brabus. Kereta elektrik yang mempunyai dwi motor ini juga merupakan model terlaris di pasaran Malaysia. Daripada 500 unit yang telah ditempah sehingga November 2023, 60% daripadanya adalah versi Brabus. Kami bertolak dengan pengecasan 83% dan kebanyakan masa pemanduan adalah menggunakan mod Brabus. Kapasiti bateri adalah sama dengan versi Premium, iaitu 66kW namun jarak perjalanan pada pengecasan penuh adalah sebanyak 400km WLTP, 40km kurang daripada Premium kerana versi Brabus mempunyai dua motor di tayar belakang dan hadapan.

Pada mod pemanduan Brabus, kawalan stereng dirasakan lebih berat dan lebih lincah sehingga membuatkan penumpang saya berasa loya dan pening. Perasaan yang sama juga dirasai oleh editor Nextrift yang menggunakan model sama. Beliau turut menyatakan perasaan sistem suspensi yang lebih ‘keras’ apabila mod Brabus diaktifkan dan berasa pening untuk perjalanan dari Angsana Teluk Bahang ke Smart Eleganz Lifestyle di Jelutong, Pulau Pinang.

Sebagai pemandu, anda mungkin tidak merasa kesan ini kerana anda berada di bahagian hadapan dan anda sedang mengawal kereta. Tambahan pula dengan kuasa motor elektrik di hadapan dan belakang, membuatkan kesemua pecutan lebih agresif, dan berpotensi membuatkan penumpang tidak selesa. Namun seperti namanya, Mod Brabus merupakan satu mod pemanduan yang berkuasa dan menyeronokkan.
Untuk pemanduan pulang, memandangkan tiada lagi pertandingan kecekapan tenaga, kami telah memandu mencapai kelajuan maksimum dan dari segi penghantaran tenaga dan pecutan, kereta ini dapat menyajikan kelajuan yang dijanjikan tanpa sebarang masalah dan juga kami tidak mengalami sebarang kegusaran perjalanan walaupun sedang menggunakan tenaga bateri dengan tidak efisien.

Kami bertolak dari Jelutong sekitar 1:30pm dan tiba di Caltex Bukit Gantang 50kW DC dengan bateri sekitar 47%. Berbanding hari sebelumnya, kali ini kami mengecas bateri sehingga 73% yang telah mengambil masa sekitar 23 minit dan memberikan jarak perjalanan 293km. Harga pengecasan pula adalah RM 30.52 Kami juga mengecas dengan tanggapan kami perlu mengecas sekali lagi di sekitar Ulu Bernam atau Tanjung Malim, kerana ingin benar-benar menguji kenderaan ini.

Perjalanan diteruskan tanpa sebarang masalah ketara mahupun kegusaran perjalanan kerana pada hemat saya, anggaran jarak perjalanan yang dinyatakan Smart #1 ini sememangnya pintar dalam memberikan jangkaan dan mungkin juga kerana adanya pengecas DC di sepanjang lebuhraya PLUS. Dengan itu saya berasa kurang risau berbanding dengan pengalaman memandu BYD Atto 3 Standard Range dari Teluk Cempedak ke KL yang membuatkan saya sangat gusar akan kehabisan bateri.

Kami singgah untuk kali terakhir di Petronas Gentari Ulu Bernam dengan bateri berbaki 5% iaitu hanya boleh bergerak sejauh 18km. Sehingga lokasi ini, kami telah menggunakan sejumlah 70kWh bateri dengan kadar 21.3 kWh / 100km, satu kadar penggunaan tenaga yang agak tinggi untuk jarak sejauh 275.9km

Di Petronas Ulu Bernam ini juga pengecas DC Gentari yang boleh memberikan kuasa sehingga 150kW jika kereta anda menyokong 800v, atau terhad kepada 120kW jika kereta anda hanya menyokong 400v. Malah di lokasi ini juga pengecas DC jenama Kempower ini turut memaparkan graf pengecasan dimana anda dapat lihat kelajuan pengecas dan juga kapasiti tenaga yang digunakan. Video di bawah menunjukkan bagaimana pengecasan bermula, dan dapat dilihat kelajuan pengecasan bertambah sehingga mencapai had yang ditentukan oleh kereta.

Dalam gambar di atas, pengecasan pantas 120kW dilihat hanya berlaku selepas 8 mjnit. Sebelum itu kelajuan pengecasan kurang daripada 75kW kerana keadaan bateri yang panas. Atas sebab yang sama anda juga dapat melihat pada 3 minit pertama ia mengecas pada kelajuan 60kW. Secara keseluruhannya kami hanya mengambil masa sekitar 17 minit untuk mengecas sebanyak ke 45% (26.585 kW) dan bayaran dikenakan adalah RM 42.27.

Di sini juga perlu diingatkan, kadar harga pengecasan bateri adalah berbeza mengikut terminal dan juga mengikut kelajuan pengecas. Seperti kami nyatakan beberapa perenggan dia ras, pengecasan JomCharge 50kW di Caltex Bukit Gantang yang memakan masa 23 minit (RM 30.52) dan pengecas Gentari 150kW Petronas Ulu Bernam pula 16 minit (RM 42.27). Jelas sekali terdapat perbezaan harga bergantung kepada kuasa pengecas.
Meneruskan perjalanan ke Centre of Excellence Proton, kami tidak menghadapi sebarang masalah kerana dengan 45% bateri kami mempunyai baki jarak perjalanan sekitar 179km dan ia adalah lebih darpada mencukupi. Kali ini, kereta kami merupakan kereta yang pertama sekali tiba di destinasi, walaupun terdapat beberapa kereta Smart lain bertolak lebih awal.
Apa Yang Membezakan Pandu Uji Kali Ini Dengan Terdahulu
Dalam sesi pandu uji yang terdahulu, mungkin saya tidak mempunyai cukup ilmu untuk mengatasi kegusaran perjalanan, atau mungkin kerana ketersediaan pengecas di Lebuhraya Pantai Timur yang terlalu sedikit membuatkan pengalaman saya sedikit tidak bagus berbanding sesi pandu uji Smart kali ini.

Untuk sesi ini, boleh dikatakan di setiap hentian pengecasan yang dilakukan ia adalah bertujuan untuk mencukupkan jarak pemanduan sahaja. Beberapa kenderaan rakan media lain lewat sampai dan mengalami masalah tidak cukup pengecas menyebabkan mereka perlu menanti sehingga 30 jam untuk giliran mengecas. Ini merupakan satu dilema biasa dimana konsep ‘siapa cepat dia caj’ dan perancangan untuk ‘merebut’ pengecas boleh menjadi satu perkara yang kritikal.

Seperkara lagi masalah yang timbul dari rakan media yang lain adalah perbezaan status pengecasan yang melibatkan penyedia pengecasan berlainan (charging roaming). Terdapat satu kenderaan yang mengalami masalah dalam aplikasi, apabila aplikasi menyatakan dua pengecas tersedia, namun aplikasi Smart menyatakan kedua-dua pengecas sedang digunakan, sedangkan situasi sebenar, salah satu kenderaan masih tidak dapat mengecas.
Dalam gambar di atas, aplikasi ChargEV menyatakan terdapat satu pengecas boleh digunakan, tetapi aplikasi Hello Smart App mengatakan kedua-dua pengecas sedang digunakan. Isu penyeragaman paparan pengecas yang boleh digunakan pada multi aplikasi perlu diselesaikan sekiranya EV ingin menggantikan kenderaan ICE.
Dan untuk pemanduan kali ini, corak pemanduan saya yang lebih agresif dan tidak begitu merisaukan jarak merupakan kepuasan utama dalam memandu Smart #1 Brabus. Jangkaan perjalanannya juga lebih tepat sekaligus tidak mencetuskan kegusaran jarak perjalanan. Atau mungkin saya bersikap tidak adil kerana membandingkan kereta mercu dengan berspesifikasi pertengahan BYD Atto 3 yang mempunyai perbezaan harga RM100,000. Ditambah pula dengan faktor perbezaan kemudahan Lebuhraya PLUS yang mempunyai lebih banyak pengecasan DC berbanding LPT yang tidak banyak pengecas.

Smart #1 Premium dijual pada harga bermula RM 219,000 manakala Smart #1 Brabus dijual pada harga bermula RM 249,000. Smart #1 Pro pula dijual pada harga RM 189,000 dan untuk kesemua unit ini turut didatangkan dengan jaminan jangka panjang seperti lapan tahun 200,000 km jaminan bateri voltan tinggi, lapan tahun 150,000km jaminan komponen voltan tinggi, jaminan kenderaan empat tahun tanpa had jarak perjalanan, jaminan alat gantian dua tahun tanpa had jarak dan juga bantuan tepi jalan 24/7.
Apa yang pasti dari pengalaman ini, Smart #1 Brabus telah menetapkan penanda aras yang agak tinggi dari segi prestasi, dengan beberapa kepelikan dari segi perisian namun mungkin untuk sesi pandu uji yang seterusnya, saya akan cuba memandu kereta elektrik yang lain sepertimana saya memandu model daripada Smart ini.