Qualcomm Dilaporkan Meminta Samsung Dan TSMC Menghasilkan Prototaip Cip 2nm
Effi Saharudin
Cip Apple A17 Pro ialah satu-satunya cip untuk telefon pintar yang dihasilkan menggunakan teknologi 3nm. Apple menggunakan keseluruhan faundri 3nm TSMC menyebabkan Qualcomm, MediaTek dan Samsung hanya menawarkan cip 4nm tahun ini. Teknologi yang bakal menjadi rebutan seterusnya ialah 2nm dan Qualcomm sudah melakukan persediaan awal.

Menurut laporan ETNews, Qualcomm telah meminta Samsung dan TSMC untuk menghasilkan cip prototaip menggunakan teknologi 2nm. Samsung dan TSMC kedua-duanya dijangka akan mula mengeluarkan cip 2nm bermula 2025. Qualcomm akan mengambil kira kualiti protoaip, prestasi dan peratusan hasil sebelum memilih syarikat mana yang akan menghasilkan cip 2nm mereka kelak.
Bagi Samsung mereka perlu memenangi kontrak Qualcomm bagi meningkatkan semula keuntungan syarikat yang terjejas akibat pengurangan harga memori dan tidak memenangi kontrak menghasilkan cip 4nm Qualcomm. Walaupun Samsung yang terawal berkemampuan menghasilkan cip 3nm, tiada pesanan diterima kerana peratusan hasil yang rendah menggunakan teknologi mereka berbanding TSMC.
[sumber] ETNews [/sumber]