Vivo V30 telah dilancarkan dengan cip kelas pertengahan Snapdragon 7 Gen 3 dan kini giliran variasi pro pula muncul dalam perkongsian baharu. Ia masih belum diumumkan secara rasmi buat masa ini namun terdapat hal yang menarik mengenainya. Di mana kamera ZEISS akan digunakan pada peranti sekaligus berpotensi menyediakan pengalaman fotografi lebih baik.

Ia juga dianggap menarik kerana kebiasaannya fungsi tersebut ditawarkan pada peranti mercu Vivo kemudiannya kali ini dilihat cuba diberikan pada peranti pertengahan pula. Selain itu tri-kamera utama 50MP juga boleh disediakan dengan salah satunya menyokong kebolehan telefoto potret. Diikuti juga sokongan Aura Light menerusi lampu terbina di belakang peranti yang sudah menjadi ciri unik menarik sejak model V27.

Dari segi perkakaran peranti boleh dijana dengan cip MediaTek Dimensity 8200, selain juga memuatkan skrin AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz dan bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan 80W. Penawaran penuh sudah tentunya terjawab selepas pelancaran rasmi pada 28 Februari 2024.
- Sumber – Vivo Thailand