Empat permainan yang dahulunya eksklusif untuk konsol Xbox akan ditawarkan pula ke konsol Sony PlayStation 5 dan Nintendo Switch sekaligus mengesahkan ura-ura yang mula disebarkan sejak seminggu lalu. Phil Spencer, CEO Xbox tidak memberitahu apakah empat permainan pertama ini tetapi sumber dalaman mengatakan besar kemungkinan ia adalah Hi-Fi Rush, Pentiment, Sea of Thieves dan Grounded.

Empat permainan ini dilihat sebagai ujian litmus sama ada penawaran permainan eksklusif Xbox ke konsol pesaing adalah keputusan yang baik. Penganalisa melihat sekiranya mendapat sambutan, lebih banyak permainan Xbox akan ditawarkan di masa hadapan.
Turut disahkan ialah Microsoft akan terus menawarkan konsol Xbox dalam masa terdekat. Tiada perancangan pada waktu ini untuk menghentikan pengeluarannya seperti yang ditakuti oleh peminat tegar Xbox. Spencer juga mengesahkan tiada perancangan untuk menawarkan Starfield dan Indiana Jones ke PS5 pada waktu ini. Tetapi seperti yang kami katakan di atas, jika sambutan amat menggalakkan ini pastinya akan berubah.
Xbox telahpun dikalahkan oleh PlayStation 5 dalam perang konsol generasi ini. Sungguhpun PS5 ialah juara, jualan konsol ini tidak mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Sony pada suku lalu. Sony sendiri mengaku PS5 sudah memasuki fasa kitaran hidup akhir selepas tiga tahun dipasarkan. Ramai merasakan kita kini melihat era terakhir konsol fizikal dihasilkan dengan industri melihat penawaran penstriman awanan ialah masa depan gaming.
Sony, Steam, Microsoft dan NVDIA kesemuanya mempunyai infrastruktur penstriman permainan video pada waktu ini. Ia hanya menanti golongan gamer untuk melangkah sepenuhnya ke dunia digital.